Meja Editor Pandangan

Rahman – Menolak PPSMI Bukan Menolak Kepentingan Bahasa Inggeris

Saya sebetulnya tidak berniat menulis berkenaan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana sedang sibuk melawan tuduhan ‘bangsa pemalas’ di ibu kota. Saya mengharapkan ahli akademik yang di kepalanya tertanggung ilmu yang berat dapat berbahas secara sihat terhadap idea ‘patah balek’ ini. Dasar yang kita telah kebumikan, dan jasadnya sudah membusuk di bawah tanah. Setelah rakyat menghirup udara Malaysia yang baru – kita mahu menggali semula jasad yang busuk itu, dan membungkusnya dengan kain wangi – kain yang tertulis graduan sukar mendapat pekerjaan kerana tidak mahir Inggeris dan ilmuan Malaysia akan ketinggalan kerana perbahasan kesarjanaan menggunakan Inggeris.

Memperkenalkan PPSMI akan memberi kesan yang besar kepada pelajar-pelajar yang lemah

Saya fikir ilmuan yang menampung ilmu yang berat di kepalanya mampu memuntahkan hujah yang bernas; tertanya saya terlupa kangkung boleh tumbuh subur di mana-mana, termasuk universiti. Semalam saya membaca tulisan seorang professor popular; dia membawakan beberapa hujah untuk mendokong PPSMI. Seperti kebanyakan orang, professor ini terperangkap dalam horizon pemikiran – orang yang menolak PPSMI tidak pentingkan Bahasa Inggeris dan enggan bersaing pada peringkat global. Harus difahami; menolak PPSMI bukan bermaksud menolak Bahasa Inggeris secara total.

Pada masa akan datang, barangkali saya akan membalas satu per satu hujah mabuknya. Kali ini saya ingin memberikan satu sebab sahaja; PPSMI akan menindas pelajar yang lemah.

Jika benar kegusaran kita tertumpu pada masalah penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar; subjek Bahasa Inggeris perlu diperkasakan dengan serius. Membaptiskan subjek sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris – menghantar mesej ada yang bermasalah dalam kurikulum subjek Bahasa Inggeris sehingga pelajar kita gagal menguasainya. Subjek ini harus disusun mengikut kemampuan murid, bukan seragam tanpa mengira kemampuan mereka.

Konsep asas pendidikan adalah memastikan tiada sesiapa boleh ditinggalkan dan dibiarkan. Selaku produk PPSMI yang tidak berjaya (kerana belum mampu menjadi menteri), saya melihat selalunya pelajar yang berada di kelas hadapan mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang sederhana. Begitu juga di sekolah-sekolah berasarama penuh atau berprestasi tinggi – pelajar cenderung memiliki penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

Malangnya, mereka perlu belajar kurikulum yang sama dengan pelajar di kelas belakang atau sekolah-sekolah berprestasi rendah – yang mungkin masih merangkak dalam membaca. Sebab itulah sistem pendidikan lapuk berkonsepkan ‘one size fits all’ ini perlu diubah. Pelajar-pelajar yang sudah memiliki kemahiran menggunakan Bahasa Inggeris ini boleh ditajamkan kemahiran bahasanya dengan memasukkan terma-terma sains dan matematik dalam subjek itu, bukan sebaliknya.

Untuk pelajar yang mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris yang rendah, kurikulum perlu tertumpu untuk mengukuhkan asas-asas bahasa itu. Dengan cara ini kita boleh melahirkan pelajar yang  boleh berbahasa Inggeris dengan baik, tanpa meninggalkan pelajar yang lemah.

Memperkenalkan semula PPSMI akan memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah dengan subjek Bahsa Inggeris. Ia semudah pelajar yang lemah Bahasa Inggeris akan hilang minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik kerana tembok bahasa. Hakikat ini cukup menyedihkan, bahasa tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mempelajari kedua-dua subjek yang tak punya kaitan secara langsung dengan keupayaan berbahasa Inggeris.

Kita tidak boleh menafikan kepentingan Bahasa Inggeris, ia penting untuk mengetahui ilmu dan berkomunikasi pada peringkat global. Namun, jangan kerana kita mahu perkasakan pelajar yang berada di hadapan dalam konteks akademik, mereka yang di belakang ditinggalkan. Jika dikatakan buku rujukan sains dan matematik kurang dalam Bahasa Melayu, gandakanlah usaha untuk menterjemah.

Simpati kepada guru, dan teknologi akan memecahkan tembok bahasa

Ketika idea menggali kubur ini tular, saya terus menyatakan simpati kepada guru dan pelajar yang akan terkesan secara langsung dengan pengumuman ini. Guru adalah kumpulan wira negara yang selalu terbeban akibat perubahan dasar pendidikan yang drastik dan caca marba. Ketika PPSMI masih hidup satu ketika dahulu, ramai guru terkesan – kerana kurang mahir berbahasa Inggeris ketika mengajar subjek sains dan matematik. Sejarah menjadi saksi – betapa ramai ilmuan kita diiktiraf di peringkat global – mereka yang belajar sains dan matematik sebelum PPSMI dilahirkan.

Dunia sedang bergerak ke hadapan, seharusnya kita juga melihat ke hadapan. Saya percaya tembok bahasa akan dipecahkan dengan teknologi. Berbeza dengan tahun-tahun silam, sekarang sudah ada banyak aplikasi untuk memberi terjemahan dengan kadar segara. Walaupun ketepatan terjemahan sekali-sekala tersasar, saya percaya hal ini akan diperbaiki. Di beberapa negara sudah ada robot yang akan menterjemahkan secara langsung (untuk tujuan komunikasi). Kelompok pemeluk PPSMI sering bercakap tentang IR 4.0, tidakkah mereka terfikir tentang ini?

 

Rahman Imuda merupakan produk PPSMI yang gagal.

LEAVE A RESPONSE