Sejak 18 Mac yang lalu, pemimpin negara kita telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan, memohon agar kita terus berada di rumah masing-masing untuk meminimumkan penularan wabak COVID-19. Amatlah jarang kita mempunyai terlalu banyak waktu lapang seperti ini. Sudah tentu lama-lama kita akan kebosanan! Oleh itu, eloklah kita isi kelopongan masa ini dengan menambahkan ilmu kita. Lagipun, minda kita jika telah lama tidak diasah, ia akan terbantut. Bak kata Tyrion Lannister, watak dalam Game of Thrones, “A mind needs books like a sword needs whetstone, if it is to keep its edge”.

 

Sebelum berkongsi tentang idea tokoh ini, saya ingin berkongsi dahulu tentang sosok beliau yang merupakan seorang ilmuwan dan ahli falsafah Islam di era Kerajaan Bani Abbasiyah. Beliau dilahirkan sebagai Abu Nasr Muhammad Ibn Muhammad Al Farabi atau lebih dikenali sebagai Al-Farabi. Di Barat pula, beliau lebih dikenali sebagai Alpharabius. Kadang-kadang pada namanya juga dimasukkan sekali nama keluarganya, Al-Tarkani.

 

Tokoh dunia falsafah Islam ini dilahirkan pada 870 Masihi, di era pemerintahan Khalifah Al-Mu’tamid ‘ala Illah Abul Abbas Ahmad Ibn Jafar. Tahun kelahiran beliau merupakan tahun tamatnya Anarki di Samarra dan bermulanya era pemulihan semula Kerajaan Bani Abbasiyah. Kegawatan politik sewaktu kehidupannya banyak mempengaruhi idea-idea beliau sebagai ahli falsafah politik. Beliau meninggal dunia pada 950 Masihi sewaktu Khilafah diperintah oleh Al-Mut’I Lillah Abul Qasim Al Fadl Ibn Al-Muqtadir.

 

Jadi, dari mana datangnya nama Al-Farabi? Pada zaman tersebut, di Asia Tengah-Khorasan terdapat banyak tempat bernama Farab. Terma “farab” secara harfiah dalam Bahasa Farsi bermaksud “kawasan yang diairi oleh air dari sungai berdekatan”. Boleh jadi di mana-mana sahaja di kawasan tersebut. Jadi, susah sebenarnya kita nak betul pastikan di mana tempat kelahiran Al-Farabi. Ditambah dengan kekurangan rekod tentang beliau sewaktu hidupnya. Boleh jadi beliau datang dari Farab di Jaxartes (kini Syr Darya, Kazakhstan). Ada yang kata Türkmenabat, Turkmenistan. Malah, boleh juga jadi Faryab di Greater Khorasan (Afghanistan hari ini).

 

Dalam dunia Falsafah Islam, beliau dikenali sebagai Muallim Ath-Thani atau “The Second Teacher” kerana beliau antara yang bertanggungjawab memulihara teks asli, mengkaji dan menyebarkan semula idea-idea falsafah Yunani Kuno seperti “ The First Teacher” iaitu Aristotle. Beliau sangat dipengaruhi oleh guru-guru awal beliau sewaktu beliau baru menjejakkan kaki ke Baghdad. Antaranya seorang pemikir Kristian bernama Abu Bishr Matta Ibn Yunos, penterjemah hasil kerja Aristotle dan ahli-ahli falsafah Yunani Kuno yang lain. Tidak berpuas hati dengan ilmu yang diperolehnya, beliau menuntut pula ilmu falsafah dengan seorang lagi filsuf Kristian bernama Yuhanna Ibn Haylan.

 

Al-Farabi menulis tentang banyak cabang ilmu; kimia, fizik, logik, psikologi, muzik dan falsafah politik. Walaupun beliau bergiat mengembang pelbagai jenis disiplin ilmu, tulisan dan idea beliau dalam bidang falsafah politik sangat berpengaruh; baik di Barat, mahupun di dunia Islam. Dalam bidang falsafah politik, magnum opus beliau adalah kitab Ara’ Ahl Al-Madinah Al-Fadhilah (The Virtuos City) atau lebih dikenali dengan Madinah Al-Fadhilah. Al-Qifti (1172–1248), seorang sejarawan Arab pernah menukilkan dalam kitabnya Tarikhul Hukama’ bahawa terdapat dua karya Al-Farabi yang “tiada tandingannya”; Siyasah Al-Madaniyyah dan Madinah Al-Fadhilah.

 

Dalam Madinah Al-Fadilah, beliau berteori tentang konsep kerajaan atau negara yang ideal seperti yang dilakukan Plato dalam The Republic. Malah teori beliau bahawa tujuan hidup bermasyarakat adalah untuk mencapai Sa’adah (kebahagiaan) sama seperti teori Eudamonia (juga kebahagiaan) oleh Plato. Walaupun begitu, beliau tidak plagiat idea Plato, dan kesemuanya yang ditulisnya adalah idea asli beliau. Sebagai neo-platonist, sudah tentu idea beliau kuat dipengaruhi oleh pemikiran Plato.

 

Dalam kehidupan bernegara, yang menjadi kepedulian dan keprihatinan setiap pemikir politik, ketua negara merupakan buah catur tertinggi dalam papan politik ini. Interaksi sesama kita dalam kehidupan bermasyarakat bertujuan untuk mencapai Sa’adah dan pemimpin ini merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan interaksi ini. Sekaligus, kita bergantung kepada ketua negara untuk mencapai sesuatu yang disebut oleh Al-Farabi sebagai “absolute good” atau kebaikan mutlak. Peri pentingnya peranan ketua negara ini, sehingga Al-Farabi menulis dan meletakkan kayu ukur untuk seorang pemimpin yang ideal.

 

Pemimpin yang sebegini sempurna dan ideal disebut oleh Al-Farabi sebagai Rais Al-Awwal (Foremost Leader) atau Pemimpin Utama dalam Bahasa Melayu. Secara umumnya, Rais Al-Awwal mestilah seorang yang mampu membuat deduksi dari sesuatu keadaan lebih baik dari orang lain. Beliau juga mampu untuk menyampaikan deduksi beliau dalam cara yang mudah difahami orang bawahannya. Tidak seperti ahli falsafah Yunani Kuno sebelum beliau yang meletakkan ciri-ciri yang mustahil ada pada mana-mana manusia, Al-Farabi meletakkan 12 kriteria yang ideal tetapi masih logik dan mampu untuk wujud dalam diri seseorang. Kriteria Rais Al-Awwal ini dinukilkan oleh beliau dalam Madinah Al-Fadhilah.

 

Sempurna tubuh badan

Seorang Rais Al-Awwal mestilah seorang yang sempurna fizikalnya tanpa kecacatan. Kesempurnaan pemimpin ini bukan sahaja untuk beliau gunakan dalam menguruskan hal ehwal negara dan rakyat, tetapi untuk mengundang rasa hormat secara semulajadi terhadap dirinya. Seorang pemimpin yang tidak sempurna mudah untuk dipertikai kebolehannya dan hilang rasa hormat terhadapnya.

 

Mempunyai ingatan yang kuat

Adakah kita ingin dipimpin seseorang yang pelupa? Terlupa apa yang dibincangnya dalam mesyuarat, terlupa nama pemimpin negara lain. Semestinya tidak! Al-Farabi menggariskan bahawa Rais Al-Awwal mestilah kuat daya ingatannya; untuk mengingati apa yang difahaminya, dilihatnya dan didengarinya. Secara mudahnya, seorang Pemimpin Utama tidak harus melupakan apa-apa langsung.

 

Mempunyai akal yang cerdas

Beribu-ribu ayat boleh diucapkan kepada seorang Rais Al-Awwal, beratus-ratus benda boleh diceritakan kepadanya tetapi apa gunanya jika dia tidak mampu untuk menggambarkan dan memproses apa yang diterimanya. Inilah sebab mengapa Al-Farabi meletakkan kecerdasan akal sebagai salah satu kriteria seorang pemimpin.

 

Kebijaksanaan

Seperti kata Al-Farabi, Rais Al-Awwal mestilah seorang yang berkebolehan membuat deduksi dan kebijaksanaan merupakan rukun terpenting dalam proses membuat deduksi tersebut. Malah, ketua negara tersebut haruslah mempunyai kebijaksanaan yang tinggi sehingga mampu membuat rumusan dan inferens dengan hanya menganalisa keadaan dan reaksi.

 

Cintakan Ilmu Pengetahuan

Bagaimana mampu seorang Rais Al-Awwal untuk menjadi bijaksana sekiranya beliau tidak cinta akan ilmu pengetahuan? Kebijaksanaan adalah hasil proses garapan ilmu yang dicarinya. Beliau mesti mempunyai perasaan ghairah yang berterusan untuk menuntut ilmu dan beliau tidak akan merasa terbeban dalam lelah dalam perjalanannya menuntut ilmu.

