Oleh; Sya. S

Hari ini, sudah masuk hari ketiga pelajar-pelajar baharu menghadiri kuliah seperti biasa, hari pendaftaran subjek juga masih belum sampai ke tarikh penamatnya.

Hari ini juga, merupakan hari ketiga saya menetap di unit kediaman luar kampus, dan untuk ke kampus, saya perlu menaiki bas laluan C yang telah disediakan oleh pihak pengurusan pengangkutan Universiti Malaya.

Sekali-sekala saya akan menggunakan alternatif menaiki bas rapid berharga RM1 untuk ke Stesen LRT Universiti untuk menukar laluan bas rapid ke Universiti Malaya yang juga memperuntukkan RM1 bagi perjalanan seterusnya. Jumlah keseluruhan bagi kos perjalanan ke kampus daripada tempat saya (Taman Bukit Angkasa) adalah sebanyak RM2.

Selaku mahasiswa yang suka berjimat, saya cuba menggunakan bas yang disediakan oleh pihak universiti, RM2 mungkin kelihatan kecil, tapi jika setiap hari harus mengeluarkan RM2, satu semester sudah berapa? Setelah menimbang tara, saya telah memilih alternatif menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak universiti bagi mengurangkan kos perbelanjaan kenderaan.

Namun, pada kemasukan semester 2017/2018 satu jadual baharu laluan bas Universiti Malaya telah dikeluarkan. Setelah menyemak semula jadual perjalanan bas, nota bertulis telah disertakan bersama jadual bas baharu tersebut.

 

Nota tersebut bertulis:-

 

  1. Bas tidak akan beroperasi pada hari berikut;
  • Hujung minggu ( Sabtu dan Ahad)
  • Hari kelepasan am
  • Minggu Ulangkaji Peperiksaan
  • Cuti Semester

 

  1. B) Perkhidmatan bas akan direhatkan pada 12.30PM sehingga 2:45PM bagi laluan untuk solat Jumaat.
  2. C) Masa jadual bas adalah bergantung kepada situasi trafik.
  3. D) Operasi jadual bas ini akan bermula pada semester pertama 2017/2018

Perubahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan bas Universiti Malaya secara amnya amat mendukacitakan dan cukup menganggu jadual perjalanan pelajar.

Bas untuk setiap hujung minggu, cuti am, minggu ulangkaji peperiksaan, cuti semester akan diberhentikan operasinya, dimana purata bilangan pelajar yang amat memerlukan penggunaan servis bas pada waktu tersebut adalah tinggi. Pelajar kadangkala perlu berulang-alik dari tempat ke satu tempat untuk menguruskan urusan kampus pada hujung minggu bagi mengelakkan pertindihan urusan pada waktu kuliah.

Ada juga pihak yang bercadang bahawa penggunaan kenderaan awam lain (bas rapid, mrt, uber, grab, taxi) boleh digunakan, namun cadangan ini adalah sesuatu yang tidak relevan, kerana penggunaan kepada servis tersebut adalah berbayar dan akan menelan duit mahasiswa.

Bukan itu sahaja, operasi masa bagi laluan bas A dan B turut terganggu, hal ini kerana operasi bas pada pukul 3PM-5PM turut diberhentikan. Apakah sebenarnya yang berlaku pada waktu tersebut? Apakah relevannya menghentikan pergerakan bas pada masa-masa padat pelajar ketika itu? Sudah jelas lagi bersuluh, penggunaan bas pada waktu puncak, pada waktu tersebuat amatlah diperlukan oleh pelajar bagi menghadiri kuliah, lebih-lebih lagi untuk pelajar kolej kediaman laluan bas A dan B dimana purata penggunaanya adalah lebih ramai.

 

Bersangkutan dengan hal operasi masa bagi laluan bas, laluan bas unit luar kampus yakni bas laluan C dan D juga turut diterhadkan penggunaanya. Jikalau dahulu, masa penggunaan bas luar kampus dipanjangkan sehingga pukul 11.00 malam, namun pada semester ini, masa penggunaan bas luar kampus hanyalah diperuntukkan sehingga pukul 8.30 malam sahaja. Masa laluan bas daripada UM sentral juga turut dilambatkan, dan akan beroperasi bermula pada 12.30PM.

Perubahan jadual baharu laluan bas ini amat meruntun jiwa dan sanubari pelajar-pelajar Universiti Malaya, seramai 2064 orang pelajar telah mengisi petisyen pada https://www.change.org/p/um-return-the-old-um-shuttle-bus-schedule bagi mendesak perubahan jadual bas yang baharu.

Seharusnya, pihak pengurusan pengangkutan Universiti Malaya perlu mengkaji secara keseluruhan penggunaan bas pada waktu-waktu tertentu. Mengeluarkan notis bertulis dan pernyataan alasan bagi perubahan jadual bas baharu perlulah dibuat agar pelajar yang menggunakan servis bas tidak berteka-teki tentang keadaan dibalik tabir.

Semoga keadaan bas Universiti Malaya baik-baik sahaja!

 

 

Leave a Reply