Timur dan Barat : Menelusuri ‘adab, realiti dan ekonomi

Tanggal 6 November yang lalu, Maharaja Akihito telah menyampaikan anugerah berprestij dalam sejarah iaitu Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Imperial. Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi oleh Maharaja Jepun untuk pembesar asing dan negarawan terbilang untuk sesebuah negara. Secara tidak langsung, penganugerahan ini telah menjadikan beliau sebagai pemimpin ketiga dari Asia yang menerima darjah kebesaran tersebut selain Dr. Manmohan Singh dan Lee Kuan Yew.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dijemput beberapa kali untuk memberikan ucapan khas dalam parlimen Jepun. Ini merupakan satu penghormatan kepada Malaysia, dan boleh dikatakan saban tahun, beliau juga hadir sebagai panelis atau ucaptama di sana. Kepentingan Jepun dalam dasar luar Malaysia adalah sangat signifikan, iaitu sebagai rakan dagang keempat terbesar di Malaysia. Negara kita pula adalah rakan dagang kesepuluh terbesar bagi negara Jepun.

Persoalannya, mengapakah Jepun (negara matahati terbit) sebagai tempat rujukan?

Pemilihan Jepun sebagai rujukan merujuk kepada persoalan nilai dan etika kerja masyarakat Jepun. Adakah kita menolak Barat? Sudah pasti tidak, perbandingannya, walaupun pertumbuhan di Barat agak rancak, namun terdapat keruntuhan dari sistem nilainya. Negara Jepun tidak kurang rancak dari sudut pertumbuhannya namun masih dapat mempertahankan nilai ASEAN yang murni. Pertumbuhan ekonomi dan mata wang negara Jepun juga semakin bertambah kukuh dan meningkat berbanding sebelumnya.

Berkaitan dengan isu pinjaman mata wang Yen oleh kerajaan Malaysia sebelum ini, antara perkara yang sepatutnya diteliti selain kadar faedah adalah tentang syarat-syarat yang telah dikenakan. Begitu juga tempoh masa yang dikenakan untuk membuat pembayaran semula. Seperti mana yang difahami, pinjaman softloan berbentuk Yen adalah bertujuan untuk membayar hutang negara yang bertimbun. Ini bukanlah perkara baharu. Sebelum ini, pinjaman seperti ini pernah dilakukan bagi membantu membina infrastruktur negara. Hubungan bilateral ini seharusnya dikekalkan. Rakyat Malaysia berharap dan yakin bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah meneliti semua perkara, perjanjian dan syarat-syarat yang telah dimeterai.

Dari aspek pendidikan pula, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan penubuhan universiti Jepun di negara kita. Antara manfaat yang boleh didapati adalah rakyat boleh belajar nilai-nilai murni dari Jepun, dan dalam masa yang sama Malaysia sebagai hab pelaburan pendidikan ini. Umum sedia maklum, jalinan hubungan pendidikan yang berteraskan keilmuan dan kebudayaan dengan negara Jepun sudah lama terjalin. Impak dari jalinan tersebut sudah pasti mengeratkan lagi hubungan dan masa depan Malaysia dan Jepun akan bertambah baik.

Kerjasama antara Tokyo dan Putrajaya dalam aspek perdagangan juga perlu diperkukuhkan semula. Negara kita merupakan antara 15 buah negara pengesksport tertinggi di dunia. Dengan adanya hubungan bilateral ini bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, kebolehpasaran graduan dan kepakaran dalam era telekomunikasi dan jalur lebar tinggi.

Saat ini, suara Malaysia semakin didengari diperingkat dunia, lebih dihormati dan menjadi kuasa politik yang lebih seimbang kerana kita juga sebahagian dari pemain global. Negara-negara kecil perlu diberi peluang untuk berdiskusi dengan negara gergasi bagi mengatasi pengaruh-pengaruh lain. Dari segi geopolitik, sebuah negara yang kecil perlu mempunyai persediaan yang rapi. Antaranya membina kerjasama dengan negara Jepun apabila berhadapan dengan ancaman negara gergasi yang lain.

China yang pernah disebut oleh Napoleon Bonaparte sebagai gergasi yang lena akhirnya telah bangun. Keperluan bagi negara China adalah kuasa geopolitik yang besar. Contohnya, semenanjung Laut Cina Selatan yang dilihat sangat penting bagi negara China dan bukti-bukti lain yang menunjukkan negara kita banyak dikepung oleh projek-projek mereka. Kita memahami negara China sedang meluaskan pengaruhnya di Selat Selatan dengan caranya yang tersendiri. Oleh itu, negara kita haruslah bijak dalam menjalinkan hubungan multilateral ini dengan hikmah dan berwaspada.

Rakyat Malaysia sentiasa berdoa dan berhasrat untuk melihat Malaysia kembali bangkit semula dan menjadi antara kuasa utama ekonomi dunia hasil dari kerjasama tersebut dan Dasar Pandang Timur 2.0.

 

Azim Sholehin

Aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

Universiti Sains Islam Malaysia, Kuala Lumpur

Leave a Reply