PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan menggesa semua universiti awam membuka akses masuk untuk masyarakat luar sebagaimana amalan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.

Menurut laporan Utusan Online, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, naib-naib canselor dan timbalan-timbalan juga dikehendaki tidak menghalang sebarang bentuk program debat, forum atau wacana yang dianjurkan mahasiswa.

 

“Selaras dengan hasrat menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka, kita tidak boleh meletakkan ‘barrier’ (penghalang) di pintu-pintu masuk contohnya beberapa universiti yang meletakkan palang-palang.

“Mulai hari ini kita mahu universiti menjadi medan untuk masyarakat menimba ilmu, bertukar idea dan dialog. Kita mahukan suasana universiti di Malaysia sama seperti di negara-negara maju,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11(1), di sini, semalam.

Menurut Maszlee, beliau sendiri pernah berdepan dengan sekatan sedemikian dan kini sebagai Menteri Pendidikan, dia mahu membawa suara mahasiswa dan warga akademik untuk menghentikan segala kekangan tersebut.

By Editor

Leave a Reply