Negara-negara kuasa besar dunia kini sedang giat dalam usaha untuk meluaskan hegemoni di sekitar rantau masing-masing. Hal ini dapat dilihat bagaimana sebuah negara besar yang bernama China melancarkan pelan strategik yang dinamakan sebagai One Belt One Road (OBOR) dalam usaha meningkatkan lagi daya ekonominya. Pelan strategik ini bukan sahaja bersekitar di rantau Asia sahaja malahan rantau Afrika dan Eropah juga mendapat manfaat daripada pelan ini.

Walaupun pelan ini dilancarkan atas nama kesejahteraan ekonomi namun itu tidak menolak persoalan adakah China juga cuba mendapatkan sokongan daripada negara-negara yang terlibat dengan polisi-polisi yang ditetapkan oleh China kepada semua negara terbabit. Ini tidak dibincangkan lagi dengan tindakan Amerika Syarikat masuk campur dalam krisis di Asia Barat dan Asia Tengah dalam menentang Russia yang dikenali sebagai ‘heartland’ oleh ahli geografi British iaitu Halford Mackinder dan juga persaingan kedua-dua kuasa besar ini dalam menguasai Laut China Selatan.

Namun, bukan dua buah negara ini penulis ingin kupaskan. Penulis lebih tertarik dengan negara Turki mengenai dasar luarnya yang dikenali sebagai Neo-Ottoman. Dasar luar Turki ini boleh dikatakan sebagai satu tindakan hegemoni Turki selain daripada dua buah negara kuasa besar tersebut.

Apakah itu Neo-Ottoman?

Neo-Ottoman atau dalam bahasa Turkinya dipanggil sebagai Yeni Osmanlicilik merupakan sebuah dasar geopolitik luar yang diperkenalkan oleh pemerintahan kerajaan parti Justice and Deveploment Party ataupun Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) yang ketika itu di bawah pimpinan Recep Tayyep Erdogan.

Ideologi parti AKP yang konservatif telah membawa kepada terbentuknya dasar Neo-Ottoman ketika Erdogan menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002. Penulis melihat kegemilangan Empayar Turki Uthmaniyyah dahulu merupakan inspirasi kepada Erdogan untuk menjalankan dasar ini sebagai strategi geopolitik Turki.

Hal ini dikuatkan lagi dengan fokus dasar ini terhadap rantau Balkan, Timur Tengah dan Afrika Utara. Jika disorot kembali geografi kerajaan Turki Uthmaniyyah dahulu, kesemua rantau itu pernah menjadi sebahagian daripada empayar Turki Uthmaniyyah dan rantau yang paling besar dalam empayar ini ialah rantau Balkan. Mungkin Erdogan ingin melihat kegemilangan kerajaan Turki Uthmaniyyah dahulu di hadapan matanya iaitu ketika beliau memimpin Turki kini.

Harus juga diketahui bahawa disebabkan dasar ini juga permohonan Turki untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) telah ditolak oleh anggota-anggota EU yang lain. Mengapa? EU melihat kemasukan Turki akan mendatangkan masalah dari segi kestabilan politik kepada anggota EU yang lain. Tindakan Turki ‘mendekatkan diri’ dengan negara-negara Balkan menimbulkan rasa kurang senang anggota EU yang lain seperti Croatia dan Slovenia.

Ingin diingatkan juga wujudnya negara-negara baharu seperti Bosnia Herzegovina, Albania dan Kosovo berpunca daripada semangat negara bangsa yang tinggi. Ini ditambah lagi dengan pengaruh ikatan bangsa di Balkan dengan bangsa Turki, sudah tentu akan menimbulkan lebih banyak polemik di sana.

Turki telah mengukuhkan startegi geopolitiknya di Balkan dengan melancarkan Green Corridor dengan berfokus kepada menguatkan majoriti rakyat Muslim dan negara Muslim di sana. Hal ini boleh dikenali sebagai ‘ethno-religious’.  Tindakan Turki menonjolkan diri di Balkan mungkin boleh mendatangkan konflik kepada Russia yang dilihat ingin begitu menekan kekuasaan Russia di bahagian Eropah Timur.

Turki juga memfokuskan kepada benua Afrika dalam soal dasarnya ini. Erdogan pernah berkata bahawa Turki ingin benar-benar menjadi rakan kepada Afrika. Hubungan rapat antara Turki dan Afrika dapat dilihat amat baik apabila nilai perdagangan Turki di Afrika telah mencatatkan peningkatan daripada tahun 2003 kepada 20 billion dollar pada 2018. Turki melihat masalah dari segi hak asasi manusia sebagai peluang untuk Turki membina pengaruh di Afrika.

Kerajaan Turki melalui Yayasan Maarif telah membina banyak sekolah bagi membantu rakyat Afrika yang tercicir dari segi pendidikan. Yayasan Maarif ini ditubuhkan pada 2016 bagi menggantikan sekolah-sekolah yang ditaja Fethullah Gulen yang ditutup di 30 negara Afrika akibat dituduh berkomplot melancarkan rampasan kuasa terhadap Erdogan. Kesemua negara Afrika seperti Ethiophia, Niger, Tanzania, Madagascar, Mali, Benin dan Afrika Selatan yang memiliki sekolah-sekolah ini telah menutupnya dengan serta merta selepas diarahkan oleh Erdogan.

Kesempatan dalam hubungan yang baik ini digunakan oleh Turki untuk mendapatkan faedah yang begitu strategik. Hubungan rapat antara Turki dengan Sudan telah membolehkan Turki menempatkan pasukan tenteranya di Pulau Suakin yang terletak di Laut Merah pada tahun 2017. Hal ini telah menimbulkan rasa kurang senang kepada As Sisi kerana ini akan mengganggu perdagangan Mesir ke rantau Asia yang amat bergantung dengan Laut Merah sebagai laluan perhubungan ke sana.

Bukan setakat Mesir, Putera Mohamad juga mengkritik tindakan Turki menduduki Pulau Suakin kerana ini akan mencacatkan cita-cita Arab Saudi untuk menguasai Laut Merah. Penulis melihat tindakan Turki menguasai Laut Merah ini sebagai ‘counter attack’ kepada Arab Saudi yang berkonflik dengan Qatar, sekutu rapat Turki di Timur Tengah yang juga rakan dagang terbesar Turki di Timur Tengah mengikut laporan Middle East Monitor.

Peranan Turki dalam konflik ini hanya membantu Qatar dalam menghadapi tekanan daripada Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah lain yang menuduh Qatar membantu pengganas kerana menyokong Ikhwanul Muslimin yang juga merupakan sekutu rapat Turki ketika di bawah pimpinan Morsi dahulu. Negara-negara Timur Tengah yang berkonflik dengan Qatar ini semuanya adalah proksi kepada Amerika Syarikat.

Melihat kepada penglibatan Amerika Syarikat ini, agak sukar untuk dasar Neo Ottoman ini ingin dilaksanakan di Timur Tengah apatah lagi rantau Asia Tengah atau Eurasia yang ada Russia sebagai ‘penunggunya’.

Kesimpulan

Dasar Neo Ottoman ini dilihat sebagai satu ‘soft power’ daripada Turki untuk mendapatkan sokongan daripada rantau Balkan, Afrika dan Timur Tengah. Turki yang dilihat sebagai jaguh dalam menyuarakan masalah umat Islam yang ditindas oleh Barat telah menarik perhatian umat Islam seluruh dunia. Erdogan seperti bersikap ‘romantis’ dan bernostalgia dengan sejarah Uthmaniyyah  yang merupakan pusat kekuasaan Islam terbesar dan gah pada waktu dahulu dan itulah yang cuba dibawa oleh Erdogan sekarang.

Namun, saya berpendapat agak mustahil untuk Turki melaksanakan dasar ini dengan begitu berkesan. Di Balkan, Turki menghadapi tekanan yang kuat daripada EU sendiri. Kejatuhan Morsi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir telah merencatkan cita-cita Turki untuk bertapak di Afrika Utara. Timur Tengah pula sudah lama menjadi proksi kepada negara Uncle Sam.

Ini tidak ditambah lagi dengan krisis dalaman politik Turki dengan penentangan daripada bekas Menteri Luar yang dipecat Erdogan, Ahmet Davutoglu dan konflik bersama militan Kurdistan di tenggara Turki yang ingin menuntut kemerdekaan daripada Turki dan Syria sehingga makan masa bertahun-tahun. Untuk menjadi sebagai penyeimbang kekuasaan dalam politik antarabangsa, Turki mungkin boleh. Namun untuk meluaskan kekuasaan di luar rantau Eropah, penulis berasakan tidak.

Rujukan:

  1. Neo-Ottomanism: Turkey’s Foreign Policy Approach Africa, Asya Akca. 2018
  2. Kursad Turan, Neo-Ottomanism in Turkish Foreign Policy Through the Lense of the Principal-Agent Theory. 2016
  3. Qatar top list of foreign investments in Turkey, Middle East Monitor

https://www.middleeastmonitor.com

 

IMRAN HAKIMI,
Mahasiswa Sains Politik,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Leave a Reply