Idris Ishak – SEJAUH MANA AHLI AKADEMIK DIBENARKAN BERBINCANG SOAL POLITIK?

[SEJAUH MANA AHLI AKADEMIK DIBENARKAN BERBINCANG SOAL POLITIK?]

1. Dunia akademik dan dunia politik tiba-tiba dihangatkan dengan konfrontasi antara Abdul Muien Abadi, pensyarah sains politik UKM dengan A. Kadir Jasin, penasihat media Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.

2. Isu ini bermula apabila Abdul Muien memuatnaik sebuah penulisan mengenai penjualan aset kerajaan di bawah pemerintahan PH. Beliau mengaitkan divestment kerajaan dengan polisi ekonomi neoliberal yang akan merugikan kepentingan strategik Malaysia dalam jangka masa panjang.

3. A. Kadir Jasin melalui Facebook dan blognya membalas bahawa dakwaan Abdul Muien itu tidak berasas. Beliau menyeru kerajaan dan pentadbiran universiti memantau kecenderungan politik ahli akademik. A. Kadir juga mendakwa seolah-olah wujud gerakan deep-state di sebalik Abdul Muein yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.

4. Konflik ini berakhir dengan Abdul Muien tidak lagi dibenarkan menulis mengenai isu politik yang sensitif. Persoalannya, adakah dengan tindakan ini, kerajaan PH hanya mengulangi siri tekanan terhadap ahli akademik seperti yang berlaku semasa zaman BN dahulu? Dan sejauh mana ahli akademik sewajarnya dibenarkan berbicara soal politik?

5. Sebagaimana seorang ustaz berbicara tentang wahyu, seorang doktor berbicara tentang penyakit, begitulah seorang saintis politik berbicara tentang fenomena dan aktor politik. Ia biasa, kerana itulah bidang kajian kami. Bagi pelajar sains politik, berbicara isu politik di dalam kelas itu biasa, tiada konspirasi deep state yang cuba menguasai kelas kami.

6. Perlu difahami sains politik dan politik itu berbeza. Sains politik ialah sebuah sains, politik ialah seni. Sains politik ialah bidang ilmu yang berdiri atas dasar objektiviti, berlandaskan teori dan pembuktian. Maka, saintis politik sewajarnya berbicara tentang politik dengan objektif dan bukti yang jelas. Di sini, penulisan Abdul Muien tiada masalah kerana objektifnya jelas untuk menasihati polisi kerajaan dan disertakan laporan rujukan sebagai bukti.

7. Namun, politik juga bersifat relatif, tidak mutlak. Ada naratif, dan ada naratif silang. Kerajaan menjual RM20 bilion aset negara hanyalah sebuah naratif, yang pasti ada banyak naratif silang yang lain. Jika naratif tersebut tidak benar, naratif silang yang lebih tepat sepatutnya didatangkan oleh A. Kadir yang pastinya banyak mengetahui polisi kerajaan, bukan menggunakan posisinya untuk mendiamkan ahli akademik.

8. Saintis politik dan ahli politik sewajarnya bersinergi, bukan berkonfrontasi. Ahli akademik, terutamanya saintis politik, harus diberi kebebasan untuk berbicara soal politik. Tetapi, mereka ialah sebahagian dari dunia akademik yang menjunjung nilai kejujuran, objektiviti, pembuktian yang benar. Berbicaralah, pahit atau manis, kerana sebagai ahli akademik, kita mesti jujur dan setia kepada ilmu yang dipelajari.

9. Ahli politik pula, terimalah pandangan kami dengan hati terbuka. Jangan hanya kerana pandangan tidak mengikut cita rasa, kami didiamkan secara paksa. Saintis politik dan ahli politik, ayuhlah kita bina negara bersama-sama, kerana negara ini negara kita semua.

Idris Ishak
Pelajar Tahun Tiga,
Jabatan Sains Politik,
Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
UIAM.

Leave a Reply