Pada 30 September 2020, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad telah mengeluarkan kenyataan untuk mewujudkan Tabika Kemas Elit bagi golongan M40. Beliau berkata, tujuan tabika elit ini dibina adalah untuk membantu golongan ibubapa M40 bagi memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk berdaftar di tabika. Tabika elit ini akan menyediakan dasar kurikulum yang lebih baik berbanding tabika kemas yang sedia ada.

Mengikut data daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, terdapat 10, 000 tabika kemas yang telah berjaya didirikan di Malaysia bagi membantu golongan ibubapa yang kurang berkemampuan dengan menyediakan peluang pendidikan awal kepada anak-anak mereka. Jumlah yuran yang dikenakan bagi tabika kemas adalah sebanyak RM15 ke Rm20.

Kenyataan Timbalan Menteri ini telah mendapat banyak kritikan daripada orang ramai termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang. Bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak agar semua ahli parlimen sama ada dipihak kerajaan mahupun pembangkang untuk menolak usul yang dicadangkan ini.

Soal pendidikan kanak-kanak bukanlah satu perkara yang boleh dipermainkan. Pendidikan awal kanak-kanak cukup penting bagi membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak agar masa depan mereka terus terjamin. Sebelum ini, isu pendidikan negara kita dihangatkan berkaitan dengan isu sekolah vernakular yang memisahkan kaum. Kerajaan pula ibarat mencurah minyak ke api dengan membangkit soal pendidikan yang memisahkan anak-anak mengikut kemampuan keluarga.

Pemisahan dan pengasingan ini akan membantutkan perhubungan kanak-kanak sejak kecil yang sepatutnya mereka membesar secara bersama tanpa ada pemisahan kelas kekayaan. Kerajaan sepatutnya mencari jalan yang lebih tuntas dan berkesan agar masalah yang dihadapi oleh ibubapa golongan M40 untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke tabika kemas.

Sebaiknya dana yang ingin digunakan oleh kerajaan untuk membangunankan tabika elit tersebut dapat dibelanjakan kearah yang lebih baik seperti memperbaiki tabika yang sedia ada dari segi kemudahan infrastruktur, menaikkan gaji para pendidik, meningkat kemudahan asas dan sebagainya. Selain itu juga, kerajaan seharusnya menyelaraskan sistem pendidikan awal kanak-kanak tanpa mengira pendapatan ibubapa mereka.

Pendidikan yang baik dan sempurna adalah hak mutlak untuk semua kanak-kanak tanpa mengira kaum, agama, dan kelas pendapatan. Penulis juga menolak cadangan tersebut yang akan dibentang di mesyuarat kabinet akan datang dan akan dibentang di Dewan Rakyat kelak.

Semoga pendidikan negara kita tidak dieksploitasi oleh golongan-golongan yang berkepentingan.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN,
Angkatan Muda Keadilan
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply