Mengenang  Marsinah
Maisarah Mohd Pauzi
facebook.com/maisarah.mohdpauzi

Pernahkah anda terfikir, bahawa lembaran sejarah yang tercatat selama ini kebanyakannya hanya mencatat kisah para bangsawan dan masyarakat elit sahaja? Kalau difikirkan semula, sudah tentu logik kerana golongan elit memiliki pencatat harian. Lihat sahaja pada seluruh istana di dunia ini, pasti ada penulis yang akan mencatatkan setiap peristiwa yang berlaku pada setiap hari.

Sejarah rakyat untuk ditemui kerana bilangan tulisan yang ada sangat terhad. Apabila  zaman telah berubah kita beralih ke zaman pasca Perang Dunia, kita berpeluang untuk membaca banyak peristiwa yang melibatkan pelbagai golongan.

Baiklah, tujuan penulisan kali ini adalah untuk menyingkap sejarah seorang wanita biasa yang dikenang dengan cara yang luar biasa. Apabila disebut tentang tokoh wanita dalam sejarah, khususnya di Indonesia, kita akan teringat pada R.A. Kartini. Walaubagaimanapun, bukan kisah R.A.Kartini yang ingin saya tulis tapi seorang wanita dari kelas pekerja bernama Marsinah.

Siapakah Marsinah?

24 tahun yang lalu, tanggal 8 Mei 1993, Marsinah yang merupakan seorang aktivis buruh telah ditemui mati di sebuah hutan di Dusun Jegong,  Ngajuk, Jawa Timur, Indonesia. Menurut laporan akhbar, sebelum mayatnya ditemui, beliau telah diculik, diseksa dan akhirnya diperkosa. Hal ini turut dibuktikan dengan laporan bedah siasat yang mendapati kesan luka dan lebam di bahagian leher dan pergelangan tangan akibat dipukul dengan objek keras.

1

Pastinya kita tertanya-tanya, kenapa seorang wanita yang tidak berdosa ini dizalimi dan dianiaya sedemikian rupa? Marsinah bukan seorang aktivis terkenal, bukan tokoh politik, atau tokoh ekonomi. Malah beliau tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajarannya di peringkat tinggi. Walaubagaimanapun, wanita ini sangat gemar membaca dan mencintai ilmu. Beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mengikuti kursus komputer dan Bahasa Inggeris.

Punca Pembunuhan Marsinah

Punca utama kekejaman ini adalah disebabkan oleh tuntutan kenaikan upah di tempat kerjanya. Tuntutan ini bermula apabila keluarnya Surat Edaran No. 50/Th. 1992 dari Gabenor Jawa Timur. Pekeliling tersebut menggesa para majikan untuk menaikkan gaji pekerja sebanyak 20% dari gaji pokok. Akan tetapi, sebagaimana sifat kapitalis yang kita kenali, mereka tidak mahu menunaikan tuntutan ini dek kerana kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung akan meningkat. Marsinah telah memimpin kaum pekerja PT Catur Putra Surya untuk mendapatkan kenaikan gaji dari Rp 1.700 menjadi Rp 2.250 per hari.

Walaubagaimanpun, sehingga hari ini, pembunuh Marsinah masih belum ditemui. Hari ini, Marsinah dikenang oleh aktivis buruh di Indonesia kerana peristiwa pembunuhannya adalah salah satu bukti sejarah pelanggaran Hak Asasi Manusia di Indonesia.

2

Bagi mengenang insan bernama Marsinah ini, kumpulan Punk Marjinal telah mendedikasikan sebuah lagu mereka yang bertajuk ‘Marsinah’. Berikut merupakan lirik lagunya:

Kulihat

Buruh perempuan

Berkeringat

Membasahi bumi

Yang gelap

 

Energi yang kau curahkan

Begitu besar tlah kurasakan

Terhanyut dalam kesombongan terlupakan

 

Gemerlap cahayamu

Membentangi garis kehidupan

Ada lara rintih caci maki

Kau hadapi

 

Keringat dan ketegaranmu

Mengalir deras tak ternilai

Hanya tetes darah dan air mata

Yang kau curah

 

Ooo Marsinah

Kau termarjinalkan

Ooo Marsinah

Matimu tak sia sia

Ketika kita mengenang R.A. Kartini dan pejuang wanita lain di tanah air kita, marilah kita turut mengenang sosok bernama Marsinah ini. Wanita, sungguhpun jarang didengar penglibatan mereka dalam lipatan sejarah, tapi, mereka wujud walaupun sejarah mereka agak terpencil. Semoga para pembaca tidak lupa pada pelanggaran Hak Asasi Manusia ini dan terus menjujung tinggi keadilan.

 

Leave a Reply