Izzat Dahelan – Kurang Ajar!

KURANG AJAR!

Izzat Dahelan

Suara Mahasiswa UMS

 

Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan kurang ajar? Adakah kurang ajar itu disebut dan dinyatakan kepada seseorang yang tidak mempunyai pelajaran? Atau kurang ajar itu kerana ia bersikap tidak baik kepada seseorang? Kurang ajar berlaku pada saat apa? Waktu apa?

Kurang ajar selalunya dianggap sebagai satu tindakan yang tidak sopan dan berbudi pekerti. Ia selalunya berlaku apabila ketegangan yang mungkin berpunca daripada pertelingkahan dan pergaduhan. Persoalannya, adakah sikap kurang ajar ini baik atau tidak baik? Jika melihat dari faham yang penulis sendiri berikan, iaitu kurang ajar adalah tindakan yang tidak sopan dan berbudi pekerti, dapat disimpulkan bahawa kurang ajar itu adalah sifat negatif? Benarkah demikian?

Pada pandangan penulis, kurang ajar tidak secara totalnya negatif ataupun positif. Ia mempunyai kedua-dua sisi tersebut, positif dan negatif. Bergantung kepada konteks dimana, kepada siapa, dan bagaimana sikap kurang ajar itu diimplementasikan.

Kurang ajar sangat subjektif. Sesiapa boleh menyatakan bahawa seseorang itu kurang ajar, tetapi kita harus bertanya dan mempersoal, apakah asas yang individu tersebut gunakan sehingga ia menyebut seseorang itu kurang ajar? Mungkin bagi seseorang itu, sikap keras dan menuntut dengan sebenar-benar nekad itu kurang ajar. Namun, bagi pihak lainnya, mungkin tidak. Mungkin baginya itu adalah cara mereka untuk mencapai matlamat mereka. Mungkin bagi seseorang itu, tindakan menjawab balas seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dan berautoriti itu kurang ajar. Namun, bagi pihak lainnya, mungkin tidak. Mungkin baginya itu adalah satu tindakan yang bertujuan untuk menyatakan kebenaran dan menegakkan budaya memberi pandangan (walaupun berbeza).

Oleh itu, kurang ajar pada pandangan penulis harus ada. Namun, bergantung pada beberapa konteks dan hal-hal. Kurang ajar merupakan pemecah kepada kebuntuan semasa yang sangat membelenggu sesuatu tempoh masa. Kurang ajar telah menyebabkan berlakunya revolusi di Perancis yang telah menghilangkan pemerintahan beraja yang sekian lama menguasai masyarakat. Kerana tiada sikap kurang ajar ini, masyarakat juga terus dikuasai kebuntuan dan kebingungan dalam menentukan arah tuju hidup mereka.

 

Bilakah sikap kurang ajar itu harus ada?

Sikap kurang ajar tidaklah boleh kita munculkan dan tunjukkan pada bila-bila masa mengikut rasa hati kita. Tetapi sikap ini, haruslah diwujud dan ditimbulkan apabila tidak lagi punya jalan lain yang kita boleh lakukan. Tidak ada lagi satu negosiasi diberikan. Ruang perbincangan sudah ditutup sama sekali. Jadi, pada ketika inilah sikap kurang ajar itu harus ditunjukkan. Ditunjukkan bagi mereka yang telah menutup ruang hak memberi pandangan dan hak untuk kita berbincang berkenaan hal-hal yang melibatkan kepentingan diri kita.

Penulis membicarakan soal praktik sikap kurang ajar ini adalah di dalam konteks konflik golongan atasan dan golongan bawahan. Hal ini kerana apabila penulis mengamati perkara yang berlaku disekeliling, sangat mendukacitakan. Ini kerana satu penilaian dan pengadilan yang sangat tidak adil diberikan apabila konflik berlaku diantara golongan atasan dan bawahan.

 

Seperti kata Mustafa Bisri di dalam puisinya,

 

“…Orang kecil berani dikata kurangajar, orang besar kurang ajar dikata berani…”

 

Inilah sifat dan pegangan semasa masyarakat kita. Apabila beraninya seseorang itu, lantangnya seseorang itu berhadapan dengan golongan minoriti pemegang mutlak autoriti, dikatanya pula kurang ajar. Rasanya, iya. Mungkin benar kurang ajar, tetapi kurang ajar itu adalah untuk menuntut kebenaran dan keadilan! Mengapa sikap mengabaikan, sikap menyuruh, sikap menindas, dan pelbagai lagi tindakan jelek orang atasan tidak disebut kurang ajar? Sedangkan, tindakan mereka itu sangat jelas mengguna kuasa. Mengguna kuasa untuk menunjuk-nunjuk apa yang patut kepada golongan bawahan. Seperti diri mereka adalah yang betul dan benar. Tidakkah mereka ini perlu diajar tentang hak kesamarataan dan adil dalam melayan sesama manusia? Kerana mereka kurang ajar!

Bila berlakunya demikian, harus ada sikap kurang ajar! Supaya jelas dan berkedip mata mereka melihat respon kita yang padanya ‘berani benar’. Kurang ajar menuntut hak lebih mulia daripada diam sahaja dan membiarkan orang atasan itu terus menerus bertindak menekan orang dibawahnya.

Jadi, sikap kurang ajar ini wujud apabila berlaku penindasan dan penafian hak oleh golongan atasan kepada golongan bawahan. Sikap kurang ajar ini, harus ada. Pecahkan budaya membabi buta dan berkhayal. Bangkitlah dan mula melawan dengan penuh ghairah! Penuh kurang ajar! Supaya yang di atas tidak lagi lupa bahawa ia boleh dijatuhkan pada bila-bila masa oleh majoriti manusia dibawahnya.

 

Sifat takut untuk kurang ajar.

 

Ramai yang takut untuk bertindak kurang ajar. Kerana mereka sangka bahawa kurang ajar itu hanyalah satu tindakan yang negatif semata. Mereka lupa bahawa kurang ajar itu telah berlaku dalam lipatan sejarah. Sikap kurang ajar itu telah menyebabkan jatuh bangun sesebuah kekuasaan. Sikap kurang ajar itu juga telah menyebabkan naiknya seorang susuk tubuh dipuji dan dianggap sebagai seorang wira dunia.

Ketakutan ini wujud dalam diri seseorang adalah kerana adanya rasa hormat di dalam diri. Tidak dinafikan, kita harus hormat menghormati antara satu sama lain. Kita harus dan perlu menghormati sesama manusia! Tapi adakah hormat itu hanya datang daripada kita? Bagaimana dengan mereka yang berada di atas? Hormat apa yang mereka berikan kepada kita? Apabila adanya majlis menerima kedatangan orang berjawatan dan berportfolio, kita orang-orang kecil ini di suruh untuk datang lebih awal ke majlis tersebut. Tetapi, orang-orang besar ini dengan tanpa rasa bersalah datang lewat. Bila kita orang-orang kecil datang lewat bertemunya, itu dikata tidak menghormati dirinya! Tidak menghormati masanya!

Sampai bila hormat sebegini akan terus kita tunjukkan. Sampai bila diri kita dipijak-pijak golongan atasan ini. Yang tidak punya kuasa menunduk, yang punya kuasa terus-menerus dengan keangkuhan dan kesombongan untuk mengangkat kehormatan diri! Jadi untuk apa hormat kepada orang yang tidak memberi hormat kepada kita? Jangan terus menerus menjadi bodoh dan diperbodohkan. Hormat biarlah ditempatnya, bukan di setiap masa, sehingga hilang nilai diri!

Kemudian, budaya sopan santun ini juga menjadi sebab mengapa masyarakat kita amat tidak senang dengan sikap kurang ajar. Pada mereka, kurang ajar ini bertentangan dengan budaya. Memang ia bertentangan dengan budaya sopan santun yang sekian lama menjadi cerminan orang-orang kita! Kerana sopan jugalah kita jatuh sehingga kebawah tapak kaki penjajah! Kerana sopan jugalah kita pada hari ini tidak dapat membela nasib bangsa sendiri! Kerana sopan yang keterlaluan! Sehingga tidak sedar bahawa diri sendiri yang semakin ditelan oleh orang-orang yang mengambil kesempatan atas kesopanan kita!

Jangan kerana berpegang kepada dua prinsip hormat dan budaya sopan santun, kita rela diperguna, kita tidak mempunyai kudrat untuk menentang orang yang jelas-jelas memperguna dan menindas kita! Ini harus diubah, pemikiran sebegini harus dibuang dan jangan disimpan di benak fikiran. Ini akan menyebabkan kita terus berada dalam keadaan mundur dan tidak berubah.

