Pandangan

Abrar Sadiq – Meremajakan Politik Malaysia

MEREMAJAKAN POLITIK MALAYSIA

Malaysia di era pemerintahan Pakatan Harapan kini dilihat lebih progresif dan demokratik dalam mengendalikan beberapa isu serta agenda nasional. Sifat keterbukaan ini menunjukkan bahawa kerajaan kini mengamalkan tatakelola yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat terbanyak. Termaktubnya nanti remaja umur 18 tahun boleh mengundi dan menjadi calon pada Pilihanraya Umum bakal membuktikan satu kematangan dan langkah awal negara ini bagi merealisasikan impian untuk menjadi sebuah Negara Maju dalam tahun mendatang. Malaysia akan sebaris dengan negara ASEAN yang lain seperti Filipina, Myanmar, Vietnam dan Kemboja dalam menurunkan had umur pengundi ke umur 18 tahun.

Untuk meremajakan politik Malaysia bukannya mudah kerana rakyat sudah dihidangkan selama 60 tahun politik kuno hasil pemerintahan kerajaan kleptokrasi terdahulu. Oleh itu, wajar semua parti politik di Malaysia terutamanya barisan parti pemerintah iaitu  AMANAH, KEADILAN, BERSATU dan DAP mengubah gaya kepimpinan serta menampilkan watak muka baharu dalam merebut undi hasil pendaftaran pengundi secara automatik yang dijangka mencapai sehingga pertambahan lebih 5 juta pengundi baharu.

 

NARATIF BAHARU

Landskap baru ini diharapnya mendapat sokongan padu Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan bagi melahirkan para remaja yang cerdik serta minda terbuka dalam menilai isu politik yang timbul. Justeru itu, Pendidikan Politik di sekolah dan peringkat STPM perlu diperkenalkan malah guru guru juga perlu menjadi bijak pandai yang mampu mengulas isu secara matang dan adil serta tidak terperangkap dalam kelompok kepartian.

Generasi baru ini mungkin akan lebih berfikir secara logik dan rasional kerana gerombolan berita yang disajikan sudah pasti hanya satu saja yang sahih maka fakta fakta perlu digarap dan mereka tidak perlu “serkap jarang” saja dalam mendepani pelbagai isu.

Selepas ini sudah pasti seluruh Malaysia bakal meriah dengan kemunculan pelbagai penganjuran pertandingan E-Sport seperti permainan Mobile Legend, PUBG, PES dan Fifa Online malah akan wujud orang orang politik dalam media sosial seperti Twitter, Instagram malah tidak terkejut juga jika ada yang mewujudkan akaun WeChat kerana di sinilah tempat para remaja menghabiskan masa mereka yang terluang begitu banyak sehingga sanggup menghabiskan wang.

Maka tanggungjawab parti politik untuk memainkan peranan dalam mendidik mereka serta memberi ganjaran buat mereka atas kehandalan mereka bermain permainan online ini sekaligus diri para remaja ini rasa lebih dihargai.

Para belia juga boleh dikatakan menjadi dewasa lebih awal atas kesedaran politik mereka yang agak tinggi dengan pemikiran serta kematangan golongan ini terlihat lebih terkehadapan sekaligus sesuai dengan kemajuan yang dinikmati negara. Langkah matang sebagai negara demokrasi ini meninggalkan kesan yang baik dalam melahirkan remaja dan belia yang kompeten.

Penganjuran sekolah politik oleh NGO dan parti politik sebagaimana cadangan sebelum ini dilihat berupaya dalam atmosfera begini yang memerlukan didikan serta bantuan para pemain politik tanah air ini.

 

PENUTUP

Akhir kalam, semua parti politik wajar memandang serius kerana pertambahan pengundi muda yang amat ramai pasti menghasilkan cabaran yang sukar kerana ada sesetengah remaja yang masih cetek pengetahuan dalam politik dan ada yang menjadi pengikut berdasarkan habuan yang diperoleh semata maka tugas pemain politik untuk mencaturkan pergerakan secara matang bagi mengatasi segala kesulitan yang dihadapi. Diharapkan semua parti politik membawa idealisma serta perjuangan anak muda yang lebih matang agar mampu memancing undi anak muda yang ramai ini.

 

Abrar Saddiq

Aktivis Mahasiswa Amanah

LEAVE A RESPONSE