Farhan Amran – Seruan Stay At Home & Patriarki

SERUAN STAY AT HOME DAN PATRIARKI

Segala bentuk arahan dikeluarkan kepada rakyat. Namun, ada golongan-golongan yang masih reput di pohon usang. Mesej yang disampaikan oleh mereka seolah-olah meletakkan diri mereka sebagai sebaris tin kosong yang sudah tidak laku, untuk ditembak oleh masyarakat secara bertubi-tubi.

Ini bukan pertama kali ‘kerajaan baru’ ini memberikan maklumat yang ralat, tidak relevan dan tidak berasas. Kita dikejutkan dengan teori ‘air suam’ seorang Menteri yang menggalas tanggungjawab paling kritikal dengan keadaan negara pada hari ini. Maklumat-maklumat yang tidak selari sesama badan kerajaan, arahan yang tidak jelas dan tidak logik dikerahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi, dan hari ini, kita sekali lagi mendapat ‘wahyu’ daripada sebuah badan kerajaan yang mampu membuat emosi yang tidak tenteram terperuk di rumah selama beberapa minggu ini tercabar.

Dalam kita menyahut seruan kerajaan untuk #StayAtHome, Kementerian ‘Pembangunan Wanita’, Keluarga dan Masyarakat pula mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan tujuan utama Kementerian ini diwujudkan.

Negara ini kaya dengan adat, budaya dan resam yang terhasil daripada keharmonian masyarakat kita yang majmuk. Akan tetapi, suasana sosial dalam negara ini masih belum lekang dengan konsep hierarki kurun yang menidakkan kesamarataan lelaki dan wanita khususnya dalam konteks peranan gender yang toksik.

Pernah kah kau dengar ayat “lelaki keluar berkerja, perempuan duduk di rumah”, atau kata-kata orang tua “perempuan jangan menyanyi ketika di dapur, takut nanti dapat lelaki tua”. Ini adalah salah satu sebab mengapa masyarakat kita pada hari ini susah untuk menerima bahawa lelaki dan perempuan sama daripada aspek intelektual, pembawaan diri dan kemampuan mereka.

Lelaki adalah lambing kegagahan, dan wanita adalah lambang kelembutan.Itu lah fahaman yang telah tertanam sehingga ke lubuk medulla oblongata masyarakat kita pada hari ini sehingga kurang kesedaran tentang apa itu keadilan dan kesamarataan jantina.

Dalam soal kepimpinan pula, Wanita dianggap sebagai objek, sekadar memanaskan kerusi organisasi dan dijadikan boneka. Ada yang katanya berjuang meletakkan Wanita di barisan hadapan supaya ada ‘representative’ dari kelas tersebut akan tetapi hakikatnya, sekadar memenangi hati orang yang melihat supaya tiada persoalan yang akan dibangkitkan.

 

Mengapa wanita masih lagi dipandang sebegini pada 2020?

Kerana kurang kesedaran tentang apakah itu perjuangan mengukuhkan struktur imej wanita yang susah untuk berkembang di dalam budaya masyarakat yang mematikan konsep ‘wanita mandiri’.

Kementerian ‘Pembangunan Wanita’ seharusnya lebih peka dan cakna tentang prinsip mengangkat hak wanita-wanita yang tertindas.

Bukan dengan menjadi agen “patriarchal bargaining” yang menjatuhkan imej mereka dengan membuat andaian jijik tentang bagaimana mereka harus berdandan dan bersolek, cara mereka berhias atau pakaian yang sepatutnya dipakai.

Isu keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 57% sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan statistik panggilan Talian Kasih, seharusnya fokus KPWKM dialihkan ke arah bagaimana Kementerian dapat menangani masalah sosial yang berlaku khusus di bawahnya.

Pergiatkan lagi usaha untuk membantu mereka dan usah bazirkan masa anda membuat kenyataan yang tidak relevan untuk masyarakat.

Untuk Kementerian ‘Pembangunan Wanita’ yang hari ini diberikan mandat untuk memegang panji perjuangan khusus untuk wanita, sedarlah bagaimana kenyataan yang dikeluarkan itu amat tidak berasas dan menunjukkan yang negara ini masih belum memandang serius tentang ‘Pembangunan Wanita’.

Dari mengeluarkan kenyataan yang seksis dan tidak berasas ini, Gerakan Pelajar Demokrat UM mencadangkan agar:-

1. KPWKM menggunakan kuasa dan idea untuk mengangkat penglibatan wanita-wanita di barisan hadapan yang berkorban nyawa, tenaga dan masa mereka bagi memastikan setiap rakyat di dalam negara ini hidup aman dan selamat daripada ancaman COVID-19.

2. Pergiatkan usaha menangani masalah keganasan rumah tangga yang saban hari meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

3. Turut serta memastikan keluarga-keluarga di dalam negara mendapat bekalan yang cukup untuk kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP ini.

4. Berhenti mengeluarkan kenyataan bersifat seksis, patriarki dan bersifat autoritatif. Berhenti mengeluarkan kenyataan yang mampu memberi cerminan buruk terhadap perjuangan murni yang sepatutnya dikepalai KPWKM.

Berdiri bersama wanita, bukan atas wanita.

Farhan Amran
Aktivis Demokrat UM

Leave a Reply