Firzan Hakimi – Apakah kaitan kenaikan gaji pekerja dan kenaikan kos sara hidup atau inflasi?

Apakah kaitannya keperluan kenaikan gaji pekerja dan kenaikan kos sara hidup atau inflasi?

Jika kita toleh kebelakang sekitar era zaman 1970 an sehingga 1980 an, kita akan mendapati bahawa gaji pekerja pada ketika itu rendah namun, ianya jelas mencukupi untuk menyara segala keperluan harian. Malah, kebanyakkan masyarakat pada ketika itu mampu memiliki harta yang lain. Persoalannya, apakah yang menyebabkan ianya berubah pada saat ini?

Masih dalam dalam kalangan rakyat marhaen beranggapan bahawa kenaikan gaji ini hanya layak dituntut oleh golongan yang mempunyai latar belakang akademik. Ianya salah dari sudut moral dan hak kebajikan pekerja. Ini yang menyebabkan majikan mengambil kesempatan terhadap kekeliruan pekerja terhadap isu ini.

Ada dua jenis kenaikan gaji pekerja yang berhak dituntut oleh mereka tanpa mengira latar bealakang akademik atau pangkat. Yang pertama, kenaikan gaji berdasarkan prestasi kerja. Jika semakin baik kualiti kerja, maka kebarangkalian kenaikan gaji juga tinggi. Ini yang harus menjadi tunjang kepada syarikat dan organisasi bagi memastikan mutu pekerjaan semakin baik dan secara tidak langsung menguntungkan syarikat tersebut.

Kategori yang kedua berkait rapat dengan inflasi. Ini kerana jika kita semak kembali, kenaikan harga barang dan perkhidmatan akan terus meningkat, ianya hanya bergantung sama ada cepat ataupun lambat. Jadi, jika majikan tidak membenarkan kenaikan gaji kepada semua pekerja, ianya sudah tentu memberi kesan buruk terhadap keseimbangan gaji pekerja dan keperluan seharian mereka.

Ini yang disebutkan sebagai nasib malang pekerja di Malaysia kerana bukan sahaja gaji permulaan dikira sebagai rendah jika dibandingkan dengan pekerja di negara yang ekonominya setara dengan Malaysia. Malah, paras gaji kita juga tidak berubah dari setahun ke setahun. Ini yang menyebabkan kebajikan pekerja kita jauh kebelakang berbanding pekerja dari negara serantau Asean yang lain.

Jika kita lihat pada statistik kadar kenaikan gaji seluruh negara negara Asean selepas ditolak kepada angka inflasi pada tahun 2016 dan 2017 yang dikeluarkan oleh Korn Ferry Hayn Group, Malaysia merupakan negara paling rendah di rantau ini. Hal ini kerana, kadar peratusan inflasi sebenar adalah 2% lebih tinggi dari kenaikan gaji yang diumumkan, maka ianya seperti pekerja di Malaysia tidak menerima sebarang kenaikan gaji malah gajinya dipotong berdasarkan kadar inflasi yang meningkat lebih tinggi.

Ini memberi gambaran jelas bahawa satu perubahan sistem perlu dilaksanakan demi menjamin masa depan pekerja. Ini yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas ianya meningkat 5.1% pada tahun 2019 dan kadar inflasi tahunan pada 2.4%, rakyat Malaysia mencatatkan purata pertumbuhan 2.7%  bagi gaji sebenar pada 2019, meningkat daripada 2.1% pada tahun sebelumnya. Kadar itu menunjukkan gaji di Malaysia meningkat lebih pantas berbanding di Singapura (3.8 peratus) dan Thailand (4.9 peratus tetapi perlahan berbanding di Indonesia (7.4 peratus).  Memandangkan perkembangan ekonomi dan kenaikan kukuh gaji, ianya dijangka terus melonjak 5.3% pada 2020, menurut Kajian Pengukuran Kenaikan Gaji dan Jumlah Imbuhan Malaysia 2019 oleh Aon plc.

Oleh itu, dasar ini sangat penting supaya semua industri pekerjaan di Malaysia dapat memanfaatkan peluang ini untuk meningkat kualiti kerja dan perkhidmatan mereka. Secara tidak langsung, ianya akan memberi lebih banyak peluang untuk syarikat Malaysia mengeksport lebih banyak produk mereka ke luar negara bagi mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi dan mata wang negara.

 

Mohamad Firzan Hakimi

Aktivis Mahasiswa Keadilan Malaysia

Leave a Reply