Ramai mengecam beberapa peniaga, terutamanya seorang peniaga yang entah siapa namanya kerana mengatakan orang susah akan menjadi kaya ketika krisis COVID-19. Dia mengadu terpaksa membayar pekerja yang tidak bekerja.

Pertama, orang miskin tidak akan menjadi kaya ketika krisis ini kerana bantuan kerajaan sangat asas, bahkan tidak mencukupi. Kedua, kegusarannya berkenaan perniagaan – walaupun dilakukan olehnya – sebenarnya ada asasnya; terutamanya untuk perniagaan kecil dan sederhana (SMEs).

Perniagaan, terutamanya SME harus dterus dibantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Jika mereka gulung tikar, dalam lipatan tikar itu ada ramai manusia yang kehilangan pekerjaan. Bantuan ‘subsidi’ gaji sebanyak RM600 untuk setiap pekerja tidak mencukupi. Bantuan dengan nilai sama rata seperti ini sering menimbulkan kesukaran.

Adalah lebih baik ‘subsidi’ gaji diberikan mengikut kadar gaji pekerja berdaftar.

Misalnya kerajaan membantu membayar 50% dari kadar gaji pekerja. Ia akan meringankan beban majikan yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi. Jika kerajaan ingin memberikan bantuan pukul rata; jumlahnya harus ditingkatkan, sekurang-kurangnya RM1,000-1,200.

Kebanyakan peniaga SMEs berbelanja besar pada sewaan premis perniagaan. Kerajaan perlu membantu mereka supaya dikecualikan sewaan bulanan. Walaupun sudah ada beberapa pusat perniagaan melakukan demikian, masih banyak peniaga perlu membayar sewa bulanan secara penuh.

Pemilik premis boleh diberikan insentif melalui wang atau potongan cukai. Ia akan memberi galakkan untuk mereka mengecualikan sewa pada tempoh yang tertentu.

Tentang bantuan sosial pula, pemberian pada akhir April agak lambat. Sejak kehadiran Covid-19; sudah terlalu ramai pekerja yang diberhentikan atau diberikan cuti tanpa gaji.

Mereka ini berkemungkinan sudah kehabisan simpanan kewangan. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mengehadkan mereka untuk mencari kerja sementara untuk menyara diri dan keluarga.

Jika ada cara supaya bantuan ini boleh dipercepatkan, ia harus dilakukan segera.

Memetik pandangan Dr Muhammed di TMI; kerajaan perlu pertimbangkan bilangan isi rumah dan tidak memperkenalkan polisi kadar bantuan yang sama rata. Keluarga yang memiliki ramai ahli perlu mendapatkan bantuan yang lebih banyak. 10 KG beras berbeza nilainya di antara keluarga yang ada 1 anak dan 7 anak.

Bantuan ini juga perlu lebih panjang; tempoh dua bulan mungkin permulaan – selepas ini perlu diteruskan memandangkan kemelesetan ekonomi akan berlangsung dengan panjang. Pengumuman tempoh bantuan yang panjang (sebagai contoh 6 bulan) akan memberi kelegaan dan jaminan barangan asas untuk rakyat Malaysia.

Mereka yang hilang pekerjaan kerana krisis Covid-19 tentunya tidak akan terus mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja krisis ini berakhir. Apabila ramai kehilangan pekerjaan, aliran tunai ke perniagaan akan lembab. Ia menyebabkan perniagaan yang rugi ketika krisis ini sukar untuk pulih.

Jika rakyat mempunyai wang, mereka akan berbelanja. Ia akan membantu proses pemulihan perniagaan yang terjejas.

Pada skala global suntikan RM22 bilion yang dilakukan oleh kerajaan masih kecil. Jika dibandingkan negara lain, kita masih belum berbelanja dengan jumlah yang sepatutnya. Kerajaan perlu berbelanja dengan lebih banyak untuk memastikan kita berjaya menghadapi krisis ini secara ‘kesihatan’ dan ‘ekonomi’. Kedua-duanya penting untuk kehidupan rakyat.

Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa.

Leave a Reply