Kuala Lumpur: “Kami tidak pernah anggap bayi ini orang asing, tetapi menerima dia macam zuriat pertama kami yang baru lahir sampaikan saya sanggup menyusukannya,” demikian kata wanita dikenali sebagai Marina, 37, bagi menggambarkan ketulusan kasihnya terhadap anak angkat yang diambil dari peti perlindungan bayi Yayasan OrphanCARE, Petaling Jaya, Disember lalu.

Pensyarah sebuah kolej di Klang, Selangor itu berkata, kehadiran bayi perempuan berusia dua bulan dua minggu itu melengkapi kehidupan dia dan suaminya selepas 11 tahun menanti kelahiran cahaya mata.

“Bayi ini anugerah terindah dan terlalu istimewa kerana memberi kami peluang merasa pengalaman sebenar sebagai ibu bapa.

“Sejak dia muncul, rezeki kami melimpah ruah dan menceriakan hidup kami.

“Saya juga sanggup mengambil pil hormon untuk menyusukannya selepas mendapat nasihat pakar supaya dia boleh menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Menurutnya, selama 11 tahun mendirikan rumah tangga, dia pernah hamil namun rezeki tidak berpihak kepada mereka suami isteri apabila mengalami keguguran lima kali.

“Kami sudah mencuba pelbagai ikhtiar, tetapi kandungan tetap berisiko kerana saya ada Polycystic Ovary Syndrome disebabkan saya mempunyai hormon lelaki (androgen) atau insulin terlalu tinggi,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kewujudan peti perlindungan bayi selepas seorang rakannya menyarankan mereka suami isteri menghadiri Hari Terbuka Yayasan OrphanCARE, tahun lalu.

“Kami rasakan tempat ini selamat kerana sistematik dan mereka membantu pasangan suami isteri mendapatkan anak angkat dari mula sampai akhir.

“Kami juga perlu menjalani beberapa prosedur yang ketat sebelum dibenarkan mengambil bayi ini sebagai anak angkat,” katanya.

Sumber

By Editor

Leave a Reply