 

Mempunyai pilihan kata (diksi) yang baik

Sekalipun seorang ketua negara mampu untuk membuat deduksi yang sangat baik, tetapi apa gunanya jika tidak diungkapkan dengan baik? Rakyat mungkin tidak akan faham sepenuhnya apa yang cuba disampaikan dan berlakulah masalah asimetri maklumat; masalah yang besar dalam pentadbiran awam.

 

Bersederhana

Sesetengah pemimpin, apabila telah merasakan nikmat kuasa dan harta, pastinya susah untuk dia bersederhana dalam kehidupannya. Seperti Plato, Al-Farabi meletakkan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai kriteria seorang pemimpin. Al-Farabi mengulas lebih lanjut bahawa Rais Al-Awwal mestilah bersederhana dalam pemakanannya dan keinginan seksualnya.

 

Cintakan kebenaran

Masakan Sa’adah dapat dicapai dalam negara kita jika orang yang menerajuinya korup dan suka berbohong. Menjadi salah satu tugas utama seorang pemimpin biasa, apatah lagi Pemimpin Utama, untuk mencintai segala kebenaran dan orang-orang yang benar. Rakyat hanya dapat mengecap kebahagiaan jika milieunya dipenuhi kejujuran dan tertolaknya segala penipuan dan penipu, dan milieu ini bergantung kepada Rais Al-Awwal.

 

Berhemah Tinggi

Pemimpin yang berhemah ialah pemimpin yang berpekerti mulia dan Rais Al-Awwal yang mempunyai sifat ini secara semulajadi dapat membebaskan diri dan rakyat di bawah jagaannya dari segala kebobrokan dan kepincangan. Kecintaanya terhadap kemuliaan juga menjadikannya seorang yang akan berusaha mewujudkan suasana yang harmoni di negaranya.

 

Mempunyai harta yang mencukupi

Juga seperti Plato, Al-Farabi menyarankan bahawa Rais Al-Awwal mestilah mempunyai harta yang mencukupi, tetapi tidak mencintainya. Harta yang mencukupi itu perlu untuk meneruskan kehidupannya sebagai manusia biasa, namun sekadar untuk memenuhi keperluannya sahaja. Saranan ini sangat munasabah jika kita lihat kepada indeks korupsi dan rasuah dalam kalangan pemimpin hari ini. Seorang pemimpin yang mudah digelapkan matanya dengan harta akan mudah dipengaruhi dalam proses membuat keputusan atau polisi. Kemungkinan besar segala polisi yang diputusnya adalah kerana cintanya terhadap harta, bukan kerana kepentingan awam.

 

Cintakan keadilan

Seorang nakhoda negara, kata Al-Farabi, mestilah seorang yang boleh berlaku adil kepada rakyatnya dan cintakan keadilan. Seperti yang disebut sebelum ini, tugas Rais Al-Awwal adalah untuk mewujudkan suasana harmoni. Jika dia suka menzalimi rakyatnya, mustahil keadaan idaman rakyat ini akan terbina.

 

Berani dan berazam tinggi

Apa sebenarnya yang menerajui negara kita? Idea dan visi orang yang mengepalai negara kita. Ya, inilah yang sebenarnya menentukan halatuju negara. Lain pemimpin, lain idea dan visinya. Mahukah kita kepada seorang pemimpin yang hanya bercita-cita rendah sedangkan, secara naluriah, manusia ingin mengecapi sesuatu yang tinggi. Oleh sebab itu, Al-Farabi meletakkan keazaman yang tinggi sebagai satu kriteria Rais Al-Awwal. Namun cukupkah dengan hanya mempunyai visi? Bukankah itu sama sahaja seperti berangan-angan? Disebabkan persoalan seperti ini, Rais Al-Awwal juga perlulah berani dalam merealisasikan visinya dan tidak bersikap pesimistik dalam proses pelaksanaannya.

 

Mustahil bukan nak penuhi kesemua dua belas kriteria Rais Al-Awwal seperti yang dinukilkan oleh Al-Farabi ni? Tidak mengapa, beliau juga berfikiran sebegitu. Pada beliau, jika wujud lima atau enam kriteria dalam diri pemimpin tersebut, itu sudah menjadikan dia pemimpin yang baik, walaupun tidak sempurna. Muhasabah diri, adakah kita punya kriteria seperti ini? Adakah pemimpin kita mempunyai kriteria ini? Itu saya tinggalkan kepada anda sendiri untuk membuat deduksi. Generate your own thought and Sapere Aude!

 

Aliff Naif Mohd Fizam

Pelajar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia

Leave a Reply