PRK UM 2019: MENILAI GERAKAN MAHASISWA

Di kala gerak-daya reformasi dalam segenap aspek sosial semakin masyhur sebagai laungan retorik pelbagai penjuru, lensa arus massa tertumpu kepada keupayaan mahasiswa dalam mencorak hala tuju tanah air. Maka, gerakan mahasiswa di institut pengajian tinggi menjadi taruhan strategik untuk menyemarakkan aspirasi intelektual mahupun politikal dalam kalangan penuntutnya.

Rentetan daripada acara tahunan Universiti Malaya iaitu Pilihan Raya Kampus (PRK) 2019 yang sedang hangat berlangsung, ingin saya kongsikan di sini pemerhatian dan pengamatan saya berkenaan gerakan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) agar kehangatan PRK kali ini dapat diselitkan dengan idea dan perspektif yang membina dalam kalangan mahasiswa yang mengundi. Selanjutnya pada makalah ini, saya turut sertakan secebis perkongsian mengenai kaedah penilaian ilmiah dalam memilih aliran gerakan mahasiswa yang unggul idealismanya dan realistik perjuangannya.

Seputar perbincangan PRK UM, mustahil untuk kita mengabaikan arkitektonik (struktur perancangan rapi) gerakan mahasiswa yang bernaung di bawah payung parti-parti politik dalam membawa suara dan agenda berteraskan kebajikan siswa; satu acuan mainstream (arus perdana) untuk diundi sebagai saf kepemimpinan menerajui kampus. Tidak perlu kiranya untuk saya sebutkan kesemua parti yang bertanding pada PRK UM 2019 kerana sudah pasti semua pembaca sudah mengikuti perkembangan nuansa (perbezaan yang halus) front-front politik yang wujud di UM secara tuntas dan hemat.

Apa yang menarik di sini, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang baru sahaja dipinda memberikan satu dimensi baru buat mahasiswa dalam berpolitik di kampus. Kuasa autonomi yang didambakan dan diperjuangkan figura-figura hebat semenjak 4 dekad yang lalu akhirnya kini dalam dakapan penuh siswa UM.

Masakan mampu rakyat Malaysia lupakan peristiwa-peristiwa bersejarah dalam kancah arena politik kampus; seperti kebangkitan suara mahasiswa secara kolektif dek karisma Adam Adli & Safwan Anang, kemegahan Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam memimpin peranan dakwah di kampus mahupun nasional dan tidak dilupakan juga Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang lantang mendesak kerajaan mendaulatkan semula bahasa kebangsaan serta menjadi pewira bagi kemelut tani dan buruh negara 1967.

Gerakan mahasiswa yang diperjuangkan parti-parti politik kampus ini sebenarnya menjadi gambaran terhadap masa hadapan politik negara. Kata Saidina Ali RA;

“Jika kamu mahu melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini”

Bagaimana lagi ingin kita prediksi suasana politik negara sedasawarsa nanti kalau tidak dilihat politik anak muda hari ini? Seyogianya siswa kini dan selamanya mengamalkan politik matang tanpa fitnah dan seranah. Justeru, pilihan dan undian mahasiswa perlulah berdasarkan kefahaman, penelitian serta penilaian yang sahih.

 

 

 

1. Prinsip Penubuhan & Agenda Perjuangan

Jika kita cermati satu persatu entiti politik yang ditubuhkan di kampus, pastinya kita mampu membezakan matlamat penubuhan serta prinsip-prinsip yang acap kali dilaungkan bila tibanya musim pilihanraya kampus. Namun pada hemat saya, tidak dapat tidak sesebuah parti yang mendokong gerakan mahasiswa itu sewajarnya mempunyai prinsip yang jelas terhadap intelektual dan budaya keilmuan siswa di kampus mahupun di peringkat nasional. Tidaklah layak sesebuah parti itu mengagung-agungkan hak mahasiswa jikalau mengabaikan tanggungjawab asasi untuk menuntut dan mendalami ilmu.

