Kerja memang banyak di pasaran, tapi untuk kemahiran rendah

Kerajaan selalu mengatakan ruangan pasaran buruh di Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang sihat. Ketika pandemik dulu, jabatan kerajaan yang mengatakan di industri ada lebih daripada 200,000 pekerjaan kosong, tapi yang memohon masih kurang?

Saya melihat hal ini hampir mustahil berlaku, lebih-lebih lagi ramai orang yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19. Secara logiknya, mustahil ada lambakan kekosongan kerja berlaku kerana ramai yang sedang terdesak untuk mendapatkan pekerjaan. Kelihatannya kekosongan pekerjaan yang tinggi seperti didorong oleh korporat untuk mendesak kerajaan menerima pekerja asing yang akan lebih mudah untuk dieksploitasi.

Berbalik kepada isu tawaran pekerjaan yang dikatakan semakin tinggi di Malaysia, memang benar ada lebih 200,000-500,000 pekerjaan yang ditawarkan, tetapi kebanyakannya dalam sektor kemahiran rendah.

Antara hujah yang paling kerap kita dengar daripada Persekutuan Majlis Majikan Malaysia adalah masalah penguasaan bahasa Inggeris punca utama graduan Bumiputera sukar mendapat pekerjaan di sektor swasta yang menawarkan lebih 90 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.

Naratif graduan tidak fasih Inggeris atau kurang kemahiran insaniah merupakan naratif yang telah lama dibawa, terutamanya oleh pasukan majikan ini. Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris, sebenarnya keadaan di pasaran buruh kita lebih tenat, dan masalahnya tidak semudah kurang fasih sesuatu bahasa.

Masalah sebenar kita adalah perihal ‘mismatch’ (padanan) dalam pasaran buruh yang perlu ditangani segera.

Berbalik kepada cerita saya tentang 200k kerja kosong yang pernah didakwa kerajaan, setelah melihat secara teliti, 200,000 pekerjaan yang ditawarkan oleh jabatan kerajaan ini majoritinya hanya memerlukan kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Lebih tepat, 76 peratus dari 266,279 pekerjaan yang ditawarkan dalam portal mencari kerja jabatan ini hanya memerlukan SPM. Masalahnya, cuma 71,497 (27 peratus) daripada 268,846 pencari kerja yang berdaftar di portal ini ada kelayakan di bawah paras SPM. Seramai 121,429 (46 peratus) daripada pemohon aktif pada portal ini merupakan graduan yang memiliki ijazah sarjana muda. Saya memberikan angka-angka ini untuk memberi gambaran kepada anda – kadar pemohon dan kekosongan pekerjaan sangat ‘mismatch’.

Kita memiliki ramai graduan, tapi peluang pekerjaan yang ada terlalu sedikit. Sebab itu dari awal lagi saya kata; masalah pengangguran di Malaysia bukan berlaku kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah semata-mata, ia berlaku kerana kurangnya pekerjaan di industri. Apa kesan daripada masalah ‘mismatch’ yang berlaku di industri ini?

Akhirnya graduan terpaksa bekerja dengan gaji yang rendah, dan ia akan sentiasa memberi keuntungan kepada majikan

Ketika saya menulis artikel ini, sedang tular isu sebuah syarikat penyiaran yang mengiklankan pekerjaan dengan gaji RM1,000-1,500 untuk mereka yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun dalam industri penyiaran.

Ia adalah contoh praktikal tentang masalah yang berlaku dalam pasaran buruh kita. Kekurangan kerja, dan lambakan graduan – akan menyebabkan majikan berani menawarkan gaji yang rendah – kerana mereka tahu ramai graduan yang sedang terdesak mencari kerja, dan sanggup menerima apa jua tawaran yang ada.

Keadaan ini sentiasa memberi keuntungan kepada majikan, sebab itulah mereka gemar menggunakan naratif penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ia untuk menutup masalah sebenar pasaran buruh kita.

Walaupun masalah pasaran buruh kita sudah berlaku dengan lama – universiti sentiasa meningkatkan kadar pengambilan setiap tahun, dan institusi pengajian tinggi swasta tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Pendidikan kini menjadi perniagaan yang amat menguntungkan. Keadaan ini menyebabkan lambakan graduan terus berlaku.

Kerajaan perlu fokus dalam memperkasakan kolej-kolej kemahiran, dan mengurangkan kadar pengambilan pelajar ke universiti. Kedua-dua langkah ini akan memperbaiki masalah lambakan graduan dan perkerjaan yang ‘mismatch’.

Dalam tempoh jangka masa pendek, apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menghubungkan rakyat dengan pekerjaan-pekerjaan yang ada; walaupun ia akan ‘mismatch’.

Kita memerlukan indikator yang baru selain kelayakan akademik; kita perlu melihat kemahiran yang dimiliki pencari kerja, kemudian barulah ia dihubungkan dengan peluang pekerjaan yang ada.

Masalahnya, kebanyakan portal mencari kerja cuma fokus menapis pemohon berdasarkan kelayakan akademik mereka semata-mata. Apabila kita berjaya menghubungkan pencari kerja berdasarkan kemahiran, barulah kita boleh fokus berbincang tentang gaji wajar.

Pandemik COVID-19 telah memperlihatkan ramai orang dibuang kerja, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita membetulkan masalah pasaran buruh dan merevolusikan industri pencarian kerja yang ada di Malaysia.

Leave a Reply