Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu keistimewaan yang dianugerahkan kepada seseorang. Penguasaan ilmu pula merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tanpa mengira status seseorang sama ada rakyat miskin atau golongan diraja.
Penerokaan ilmu itu memerlukan nilai kesabaran yang tinggi dan kesungguhan yang jitu dalam mendepani setiap ujian dan halangan. Dalam penerokaan sesebuah ilmu itu, proses pendidikan amat penting bagi membentuk sesebuah insan dan tamadun yang berpendidikan.
Penguasaan bahasa juga memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan. Di Malaysia khususnya, Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda dan lingua franca kepada 32 juta rakyatnya. Bahasa melayu mula diangkat sebagai bahasa kebangsaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.
Namun begitu, kepentingan Bahasa Melayu dalam soal pendidikan mula diperkecilkan oleh sesetengah pihak yang beranggapan bahawa Bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu setanding Bahasa Inggeris.
Bagaimana mungkin Bahasa Melayu dapat menjadi bahasa ilmu tatkala bangsanya sendiri yang merendah-rendahkan peranan bahasa ibundanya. Kita harus percaya bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu setanding Bahasa Inggeris terutama sekali dalam ilmu Sains dan Matematik.
Kita sorot kembali sejarah penguasaan bahasa dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula diperkenalkan pada tahun 2003 oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Dasar ini mula dilaksanakan selaras dengan penguasaan Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik yang mula berkembang dalam pembangunan sumber manusia.
Namun, pelaksanaan dasar ini mendapat maklum balas daripada orang ramai akibat daripada kelemahan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris yang berpotensi untuk menjejaskan reputasi pelajaran. Atas faktor itulah, maka dasar PPSMI ini mula dimansuhkan pada tahun 2012 oleh Menteri Pendidikan Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya memperkenalkan program dwibahasa.
Pelaksanaan dasar PPSMI ini telah meregangkan lagi jurang pendidikan diantara anak bandar yang menguasai Bahasa Inggeris berbanding anak desa yang kurang menguasainya. Program dwibahasa yang dilaksanakan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menguasai Bahasa Inggeris serta memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Penguasaan Bahasa Inggeris perlu diberi penekanan sebagai bahasa dunia, tetapi Bahasa Melayu juga perlu diangkat sebagai bahasa dunia dengan kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Bahasa Melayu.
Pengeluaran buku-buku yang berunsur ilmiah dalam Bahasa Melayu di negara kita perlu ditingkatkan pengeluarannya bagi memudahkan penguasaan ilmu dalam masyarakat. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memainkan peranan yang penting dalam menterjemahkan buku-buku ilmiah ke dalam Bahasa Melayu supaya penguasaan sesuatu ilmu itu dapat berjalan dengan berkesan.
Tuntasnya, penguasaan ilmu dan bahasa menjadi satu jabatan kemajuan dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan bermoral dalam mengangkat martabat insan yang berdaya saing.