Anak muda merupakan pelopor kepada kemajuan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Mereka tergolong dalam generasi Y, Z dan Alpha, lahir dan membesar pada era globalisasi dengan kemudahan teknologi yang canggih.

Kemodenan dari pelbagai sudut kehidupan menyebabkan mereka lebih cekap dalam menguruskan sesuatu perkara dengan mudah dan mempunyai perbezaan ketara dari generasi terdahulu yang dikategorikan sebagai generasi Baby Boomer dan generasi X yang hidup pasca perang dunia kedua di mana waktu tersebut negara baru dibebaskan dari cengkaman penjajah serta baru mengalami fasa pembentukan bangsa, menyebabkan generasi ini sering dikaitkan dengan generasi yang hidup dalam keadaan susah, perit pedih dalam membangunkan negara ke tahap keharmonian dan kedamaian yang dapat kita rasai pada hari ini.

Dalam mengecapi kemerdekaan Malaysia yang telah mencapai tahun ke-63, saya selaku pengarang yang merupakan anak muda dan anak jati negara ingin menyatakan pandangan saya terhadap isu berkait dengan negara ini pada masa kini khususnya dari aspek politik dan sosial. Isu yang pertama yang ingin ditekankan oleh saya ialah mengenai politik kerana kehebatan dan keunggulan sesebuah negara adalah berpaksikan kepada struktur pemerintahan dan pentadbiran negara tersebut.

Negara Malaysia yang sudah ditubuhkan selama berdekad lamanya ini mempunyai corak pemerintahan yang begitu unik iaitu berlandaskan kepada Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di mana pemerintahan negara dipacu oleh jentera yang datangnya dari kalangan rakyat biasa tetapi pada masa sama, negara ini masih menyanjung kemuliaan dan ketinggian darjat seorang raja. Dalam pada itu, perlembagaan diletakkan pada hieraki tertinggi bagi negara ini dan semua pihak sama ada raja, pemerintah hatta rakyat marhaen sekalipun tertakluk kepada ketertinggian perlembagaan ini.

Hasil daripada sistem pemerintahan yang teratur dan adil ini mampu membolehkan rakyat hidup dalam keadaan selesa tanpa sebarang peperangan dan pergolakan. Tiada lagi pertumpahan darah mahupun kehilangan nyawa yang diakibatkan oleh persengketaan fahaman dan ideologi politik. Namun begitu, kemelut politik secara kecil-kecilan masih lagi tidak dapat dinafikan berlaku di dalam negara ini apabila sistem politik di negara ini tidak dihayati sepenuhnya oleh segelintir ahli politik yang hanya berjuang atas prinsip kekayaan, kronisme, rasisme dan kleptokrasi yang sememangnya bersifat individualisme dengan menanam hasrat yang palsu terhadap perjuangan mereka untuk negara tercinta.

Amalan rasuah, penipuan dan perpecahan parti politik tidaklah menjadi sesuatu perkara yang asing lagi di dalam negara ini yang sedikit masa sahaja lagi akan memadamkan segala titik persefahaman dan kepercayaan yang dibina secara bersama dan prinsip terpenting iaitu bersatu padu dalam kepelbagaian.

Bagi memulihkan keadaan Malaysia pada hadapan, setiap ahli politik seharusnya berikrar dengan niat yang telus dan murni untuk memimpin negara Malaysia ini dengan menolak sebarang agenda dan fahaman lain yang semata-mata yang tidak membawa pengertian relevan terhadap negara ini. Mereka perlu menetapkan mindset mengikut haluan yang betul bagi membetulkan lagi perjuangan yang sekian lama sudah tersasar dari hala tuju yang sepatutnya.

Anak muda seharusnya diberi peluang untuk menceburi bidang politik dan meneruskan legasi yang pernah dipelopori oleh kepimpinan terdahulu kerana golongan ini akan menerajui negara pada masa hadapan yang sudah tentunya amat mencabar dan penuh gelombang persaingan di peringkat global. Mereka perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar yang positif dari ahli politik yang berpengalaman tentang ilmu kepimpinan negara. Anak muda sinonim juga dengan mahasiswa mahasiswi di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) , iaitu IPTS mahupun IPTA.

