Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya, agama dan bahasa. Kepelbagaian ini telah menjadikan Malaysia yang terdiri daripada 33 juta penduduk sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia. Di Malaysia, sebanyak 60 bahasa telah dipertuturkan oleh penduduknya dan terdapat tiga bahasa utama yang diamalkan iaitu bahasa Melayu, Mandarin dan juga Tamil.

Bahasa Melayu telah dijadikan lingua franca di Malaysia disebabkan oleh majoriti penduduknya berbangsa Melayu. Selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak ada halangan untuk belajar dan mengajar bahasa ibunda kaum lain. Sikap toleransi kaum Melayu semasa zaman pasca kemerdekaan telah memberi ruang dan peluang kepada kaum-kaum lain untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka untuk dipertuturkan.

Penggunaan Bahasa Melayu haruslah dimartabatkan oleh setiap lapisan masyarakat agar Bahasa Melayu ini terus kekal relevan dan dipandang tinggi.

Namun, Bahasa Melayu mula diperkotak-katikan oleh sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu tidak lagi relevan untuk dipertuturkan. Apakah yang menyebabkan Bahasa Melayu diancam oleh rakyatnya sendiri?

Soal bahasa merupakan satu isu yang sangat sensitif jika dibicarakan. Perbincangan dan perdebatan sering diwujudkan sama ada di media sosial atau di tempat awam. Perbincangan yang dilakukan merupakan sesuatu perkara yang sihat dalam tradisi ilmu. Sekiranya sesuatu pandangan itu dikeluarkan tanpa memikirkan perasan kaum lain, maka kita khuatir hati mereka akan terguris dan mampu merencatkan hubungan kaum di Malaysia.

Bahasa Melayu perlu diberi keutamaan dan penekanan oleh rakyat. Proses ini perlu bermula dari pendidikan tidak formal di rumah. Ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memberi perhatian yang khusus kepada anak-anak mereka tentang keutamaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berbanding bahasa ibunda masing-masing. Anak-anak kecil ini ibarat kain putih yang bersih, ibubapa harus bertanggungjawab dalam mencorakkan mereka dengan kasih sayang dan mewarnainya dengan keikhlasan. Anak-anak akan mudah terpengaruh dan terikut dengan cara ibubapa di rumah.

Terdapat juga sesetangah ibubapa yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi di rumah dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai keutamaan berbanding Bahasa Melayu. Kebanyakan daripada mereka merupakan golongan yang berpendapatan tinggi. Anak-anak mereka juga didedahkan dengan Bahasa Inggeris melalui pembacaan buku, lagu kanak-kanak dan pertuturan harian. Perkara ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan peranan Bahasa Melayu mula dipandang rendah.

Keutamaan Bahasa Melayu juga perlu diberi keutamaan dalam kalangan masyarakat setempat. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu tidak boleh diletakkan diatas bahu pihak berkuasa dan kumpulan NGO sahaja. Sebagai rakyat Malaysia,kita juga bertanggungjawab bagi membantu mereka dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

Selain itu juga, industri percetakan buku dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memperbanyakkan penerbitan buku-buku ilmiah dalam Bahasa Melayu di Malaysia. Tindakan ini dapat membantu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selaras dengan Bahasa Inggeris sabagai bahasa dunia keilmuan.

Kekurangan terbitan buku ilmiah dalam Bahasa Melayu di pasaran tempatan menyebabkan proses keilmuan di Malaysia terbantut. Cukup sukar untuk mencari buku-buku ilmiah di kedai buku berbanding buku ilmiah yang diterbitan dalam Bahasa Inggeris.

Kita sedar bahawa bahasa inggeris perlu diberi keutamaan dalan dunia keilmuan. Tetapi, jangan sesekali kita memandang rendah dan mengabaikan bahasa melayu sebagai bahasa ibunda dan kebangsaan negara.

Sikap perkauman yang menebal dalam diri sesetangah masyarakat juga menyebabkan Bahasa Melayu dipandang rendah. Bagi mereka, bahasa ibunda mereka lebih mulia darjatnya berbanding bahasa kaum lain. Sikap ini telah menyebabkan mereka lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing dan tidak mahu mempelajari bahasa kaum lain. Sebagai rakyat Malaysia, Bahasa Melayu tetap menjadi keutamaan tidak kira kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya. Jika bukan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang mengangkat Bahasa Melayu, siapa lagi yang hendak diharapkan?

Kita rasa cukup berbangga apabila Bahasa Melayu kini mula dipertuturkan di serata dunia. Masyarakat dunia mula belajar dan mengenali Bahasa Melayu yang unik sama ada diperingkat sekolah atau universiti. Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang diadakan setiap tahun di Malaysia disertai oleh beberapa orang wakil pelajar di seluruh negara telah menjadikan Bahasa Melayu setanding dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa gedung ilmu dan mampu untuk menarik minat orang ramai untuk mempelajarinya.

Di peringkat sekolah juga, anak-anak mula diberi pendedahan tentang kepentingan Bahasa Melayu melalui program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai khazanah ilmu dan menggalakan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.

Justeru ditegaskan disini bahawa sikap toleransi dan patriotisme dalam diri rakyat Malaysia perlu dikekalkan bagi memelihara keamanan dan keharmonian kaum dengan mengekalkan budaya dan bahasa ibunda masing-masing.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN
Angkatan Muda Keadilan,
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply