Abrar Sadiq – Hentikan Persengketaan Tonjolkan Kematangan

Hentikan Persengketaan Tonjolkan Kematangan

Malaysia negara yang tenteram dengan kemajmukkan rakyatnya telah dikejutkan dengan kehadiran wabak COVID19 yang kini kian parah di negara tercinta. Saat ini sudah mencatatkan bilangan kes melangkaui seribu dan itu merupakan antara angka yang tertinggi dalam kalangan negara Asia. Nyata merisaukan kita semua sebagai rakyat Malaysia, oleh itu amatlah wajar kita jadikan panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai garis utama dalam menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan kini. Kita perlu menghormati kerajaan sedia ada walaupun kita tidak pernah setuju dengan kaedah mereka untuk memperoleh kuasa pada hari ini.

Masih segar dalam ingatan ketika itu wabak COVID19 baru saja singgah di bumi bertuah ini, namun kita kecewa kerana masih ada yang seronok untuk bermain politik di saat semua perlu fokus untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat . Jelas apa yang dimahukan mereka hanyalah kuasa yang bersifat sementara kerana matlamat itu sudah lama direncana sehingga gelojoh tidak mahu tunggu pada PRU15.

Sengaja saya mengalih perhatian terhadap “Langkah Sheraton” yang kini telah mengubah lanskap demokrasi politik negara sekaligus menggemparkan negara walaupun di saat kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhempas pulas menguruskan ancaman COVID19. Matlamat yang jitu ditunjukkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meyakinkan para wakil rakyat pengkhianat dari Pakatan Harapan untuk merealisasikan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Mereka berjaya dengan strategi yang rapi dan mengelirukan itulah sifat sebenar politik yang penuh dengan segala kemungkinan dan “gamak” itu sendiri.

Kita perlu berjiwa besar tanpa berfikir mengenai politik yang kucar kacir ketika ini namun jelas kerajaan baharu ini masih ada rencana sulit di sebalik pengurusan mengenai COVID 19 yang melanda negara. Terbaca mengenai dakwaan Syed Saddiq dan Fahmi Fadzil dua orang wakil rakyat muda PH ini yang mendakwa peruntukkan mereka disekat dan jika benar dakwaan ini sudah menunjukkan kerajaan kita ini kembali kepada tradisi asal BN iaitu melemahkan musuh dengan cara yang tidak “gentleman”

Kenang kembali saat PH perintah , pembangkang dapat manfaat yang banyak serta dilayan dengan adil dari sudut peruntukkan dan perhatian di kawasan mereka. Dilihat juga tidak ada hukuman yang ditujukan pada musuh politik selain mengenai isu rasuah dan isu penghinaan secara peribadi . Gencatan politik sangat digalakkan pada saat ini dalam menumpukan sepenuhnya terhadap usaha untuk menghadapi ancaman COVID19 yang melanda kini.

Pencegahan wabak COVID 19 ini memerlukan kerjasama semua pihak. Ketenangan Dr Dzulkefly Ahmad mantan Menteri kesihatan patut dimanfaatkan jika dibandingkan dengan Menteri PN kini yang dilihat sangat tidak kompeten apabila memalukan diri di media sosial dan televisyen saluran arus perdana. Usah lagi berpolitik dengan cara yang licik di saat rakyat perlukan pemimpin kita agar matang menangani apa jua cabaran yang mendatang. Mari kita lihat dan menilai sendiri keupayaan kerajaan PN yang dibarisi Menteri yang berpengalaman dalam mengatasi saat saat sukar dihadapi tanah air.

Akhir kalam, kita semua wajib menjaga kesihatan diri dan keluarga kita agar terhindar dari penyakit yang cepat merebak ini. Saat ini pasti bagi kita sangat sukar untuk mengawal diri dari terus bercakap atau menulis perkara yang tak berfaedah maka bagi anak muda terus amalkan pembacaan bahan bacaan yang berilmiah dan menonton filem yang mempunyai nilai dalam mendidik kita menjadi warganegara yang matang. Laluilah dengan tenang dan patuhi undang undang itu sudah cukup untuk mendidik menjadi anak muda yang sabar dan tabah.

 

ABRAR SADIQ

MAHASISWA AMANAH NASIONAL

Leave a Reply