Sifat integriti dan bertanggungjawab hendaklah dipupuk dalam kalangan mahasiswa/wi dari segi kepimpinan, menyiapkan tugasan tanpa sebarang unsur plagiat, menceburkan diri dalam pelbagai organisasi seperti persatuan, kelab dan sebagainya. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, oleh itu marilah kita bersama-sama bangkit menjadi anak muda yang berani, komited dan lantang mengeluarkan pendapat dan cadangan.  Ini merupakan cadangan dan harapan yang perlu diambil kira bagi memulihkan dan menstabilkan aspek politik pada masa kini sehingga dapat dikekalkan pada masa hadapan.

Dari sudut sosial, negara Malaysia sudah tentunya mendapat tumpuan yang utama di seluruh dunia kerana negara ini terdiri dari ras kulit, strata sosial dan demografi yang begitu unik. Masyarakat di negara ini mempunyai pecahan kaum yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India serta terdapat juga suku kaum bumiputera yang pelbagai di negeri Sabah dan Sarawak. Setiap suku kaum mempunyai budaya, adat resam dan menganut agama yang berbeza iaitu agama Buddha, Hindu dan Kristian walaupun agama rasmi di negara ini adalah Islam seperti mana termaktub dalam Perkara 3 yang memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan.

Namun, persengketaan kaum saban hari semakin hangat dinyalakan oleh individu atau kelompok tertentu yang berpaut kepada sentimen kebencian, pengaruh politik dan kekurangan persefahaman terhadap perpaduan yang kian lama ditubuhkan berserta ikatan nilai kasih sayang, memahami antara satu sama lain bagi meneruskan kedamaian yang dikecapi berpuluh tahun lama.

Dalam usaha mewujudkan kelestarian sesebuah keharmonian negara, pengukuhan terhadap perpaduan kaum dan sosial harus dipupuk dengan berterusan dan semua anggota yang terdiri dari pelbagai lapisan dan perbezaan masyarakat seharusnya bersatu hati dan jiwa dalam berpegang teguh kepada ikatan kedamaian ini dan menolak sekeras-kerasnya segala bentuk anasir dan hasutan luaran yang bertujuan untuk memporak-perandakan kedamaian ini umpama api dalam sekam.

Pendidikan negara selayaknya dijadikan rujukan utama dalam melahirkan masyarakat yang bersatu padu di samping hanya berteraskan kepada faktor keilmuan dan akademik semata-mata. Di peringkat IPT, kita sebagai mahasiswa/i hendaklah bijak dengan mengelakkan menjadi racist dalam kalangan mahasiswa/wi itu sendiri. Kita seharusnya bersatu padu bukan berpecah belah mengikut kaum masing-masing. Oleh yang yang demikian, pendidikan yang diselaraskan aliran sebolehnya perlu disokong oleh semua kaum dan masyarakat kerana perkara ini memberi kemaslahatan yang berpatutan kepada pengukuhan perpaduan kaum pada masa hadapan.

Apa yang dapat dirumuskan mengenai penulisan berikut, pengarang secara zahir dan dalamannya telah membangkitkan pandangan dan kritikan terhadap aspek politik dan sosial bagi negara ini. Cadangan juga dikemukakan oleh pengarang sebagai penambahbaikan dan pelan masa hadapan yang perlu direalisasikan oleh pelbagai pihak yang terbabit dalam usaha untuk membina Malaysia yang lebih baik bagi dinikmati oleh generasi pada masa hadapan.

Akhir kalam, pengarang selaku anak muda amat berharap agar negara Malaysia akan sentiasa dilindungi dari sebarang huru-hara dan mampu menjadi negara yang gah di persada dunia.

Mohamad Adib Shubli Noor Azme,
Nurul Alia Mohd Jaafar
Exco Akademik & Intelektual,
Persatuan Harmoni UPSI.

Leave a Reply