Firman Allah SWT:

~~~

Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama. [39:18]

Setinggi mana sekalipun perjuangan dijulang, ilmu itu kekal menjadi senjata yang perlu dimiliki setiap pejuang agama bangsa dalam menjadi nakhoda ummah. Walau apa sekalipun agenda yang dibawa, pastikan kita memilih gerakan yang meletakkan dasar intelektual sebagai agenda pertama dan utama.

Selanjutnya, sebagai mahasiswa Islam yang yakin akan keberkesanan gerak-daya yang digariskan cendekiawan agama khususnya dalam ruang lingkup politik, prinsip tarbiyyah & dakwah amatlah mustahak. Tarbiyyah & dakwah secara praktikalnya sangat efektif dalam memangkin gerakan mahasiswa yang holistik dan produktif. Apa buktinya? Mari kita telusuri sejenak sejarah kemegahan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) suatu ketika dahulu.

PMIUM bukanlah parti politik kampus, namun prinsip tarbiyyah yang dibawa gerakan mahasiswa ini wajar diambil iktibar. Penubuhannya diasaskan mahasiswa UM, Singapura iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas pada 1956. Perjuangannya mula memperlihatkan suatu pola gerakan dinamik dan menjadi sebuah badan dakwah yang sangat aktif dalam mendepani arus massa. Usrah dan ceramah agama rancak diadakan di surau-surau kolej kediaman UM dan menjadi medium utama dalam membangunkan gerakan dakwah di kampus.

Qiammullail, Kuliah Umum, Tamrin (workshop), rehlah (berkelah) dan muqaiyam (khemah ibadat) menjadi sebahagian program tradisi tarbiyyah PMIUM. Gerakan dakwah PMIUM tidak statik malah terus mara meniti arus massa kampus. Fenomena maksiat dan lucah dalam Minggu Haluan Siswa telah mendorong PMIUM melakukan demontrasi aman pada tahun 1971. Natijahnya, PMIUM diberi ruang menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) demi menerapkan ‘faham Islam’ kepada para mahasiswa baru.

Sudah terang lagi bersuluh, proses tarbiyyah itu menjadi teras yang jitu bukan sahaja dalam aspek perjuangan hak mahasiswa, malah dalam membawa gerakan mahasiswa ke suatu tahap yang dibanggakan Islam.

 

2. Memperjuangkan Kebajikan Mahasiswa

Sabda Rasulullah SAW:

“Siapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari sebuah kesulitan di antara berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan salah satu kesulitan di antara berbagai kesulitannya pada hari kiamat.”

[متفق عليه]

Islam itu sendiri sebuah agama kebajikan. Terdapat sejumlah besar nas Al-Quran mahupun hadith Rasulullah yang menganjurkan ummatnya menjaga kebajikan sesama manusia. Berbalik kepada topik kita iaitu gerakan mahasiswa, jika disingkap satu persatu sejarah politik kampus UM khususnya sewaktu legasi pertembungan sengit Barisan Mahasiswa Bersatu dan Gagasan Mahasiswa pada 90an hinggalah kini, kesemuanya melaungkan takbir kebajikan mahasiswa sebagai dasar manifesto.

Perjuangan kebajikan siswa sudah menjadi mainstream (arus perdana) dalam politik kampus. Namun, apa yang membezakan tatacara blok-blok politik ini memperjuangkan kebajikan adalah dasar atau sandaran pemikiran mereka, sama ada berasaskan landasan syariat, beraspirasi pemikiran Barat ataupun sekadar retorik semata-mata.

Kebajikan bukan hanya soal kewangan semata-mata, tanpa menafikan bahawasanya wang menjadi keperluan asasi untuk siswa kekal mandiri di institusi pengajian. Namun perbincangan kebajikan dalam Islam jauh lebih luas daripada itu. Kebajikan dalam Islam bukan sahaja meliputi usaha menjaga kesejahteraan manusia dalam menjalani kehidupan di dunia dengan aman dan selesa, bahkan juga usaha meraih kesejahteraan insani yang abadi akhirat kelak. Tuntasnya, agama meletakkan kebajikan manusia itu secara seimbang antara kehidupan bermasyarakat serta kehidupan sebagai hamba Tuhan.

Akhir kalam, institusi pengajian tinggi negara kita khususnya UM sendiri telah meraih berbagai tingkat kejayaan, yang semestinya membuatkan kita berbangga. Tetapi betapa pun demikian, ini tidak menyurutkan langkah kita untuk membuat perubahan yang bermakna kepada siswa serta agama. Memetik ungkapan pemikir ulung agama, Syed Muhammad Naquib Al-Attas;

“Pembangunan manusia dalam Islam terpusat dan berakar umbi di dalam pendidikan, di mana tujuannya bukan sekadar melahirkan manusia yang baik (good citizen), malah manusia beradab”.

Wacana dan pelaksanaan gagasan pengislaman ini tidak lain tidak bukan haruslah bermula dari keringat mahasiswa lagi! Maka saya seru kita semua untuk memerhati & menilai gerakan mahasiswa yang benar-benar mampu mengendong aspirasi ilmuan Islam sebagai acuan perjuangan.

 

Azrie Zaidi

Jabatan Syariah dan Muamalat, Universiti Malaya

 

 

RUJUKAN

Daud, W. M. N. W. (2017). Peranan Universiti: Pengislaman Ilmu Semasa, Penafibaratan dan Penafijajahan. Kuala Lumpur: Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS).

Tehrani, F. (May 2013). Gerakan Mahasiswa: Dari Sebelum Jinjang, Hinggalah ke Sungai Buloh. Retrieved from Projek Dialog website: http://www.projekdialog.com/featured/gerakan-mahasiswa-dari-sebelum-jinjang-hinggalah-ke-sungai-buloh/

Mila. (2011). Sejarah PMIUM. Retrieved from Faisalkini website:             http://faisalkini.blogspot.com/2011/11/sejarah-pmium.html

Leave a Reply