Negara Tanpa Nakhoda, Rakyat Jadi Mangsa

 

Terdapat dua isu utama negara yang perlu diberi keutamaan, pertama peningkatan kes Covid 19, kedua kes banjir di beberapa buah negeri. Kedua-dua kes ini memberi tamparan hebat buat rakyat, sudahlah rakyat kebanyakan ramai yang hilang punca pendapatan kerajaan hari ini bagai sudah karam. Senyap tanpa usaha mengurangkan beban rakyat, yang ada cuma ayat retorik penyedap rasa.

Semalam tular surat terbuka daripada 46 pakar perubatan negara tentang keadaan negara yang dikira tidak terkawal akibat peningkatan kes Covid 19. Dalam surat terbuka bertarikh 7 Januari 2021 yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, mereka menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan serius bagi mengurus beban ke atas sistem kesihatan negara susulan peningkatan kes.p

Jumlah kes harian semalam mencapai angka 3 iaitu sebanyak 3,021 kes yang tertinggi semenjak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah manakala Malaysia sudah mencatatkan sebanyak 521 kes kematian Covid19. Semenjak PRN Sabah yang lalu, jumlah kes dilihat semakin meningkat walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan namun sehingga sekarang Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba juga gagal mencari solusi untuk mengawal keadaan malah terdapat banyak kes ahli politik yang melanggar SOP PKPB terlepas dari tindakan undang-undang.

Begitu juga dengan kes banjir yang terjadi di beberapa buah negeri seperti Johor, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kita sedia maklum setiap kali bulan Disember hingga Mac ialah musim tengkujuh di negara kita. Namun, kerajaan seperti tidak mempunyai apa-apa persediaan bagi menghadapi banjir kali ini malah banjir pada tahun ini juga lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Faktor ini terjadi akibat proses pembalakan yang masih giat dijalankan terutamanya di negeri Pantai Timur tersebut. Kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu khususnya walaupun sudah menjadi kerajaan pusat masih gagal memberi bantuan pada rakyat malah tiada pelan tindakan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini buat rakyat mereka. Semalam negara mendapat perkhabaran duka apabila ada rakyat yang keletihan akibat memberi bantuan pada mangsa banjir dan turut lemas. Hal ini adalah bukti jelas kegagalan kerajaan memberi bantuan pada rakyat yang terjejas akibat banjir.

Kerajaan hari ini gagal melindungi alam sekitar yang menyebabkan kes banjir lumpur menjadi semakin tidak terkawal. Pembalakan haram yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini bukan sahaja menzalimi manusia, malah kesan buruknya turut menjejaskan hidupan lain dalam ekosistem hutan. Justeru itu, adalah mustahak untuk pihak berkuasa segera mengenal pasti punca dan siapa pelaku bagi mengenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Pembalakan haram menjejaskan fungsi hutan sebagai kawasan tadahan hujan dan boleh mengakibatkan tanah runtuh serta banjir kilat di kawasan terjejas serta sekitar dan hari ini rakyat menanggung derita akibat perbuatan tamak sesetengah pihak yang menggondol hasil hutan. Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Tuan Ibrahim Tuan Man perlu bertindak tegas kepada golongan pembalak haram dan membawa mereka ke muka pengadilan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Namun sehingga kini kedua-dua menteri bertanggungjawab hilang daripada radar tanpa membuat hebahan pelan jangka panjang dan solusi bagi mengatasi masalah negara untuk kedua-dua situasi ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mungkin masih sibuk bermesyuarat tentang nasib politiknya dan terus mengabaikan penderitaan rakyat bawahan. Inilah yang dikatakan negara nakhoda, pada akhirnya rakyat jaga rakyat.

Yuslaini Azmi merupakan aktivis politik yang aktif memberi pandangan dan buah fikiran terhadap isu semasa negara

Leave a Reply