Imran Tuah – Impak Wabak Pandemik Terhadap Kesan Pencemaran dan Perubahan Iklim.

Kita hidup di waktu era di mana krisis yang bersilang diangkat ke skala global, dengan tingkat ketidaksamaan yang tidak terlihat, kemerosotan lingkungan dan ketidakstabilan iklim, serta lonjakan baru dalam populisme, konflik, ketidaktentuan ekonomi, dan ancaman kesihatan masyarakat yang semakin meningkat. Semuanya adalah krisis yang perlahan-lahan menggoyahkan keseimbangan, mempersoalkan model ekonomi perniagaan kita seperti biasa selama beberapa dekad yang lalu, dan mengharuskan kita memikirkan kembali langkah-langkah seterusnya.

Semua pihak memerlukan respon global-ke-lokal dan pemikiran jangka masa panjang, di mana semua pihak perlu dibimbing oleh ilmu sains serta perlu melindungi individu yang terdedah kepada jangkitan antara kita, dan semua pihak yang terlibat memerlukan kehendak politik untuk membuat perubahan yang mendasar ketika berhadapan dengan risiko eksistensial.

Ada juga hikmah disebalik penularan wabak COVID-19. Dengan hampir seluruh dunia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mahupun Perintah Berkurung (menjadikan operasi perindustrian dan penggunaan pelbagai kenderaan berkurang), bumi dapat berehat sebentar daripada pencemaran alam.

Persatuan Geografi Nasional (National Geographic Society) melalui sebuah laporan baru-baru ini, telah memberi petunjuk bahawa pengurangan aktiviti manusia dibumi telah membantu kearah ini.

Dalam jangka masa hanya dua bulan sahaja, kualiti udara telah menunjukkan peningkatan sebanyak 21.5%. Bahkan bukan sahaja di bandar Wuhan tetapi di seluruh negara tembok besar cina tersebut. Data ini telah dianalisa melalui imej satelit dan disahkan oleh pihak NASA dan Agensi Angkasa Eropah sendiri. Pengurangan yang ketara ialah bahan nitrogen oksida di seluruh negara China.

Jadi, pengajaran pertama yang kita dapat perolehi dari wabak pandemik COVID-19 dan bagaimana ianya saling berkait dengan perubahan iklim ialah sistem kesihatan yang memiliki sumber daya yang baik, kesaksamaan sistem kesihatan dan khidmat tenaga kerja dari sektor kesihatan yang kuat adalah sangat penting untuk melindungi kita dari ancaman keselamatan kesihatan, termasuk perubahan iklim. Langkah-langkah berjimat cermat dan meminimumkan kos yang telah melemahkan sistem kesihatan di kebanyakan negara selama satu dekad terakhir harus diterbalikkan jika keadaan ekonomi dan masyarakat dapat bertahan dan sejahtera di era perubahan ini.

Seterusnya, pandemik yang kian berterusan menggambarkan bagaimana ketidaksamaan menjadi penghalang utama dalam memastikan isu kesihatan dan kesejahteraan rakyat, dan bagaimana ketidaksamaan sosial dan ekonomi berlaku dalam akses yang tidak sama kepada sistem penjagaan kesihatan. Sebagai contoh, ancaman kesihatan coronavirus, rata-rata, lebih besar bagi bandar dan masyarakat yang terdedah kepada tahap pencemaran yang lebih tinggi, di mana masyarakat yang tinggal di kawasan miskin akan lebih terjejas.

Hal yang turut sama berlaku bagi kesan kesihatan akibat perubahan iklim, dengan salah satu penyebab utamanya, pembakaran bahan bakar fosil, lalu meningkatkan pencemaran ke udara dan secara tidak proporsional mempengaruhi kesihatan mereka yang berada dalam paras kemiskinan.

Tidak dapat dinafikan, krisis seperti ini memberi peluang untuk menimbulkan rasa berperikemanusiaan, di mana ramai orang sedar apa yang paling penting; kesihatan dan keselamatan orang yang mereka sayangi, ditambah pula dengan kesihatan dan keselamatan masyarakat, negara dan sesama warga global sendri. Kedua-dua krisis iklim dan wabak yang sedang berlaku kini mengancam sesuatu perkara ini yang kita semua ambil peduli dan sayangi.

Coronavirus adalah satu bencana, tetapi ia membuka jalan yang baru. Bagaimana jika waktu sibuk, pengeluaran barang-barang yang sering tidak diperlukan atau cepat usang, dan perbelanjaan pengguna tanpa henti menjadi tenang? Sekiranya kita melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, kereta elektrik dan pengangkutan awam, dan berhenti membiayai bahan bakar fosil, bukankah kita dapat mewujudkan pekerjaan yang baik dan meningkatkan tahap kesihatan untuk diri kita dan kelestarian alam sekitar di bumi ini?

Lebih-lebih lagi, jika masyarakat kita dapat bertindak, seperti mana acap kali kita dapat lihat di dada media sosial, usaha membuat ratusan ventilator dan ribuan topeng pelindung, tentunya dalam tempoh beberapa tahun lagi kita juga dapat bertindak pada skala yang lebih besar untuk mendirikan, katakanlah, ratusan turbin angin, ‘insulate’ dan ‘solarize’ ratus ribuan bangunan, mengukir pita laluan basikal di seluruh bandar dan pinggiran bandar kita, dan sebagainya.

Memilih berdiam di rumah kediaman bukanlah kehendak, tetapi satu keperluan yang mandatori. Bagi masyarakat awam yang tidak memiliki kepakaran profesional dalam bidang perubatan, sumbangan pasif yang boleh kita mainkan hanyalah mudah, ‘duduk diam di rumah’. Ini sebagai menzahirkan juga sokongan moral kita kepada semua pihak yang terjejas. Simpatilah pada mangsa, ahli keluarga, petugas kesihatan dan pihak berkuasa berjuang 24 jam tanpa henti bagi melawan kebimbangan masyarakat terhadap pandemik ini.

Pesan Buya Hamka yang menumbuhkan cita-cita. Dikutip, dicantum daripada beberapa perkataannya;

“Yang jangan dibiarkan mati; Iman dan Harapan.

Jika segala jalan di dunia telah ditutup orang, jalan di langit luas terbentang.
Dua cahaya menembusi kegelapan, cahaya iman, cahaya harapan. Segelap-gelap malam kini, esok fajar menyingsing. Selelah-lelah mendaki kita pasti menurun, ke dataran yang datar, ke pengharapan yang besar”

Selagi ada iman, harapan akan sentiasa ada. Teruskan berdoa dan bertabah dengan hati yang cekal. Semoga beredar segera ujian ini.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat.

IMRAN TUAH,
Ketua Sayap AGRA Mahasiswa.

Leave a Reply