 

Kurang ajar untuk tujuan yang baik.

 

Apa tujuan baik kurang ajar? Tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat hak dan keadilan yang jelas!

Kurang ajar juga menjadi satu perkara yang akan membantu diri kita. Membantu diri kita membela diri. Selepas semua ruang perbincangan ditutup, sikap kurang ajar inilah akan kita gunakan untuk dijadikan sebagai cara terakhir! Senjata terkahir!

Tujuan baik kurang ajar ini adalah untuk melawan perkara yang nyatan salah. Apabila orang atasan melakukan kesalahan, ramai orang-orang bawahan dalam golongan penjilat mengatakan bahawa tindakan itu tidak salah? Penjilat-penjilat ini adalah parasit dalam masyarakat. Parasit yang hanya mengambil manfaat. Parasit yang akan menjadi punca kepada diri kita semakin hilang hak-hak kita. Yang nyata salah itu harus ditentang. Kurang ajar adalah alat penentangan yang sebenar-benar tentang. Ketika mereka menafikan, kita membenarkan bahawa itu salah dengan sikap kurang ajar! Sampai bila kita mahu berbicara baik, sedang bicara baik kita mereka tidak dengari? Sampai bila kita menjadi orang bodoh yang hanya mampu diam dan aku setelah ditolak oleh pembuat kesalahan ini.

Pembelaan juga merupakan satu tujuan baik kurang ajar. Mungkin apa yang kita bela dan apa yang kita ujarkan kepada mereka sudah mulai diabaikan, inilah masanya sikap kurang ajar menjadi kosmetik tindakan kita dalam membela! Membela orang yang tertindas, membela diri yang tertindas, dan membela hak yang dicabuli. Jika kurang ajar kita kerana pembelaan, itu adalah kurang ajar yang positif. Pembelaan adalah satu perkara yang kurang didengar. Kerana orang atas mengaggap itu bukan kepentingannya, buat apa didengar pembelaan yang dibawa? Di saat ini, harus kita maju mendesak dengan sikap ‘kurang ajar’ yang niatnya tidak lain adalah untuk membela.

Menuntut keadilan yang tidak diletakkan pada tempatnya juga adalah satu tujuan yang suci. Penulis melihat ramai masyarakat yang berusaha keras dalam menuntut hak diri mereka. Namun, apabila tuntutan tersebut tidak di layan. Mereka hanya akur. Mereka hanya tunduk. Mungkin ini adalah satu penyakit yang telah membarah dalam masyarakat pada hari ini. Penyakit tidak mempunyai rasa nekad dalam diri. Haruslah diubati penyakit ini. Diubati agar tidak menjadi penghalang kepada tuntutan yang dilakukan. Apabila tuntutan tidak dilayan dan tidak diendahkan. Gunakanlah sikap kurang ajar yang janggal itu. Supaya pengabaian itu berubah menjadi perhatian kepada kita yang menuntut. Kurang ajar itu harus jelas untuk apa. Jika sikap sedemikian ada, tapi tujuannya tidak baik. Tujuannya tidak memberi manfaat kepada masyarakat atau penegakkan hak, itu adalah sikap kurang ajar yang negatif. Harus dijauhkan!

Demikianlah sikap kurang ajar. Dilihat seperti suatu perkara yang tidak baik sepanjang tempoh masa ia semakin menular dalam diri manusia. Sikap ini bukanlah satu sikap yang lahir secara sendirinya. Ini adalah refleksi daripada rasa sedih akan sikap dan respon balas daripada golongan atas yang membalas negatif. Oleh itu, lahirlah sikap kurang ajar ini. Yang mana ia menjadi satu sikap mendesak. Satu sikap yang digunakan untuk membuka mata mereka. Melihat bahawa kami di sini! Kami di sini yang telah diperlaku salah oleh engkau, kami di sini membela diri, dan kami di sini menuntut hak kami yang telah engkau rampas!

Biarlah kita yang kurang ajar ini mengalami pengasingan dalam kelompok masyarakat lain yang terlalu berpegang kepada prinsip hormat dan budaya sopan santun. Kita akan diingat pada suatu masa. Mungkin setelah diri dan jasad tidak lagi berdiri di tanah Tuhan ini, nama kita disebut sebagai orang yang berani. Yang dulunya kurang ajar, telah disebut namanya, telah dipuji tindakannya. Kerana kurang ajar adalah alat keberanian!

Leave a Reply