“Lelaki dan wanita ibarat sayap seekor burung. Lelaki disebelah kanan dan wanita disebelah kiri. Jika salah satunya tidak berfungsi, maka burung tersebut tidak boleh terbang ke langit.”

Ini adalah kata-kata daripada Presiden Indonesia yang pertama iaitu Soekarno atau Bung Karno untuk para pemuda lelaki dan wanita Indonesia. Orang ramai akan mula terpegun sekiranya sang presiden ini berbicara tentang soal perjuangan dengan penuh bersemangat. Namun, bukan sosok tubuh ini yang hendak kita bicarakan tetapi, soal pengetahuan anak muda Malaysia tentang politik nasional. Adakah anak muda di negara kita semakin cakna tentang dasar dan hala-tuju negara?

Berdasarkan pemerhatian umum yang dibuat oleh penulis sendiri, kebanyakan anak muda tidak mengambil berat tentang politik. Apabila disoal berkaitan dasar, keputusan dan matlamat kerajaan, mereka seolah-olah tidak mengetahui langsung tentang hala-tuju negara. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan ini sepenuhnya di bahu mereka. Kemungkinan mereka tidak diberi kesedaran oleh ibu bapa dan masyarakat setempat tentang kepentingan politik dalam negara. Apakah yang menyebabkan anak muda Malaysia tidak minat akan berpolitik?

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah berjaya meluluskan satu Rang Undang Undang agar syarat pengundi yang berumur 21 tahun diturunkan kepada 18 tahun. Penggubalan ini telah memberi makna yang cukup besar kepada rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa tetapi, ada sebahagian daripada rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Ini kerana majoriti anak muda pada masa ini kurang pendedahan tentang struktur pentadbiran negara Malaysia dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh Malaysia sejak merdeka.

Akibat daripada kurang pendedahan telah menimbulkan keresahan dan kerisauan rakyat Malaysia kerana anak muda hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan.

Anak muda seharusnya diberi penerangan dan pencerahan sejak diperingkat sekolah lagi. Setelah had umur mengundi berjaya diturunkan, pendidikan politik amat penting dalam sistem pendidikan negara. Bila disebut soal politik, bukanlah nama-nama atau parti sahaja yang mereka perlu ketahui,tetapi soal pembahagian kuasa (eksekutif, legislatif, judisiari), perbezaan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri, Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, fungsi-fungsi kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, pendidikan sejarah juga sangat penting untuk membina jati diri dan sahsiah anak muda bagi membentuk anak muda yang berpatrioktik dan cinta akan tanah air. Perkara ini perlu diberi penekanan yang semaksima mungkin. Apabila perkara-perkara ini sudah difahami dan dihayati, maka mudah bagi anak muda untuk memahami struktur pemerintahan negara.

Selain soal pendidikan diperingkat sekolah, ibubapa dan masyarakat setempat perlu memainkan peranan yang amat penting supaya pendedahan ini mudah dilakukan. Ibu bapa seharunya memberi kebebasan kepada anak-anak mereka supaya bergiat aktif dalam berpersatuan dan memberikan galakkan kepada mereka untuk menyertai sebarang badan organisasi sama ada dibawah kawalan kerajaan, NGO, dan sayap pemuda parti politik. Sebagai salah seorang ahli sayap pemuda parti politik, saya berasa amat bersyukur kerana dapat berkongsi pengalaman, idea dan pandangan bersama rakan-rakan seperjuangan dalam membuat dasar tentang anak muda untuk diketengahkan kepada para menteri. Kami memperjuangan tentang soal kehidupan mahasiswa, isu pengangguran belia, peluang pekerajaan, peluang pendidikan dan banyak lagi perkara yang melibatkan masa depan anak muda.

Dalam menyertai setiap organisasi atau kumpulan, kita perlu bijak mengatur langkah supaya kita tidak menjadi mangsa percaturan kepada orang yang mempunyai kepentingan diri di dalam parti. Sekiranya keputusan yang diberikan itu baik, maka wajar diterima. Sekiranya buruk, wajar untuk dilawan.

Kita sedar bahawa anak muda sudah bosan dengan krisis politik yang melanda negara kita sekarang. Itu adalah salah satu punca anak muda tidak minat dengan politik. Bagi mereka, politik ini rasuah, khianat, penipuan dan bermacam-macam lagi perkara negatif. Perkara ini berlaku disebabkan oleh ahli politik itu sendiri yang menjadikan arena politik ini sebagai tempat untuk memenuhi kepentingan peribadi dan sebagainya. Yang perlu dipersalahkan dalam hal ini ialah ahli politik itu sendiri, bukannya politik. Politik ini ibarat pisau. Jika pisau ini berada ditangan penjenayah, maka pembunuhan akan berlaku. Jika pisau ini berada di tangan tukang masak, maka akan digunakan untuk memotong sayuran.

Sebagai pengakhiran, saya menyeru kepada semua anak muda Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, marilah kita bersama-sama membina semula negara kita yang tercinta ini dengan corak pemikiran yang baru dan moden. Kita buang segala budaya negatif yang selama ini diamalkan oleh ahli politik dan kita meraikan budaya politik baru yang lebih matang dan progresif.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN,
Angkatan Muda Keadilan
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply