Susulan daripada peningkatan kes jangkitan Covid -19 di Malaysia yang sudah mencecah 3 digit, maka semua ahli politik sama ada daripada parti pemerintah (Perikatan Nasional) dan parti pembangkang (Pakatan Harapan) perlu melakukan gencatan politik seketika. Keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu diberi keutamaan oleh kerajaan demi memastikan kesihatan rakyat terus terjamin kerana itu adalah lebih mustahak buat ketika waktu ini.

Kestabilan pemerintahan dapat membantu kerajaan melancarkan pemberian bantuan kepada rakyat demi meringankan beban yang dihadapi oleh orang ramai. Pengumuman pemberian Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu telah memberi sedikit nafas kelegaan kepada rakyat Malaysia bagi terus menghadapi situasi yang tidak dijangka.

Sekiranya sebarang rampasan kuasa berlaku, pemerintahan kerajaan akan menjadi bercelaru dan menyebabkan proses pemberian bantuan akan terbantut. Tindakan ini akan memberi kesan yang buruk, bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kesan kepada ekonomi negara terutama sekali melibatkan pelaburan asing di negara kita.

Kehangatan suhu politik negara semakin panas semenjak beberapa minggu yang lepas, Ketua Pembangkang Dato’ Sri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti yang cukup selesa dan kukuh untuk membentuk kerajaan yang stabil berbanding kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai sokongan yang tipis di dewan rakyat. Ura-ura yang mengatakan bahawa terdapat beberapa orang ahli-ahli UMNO yang menyokong pembentukan kerajaan dibawah pimpinan Dato’ Sri Anwar Ibrahim. Perkara ini diperkukuhkan susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Dr Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara tersebut.

Selepas jatuhnya kerajaan negeri Sabah dibawah pimpinan Parti Warisan yang diketuai oleh Tan Sri Shafie Apdal, PilihanRaya Negeri Sabah telah diadakan pada 26 September yang lalu. Akibat daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan, ramai ahli politik semenanjung telah ke Sabah bagi membantu jentera parti untuk berkempen bagi calon parti masing-masing. Semasa PRN itu diadakan, Sabah merupakan negeri yang mempunyai risiko jangkitan yang tinggi di beberapa kawasan seperti Putatan,Lahad Datu dan Semporna.

Selepas tamat PRN Sabah, orang ramai mula balik ke semenanjung untuk meneruskan aktiviti mereka. Terdapat sebahagian ahli-ahli politik dan masyarakat awam tidak melakukan kuarintin diri selama 14 hari walaupun keputusan ujian saringan menunjukkan negatif. Selang beberapa hari, ujian saringan yang seterusnya menunjukkan keputusan positif. Cuba bayangkan berapa banyak nyawa yang menjadi ancaman akibat daripada mereka yang tidak mematuhi arahan kuarantin diri dengan menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pihak tertentu.

Kesannya rakyat akan menanggung beban yang besar akibat daripada individu yang mementingkan kuasa dan kedudukan.

Sebagai seorang rakyat Malaysia dan ahli sayap pemuda,saya menggesa supaya tidak berlaku sebarang tindakan rampasan kuasa oleh mana-mana pihak. Negara sedang menghadapi serangan musuh yang tidak kelihatan tetapi kesannya cukup besar sehingga mampu mengakibatkan kematian.

Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 4 Mei yang lalu, kebanyakkan operasi perniagaan terpaksa ditutup dan tidak dibenarkan untuk beroperasi. Kesannya, negara kita telah kehilangan RM2 bilion sehari akibat daripada penyebaran wabak yang sukar untuk dikawal.

Bersama-sama kita berganding bahu dan bersatu hati dengan mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN
Angkatan Muda Keadilan,
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply