Kenyataan Front Kenyataan Solidariti

Nurul Hanna – Mahasiswa Kesal dengan Pengurusan KPT

Mahasiswa Kesal dengan Pengurusan KPT

Umum mengetahui Perdana Menteri telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari Isnin bersamaan 16 Mac 2020. Beliau berkata Perintah ini akan berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Dalam perutusan itu, beliau telah mengarahkan agar IPT ditutup sepanjang tempoh #KawalanPergerakan namun tiada perincian diberi. Pengumuman itu agak lewat memandangkan kes COVID-19 telah naik satu kali ganda pada hari Ahad.

15 Mac 2020 (Ahad)

Pelajar IPT sudah berasa tidak senang duduk, sehinggakan pihak universiti mengambil inisiatif sendiri dan mengarahkan kelas maya bagi mengurangkan kontak antara pelajar.

Terdapat juga IPT yang mula tutup seperti UTHM Pagoh.

16 Mac 2020 (Isnin)

Kelas maya bermula. Bagi sebahagian IPT, kelas maya diwajibkan manakala sebahagian lagi memberi pilihan. Maka kelas secara kontak masih lagi dijalankan meskipun angka COVID-19 naik dengan mendadak.

Pengumuman PM dilakukan pada jam 10 malam, lantas mencetuskan panik di kalangan mahasiswa kerana kekurangan masa untuk rancang perjalanan. Pihak IPT pula tidak memberi kata putus.

17 Mac 2020 (Selasa)

Kebanyakan institusi yang masih beroperasi kerana tiada kes COVID-19 seperti UIAM, UiTM dan lain-lain telah mewajibkan pelajar lokal untuk mengosongkan asrama secepat mungkin.

Begitu ramai mahasiswa memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman pada waktu siang. Ada juga yang tidak dapat pulang kerana perlu menghadiri kelas yang masih berjalan di kampus pada hari tersebut. Sedangkan hari itu hari terakhir sebelum #KawalanPergerakan bermula. Bagaimana mahasiswa mahu pulang ke kampung disebabkan arahan berwajib IPT tetapi kelas masih diteruskan?

Tidak terhenti di situ, sekitar jam 5 petang, KPN telah mengarahkan agar sesiapa yang ingin melakukan perjalanan luar negeri, hendaklah mengisi borang di balai polis terdekat terlebih dahulu. Kenyataan ini telah menimbulkan lagi huru-hara dan kekeliruan, balai polis di seluruh Malaysia diserbu beramai-ramai. Sebahagian mahasiswa berasa celaru kerana mereka baru hendak memulakan perjalanan; hal ini kerana kebanyakkan kelas tamat jam 5pm.

Menerusi aplikasi whatsapp, kami telah diberitahu ada rakan mahasiswa yang menunggu sehingga 3 jam di balai polis sehinggalah arahan itu dibatalkan. Ada juga yang memberitahu bahawa pihak polis menyatakan para pelajar yang ingin pulang tidak perlu mengisi borang pemakluman, maka mahasiswa sekali lagi keliru dengan arahan yang diberikan.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila KPN menyatakan bahawa larangan keluar negeri akan berkuatkuasa tengah malam 17 Mac. Namun pada jam 6 petang, Menteri KPT, Dato Dr Noraini Ahmad pula menasihatkan agar pelajar bertenang dan tidak terburu-buru; dan beliau sedang meminta pihak IPT untuk menyediakan penempatan pelajar.

Jika hendak melihat pada realiti, sudah ramai pelajar yang berada dalam perjalanan dan pulang, juga yang telah menempah tiket bas pada malam tersebut atau keesokan harinya. Sebagai mahasiswa, kami menyaksikan sendiri kekalutan dan kegusaran rakan-rakan kami yang merantau di negeri orang.

18 Mac 2020 (Rabu)

Masih ada baki pelajar yang dalam perjalanan pulang. Manakala arahan yang lebih tegas telah diberi oleh pihak KPT. Sayangnya, terdapat para pelajar yang telah membeli tiket untuk hari Khamis dan Jumaat sewaktu pihak IPT mewajibkan para pelajar untuk mengosongkan asrama.

———

Mewakili suara mahasiswa, kami berasa kecewa dengan apa yang telah berlaku sepanjang 4 hari ini. Saluran ini merupakan saluran formal, bayangkan kesusahan sebenar yang mahasiswa hadapi namun tiada tempat untuk meluah.

Lebih memedihkan hati apabila KPT menyatakan mereka bertindak lambat kerana kelewatan arahan dari pihak MKN. Sedangkan semua kementerian seharusnya bergiat aktif menguruskan portfolio masing-masing, lebih-lebih lagi apabila 12 jam telah berlalu semenjak perutusan Perdana Menteri.

KPT dan IPT seolah-olah tiada koordinasi, begitu banyak kontradiksi. Mahasiswa menggesa agar langkah-langkah penjagaan kami diperkemaskan dengan prosedur yang betul agar kami tidak lagi terbelenggu dengan arahan yang bercampur-baur.

Akhir kata, layanlah kami sebagaimana anda melayan anak sendiri.

 

Nurul Hanna

Exco Penerangan Isu Semasa Dan Antarabangsa
MAHASISWA AMANAH NASIONAL

LEAVE A RESPONSE