Naqibah Azman – Student Union Sebuah Perjuangan. Bukan Bahan Bacaan Dalam Kuliah!

Student Union Sebuah Perjuangan. Bukan Bahan Bacaan Dalam Kuliah!

Di sebalik kemenangan Pakatan Harapan pada 10 Mei 2018, tumbuh bersamanya harapan insan-insan yang telah dijanjikan dengan janji yang sehingga kini masih dalam tuntutan. Antaranya termasuklah harapan buat mahasiswa dalam janji 50 iaitu mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi dengan pemansuhan sebuah akta yang memusatkan kuasa kepada pentadbiran iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Kemanisan diteruskan dengan janji Kesatuan Pelajar (Student Union) pula akan diberikan peruntukan tersendiri oleh institusi dan mereka bebas mentadbir kesatuan sendiri sesuai dengan amalan negara-negara maju.

Pelbagai usaha gigih kerajaan dapat dilihat demi mengembalikan kegemilangan Student Union seperti mengadakan siri mesyuarat dan bengkel garis panduan penubuhan Student Union yang harus saya puji. Akan tetapi, kementerian telah meletakkan KPI kepada beberapa UA untuk mewujudkan Student Union sebelum Mei 2020 telah membuka sebuah medan perlumbaan penubuhan Student Union. Aspirasi kerajaan kini dianggap sebagai assignment yang perlu disiapkan tepat pada masanya, jika tidak markah akan berkurang atau dikira gagal.

Sikap ‘ASAL BUAT’ dijadikan muqaddimah oleh pemimpin mahasiswa dalam beberapa universiti tertentu tanpa memahami perjuangan sebuah union. Keputusan bersifat top-down dapat dilihat dalam kerangka kerja  Task force Students’ Union dalam beberapa buah universiti yang mahu kejarkan dateline yang ditetapkan oleh KPM tanpa mengambil kira keputusan bersifat bottom up seperti bertanyakan persoalan paling mudah iaitu adakah mereka inginkan students’ union?. Ibarat ingin membina sebuah negara tapi rakyat tidak boleh memilih dan akhirnya ia bukan sebuah negara yang bebas tetapi sebuah penjara yang sama, hanya tukar nama.

Advokasi kepada rakyat mahasiswa pula bersifat spoon feed yang memaksa mahasiswa menelan agenda kerajaan sehingga dilarang berfikiran kritis dan bukan wacana ilmu yang membuka pemikiran mahasiswa. Begitulah tahap ke kritisan pemikiran pemimpin mahasiwa di IPT yang pada akhirnya di tunggang oleh kerajaan pemerintah.

Students’ union kini dianggap magis kerana dapat menyelesaikan masalah birokrasi kertas kerja dan kewangan. Permasalahan terbesar mahasiswa kini bukan lagi kemiskinan tegar masyarakat sekeliling, menyelamatkan hutan yang digondol atau kualiti pendidikan kanak-kanak yang rendah tetapi hanya berkisar KPI organisasi terbaik setiap semester. Universiti bakal menjadi sebuah institusi yang eksklusif menelan duit rakyat dengan belanja yang tinggi dan terus mengejar bintang-bintang ISO yang entah mahu dibawa ke mana.

Ini sangat bercanggah jauh dari matlatmat utama penubuhan Student Union yang mensasarkan mahasiswa yang bersatu demi sebuah perubahan dalam masyarakat, menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran dan boleh mengurus ekonomi mahasiswa secara mandiri seterusnya melahirkan mahasiswa yang lebih kritis dalam berfikir. Dari mahasiswa untuk mahasiswa kepada masyarakat.

Tidak lupa juga mereka yang tidak bersetuju dengan penubuhan Student Union kerana mahukan kuasa mereka diperkasa sebagai MPP kerana masih takut dengan tanggung jawab yang katanya terlalu besar untuk dipikul oleh seorang pemimpin mahasiswa. Mahu perkasa kuasa tapi masih takut bertanggungjawab. Menarik sekali cara pemimpin mahasiswa berfikir.

Bahan Kuliah ini saya lihat dijadikan seen stealer oleh kerajaan bagi isu pokok yang tidak patut kita sesekali mahasiswa lupakan iaitu pemansuhan sebuah akta mencengkam yang memusatkan kuasa pada sang pemerintah. Tidak dinafikan kita perlukan undang-undang sebagai kawalan tetapi kita menuntut undang-undang yang tidak boleh dimanipulasi sesuka hati mengikut kepentingan politikus negara.

Student union adalah perjuangan mahasiswa demi mempertahankan hak-hak mahasiswa dan ia bukanlah assignment yang perlu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat atau bahan kuliah yang perlu dibaca. Fahamilah advokasi perlu masa. Membina sesuatu dalam kegopohan, tidak kukuh pasaknya (pemahaman) akan mudahlah ia rebah ke bumi.

 

Naqibah Azman

Mahasiswa UTHM

Leave a Reply