Sejak beberapa bulan yang lepas, dunia telah dikejutkan dengan satu berita berkenaan wabak Covid-19. Seperti mana yang kita semua tahu,wabak ini bermula dari negara China di wilayah Wuhan kemudian sudah merebak ke serata dunia. Sebanyak 172 buah negara dibawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah diserang dengan wabak ini termasuklah negara kita sendiri iaitu Malaysia.
Kemunculan wabak Covid-19 ini telah menyebabkan rakyat diseluruh dunia menjadi TAKUT kerana kesan kepada individu yang terkena wabak ini,akan membawa kepada kematian. Di Malaysia sahaja, setakat ini kementerian kesihatan telah mencatatkan seramai 27 kematian dan jumlah pesakit yang positif terus meningkat. Kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diseluruh negara bagi memutuskan tali jangkitan wabak ini dari terus merebak.
Namun, dalam kegelisahan ini kita dapati ada segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan berita-berita atau artikel-artikel yang kurang menyenangkan. Disini juga saya tertarik dengan beberapa artikel atau video yang dihasilkan oleh beberapa orang pemuda berkaitan dengan ‘Ketakutan Tuhan dan Ketakutan Covid-19’.
Sebelum kalian melanjutkan pembacaan ini,penulis ingin mengingatkan pembaca supaya bertenang, buka fikiran dan hati seluas-luasnya. Kita tidak menafikan bahawa wabak covid-19 ini telah menimbulkan ketakutan dan jagkitan kepada semua insan manusia tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan darah keturunan. Ini tidak bermakna kita telah menyerahkan segala katakutan ini kepada wabak Covid-19 dan bukan kepada Tuhan. Kita perlu tahu, bahawa wujudnya wabak ini adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri yang memperkosa seluruh dunia demi ketamakan dalam diri. Mungkin Tuhan juga menghantar wabak ini untuk dijadikan ibrah atau pengajaran kepada kita semua bahawa alam semesta ini masih mempunyai TUANnya. Adakah ini juga tanda pembalasan Tuhan kepada kita? Wallahua’lam.
Seterusnya, mentaliti menghukum yang ada dalam diri rakyat Malaysia (terutama orang Islam) perlu diubah. Apabila wabak ini berlaku di China, semua berpakat mengatakan bahawa ini pembalasan tuhan untuk kerajaan dan rakyat China kerana membunuh muslim Uighur di wilayah Xinjiang. Apabila wabak ini mula melanda di negara kira sendiri yang dikatakan negara Islam, semua pakat diam. Kenapa ? Mana pergi semua hujah dan dalil untuk menghukum? Itulah sifat manusia yang menjadi peguam yang baik kepada diri sendiri dan menjadi penghukum yang handal kepada insan lain. Saya sudah katakan awal tadi, wabak ini merebak dan berjangkit tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan darah keturunan.
Tidak ketinggalan juga ada yang mengatakan bahawa umat Islam ini sebenarnya takutkan mati dan cintakan dunia. Saya jawab YA, memang umat Islam takutkan mati kerana kita sedar siapa diri kita. Dosa dan pahala kita berlainan dan saya tak nak teruskan berkenaan dengan isu dosa dan pahala ini. Saya juga tertarik dengan kata kunci ‘CINTAKAN DUNIA’. Kita sering dengar perkataan “Setiap penyakit ada penawarnya” dan untuk mendapatkan penawar kepada sesuatu penyakit,kita perlu berusaha melakukan banyak ujian dan uji kaji. Tujuan manusia melakukan ujian adalah untuk memastikan wabak ini dapat dihapuskan serta risiko wabak ini dapat dikurangkan.
Bukan lah ini bermakna manusia yang kerdil ini cuba untuk melawan kuasa Tuhan yang maha besar. Kematian memang tidak dapat dielakkan dan syarat untuk mati itu masa. Memang yang menyebuhkan sesuatu penyakit itu adalah tuhan,tetapi sekurang-kurangnya ada juga manusia yang berusaha dan berkerja keras demi memastikan kesihatan seluruh manusia terjamin. Saya bagi satu situasi kepada pembaca, sekiranya seseorang itu mengalami kecederaan di kepala akibat kemalangan, adakah dengan berdoa sahaja penyakit itu dapat disembuhkan? Sekiranya kita mempunyai otak yang waras dan logik, semestinya kita katakan tidak.
Kita bukanlah cintakan dunia wahai sahabat, kita sebenarnya memikirkan nasib yang akan menimpa keluarga kita nanti. Sekiranya seseorang itu mempunyai tanggungan,apakah nasib mereka akan terbela? Apa pula fungsi kota sebagai umat islam untuk membantu insan-insan ini. Penulis cuba untuk pembaca berfikir bahawa setiap perkara yang berlaku ini pasti mempunyai hikmah. Kita sebagai manusia yang dianugerahkan akal, mesti menggunakan akal ini untuk tujuan yang betul dan bukan menjatuhkan hukum semata-mata. Itu lah membezakan manusia dan haiwan. Allah SWT juga berfirman dalam Al Quran ” Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum, sehingga mereka merubah dengan tangan mereka sendiri.” ( Surah Al Raad ayat 11).
Bersama lah kita, menjalankan tanggungjawab kita sebagai umat Islam yang berakal, bertawaqal dan beriman dengan mematuhi segala arahan Tuhan untuk Akhirat dan mematuhi arahan ulil amri di dunia. Kepada mereka yang telah pergi akibat wabak ini, kita berdoa supaya mereka ditempatkan bersama golongan-golongan orang yang beriman.
Muhd Azha bin Salahuddin
Angkatan Muda Keadilan
Cabang Setiawangsa