Umur 18 Tahun Dapat Hak Mengundi : Kita Sudah Tiada Masa

Oleh : Muhammad Haziq Azfar Bin Ishak, Timbalan Naib Presiden, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya

Baru-baru ini, rakyat Malaysia telah digemparkan dengan satu pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kabinet telah bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi pada bagi Pilihan Raya Umum daripada 21 tahun ke 18 tahun selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk mengkaji dan melakukan reformasi terhadap beberapa perkara utama dalam sistem pilihan raya.

Selepas pengumuman ini dilakukan, syahadan berbondong-bondong netizen dalam media sosial melontarkan pandangan masing-masing, Ada yang benar-benar menyokong keputusan ini dan ada pula yang membantah sekeras-kerasnya dengan membawa hujahan ‘orang dewasa’ berumur 18 sehingga 21 tahun ini belum cukup matang untuk memilih kerajaan sambil ditunjukkan ketagihan anak muda berTikTok, WeChat dan Bigo sebagai dalil dan dijadikan sebagai kayu ukur daya intelek anak muda. Tidak kisahlah apa-apa pandangan yang dikeluarkan pun, kita meraikan perbedaan pandangan sebagai sebuah masyarakat yang hidup dalam negara demokratik. Saya mungkin memilih untuk bersetuju dengan keputusan ini dan menyifatkannya sebagai ‘game changer’ kepada usaha memberdayakan anak muda yang kritis melihatkan kepada potensi dan keperluan yang ada.

Tiada Sebab Untuk Tidak

Pertama, menurut Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971, umur dewasa bagi rakyat Malaysia adalah 18 tahun. Kesan peruntukan statutori umur dewasa ini menyebabkan seseorang itu layak untuk memasuki atau membuat apa-apa kontrak, menanggung liabiliti jenayah dan dibicarakan di mahkamah sama seperti orang dewasa yang lain, layak membuat permohonan lesen memandu, memohon pinjaman kewangan dan sudah layak untuk berkahwin bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Saya tidak faham jika seseorang yang berumur 18 tahun jika dibuktikan melakukan jenayah akan dihukum sama seperti orang dewasa yang lain kerana dianggap sudah mampu untuk menentukan tindakan sendiri tetapi apabila kita berbicara soal turunkan hak mengundi, tiba-tiba sahaja naratif perbincangan ditukar dengan mengatakan ‘orang dewasa’ ini tidak cukup matang dan sebagainya sekali gus mengaplikasi ‘double standard’ yang pertama.

Malahan, ada sahaja dalam kalangan anak muda yang berumur kurang daripada 21 tahun yang sudah menjadi pembayar cukai dan bekerja kerana sudah diiktiraf sebagai orang dewasa sekali gus banyak sahaja polisi pekerjaan, percukaian dan sebagainya terkesan kepada mereka tetapi mereka tidak diberikan hak untuk mengundi dek kerana Artikel 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan warganegara berumur 21 tahun dan ke atas menjadi penentu kepada kerajaan yang menggubal polisi-polisi ini. ‘Double standard’ yang kedua.

Naratif Mahasiswa Berpolitik

Sebagai salah seorang individu yang dekat dengan aktivisme mahasiswa, saya yakin langkah mempromosikan budaya mahasiswa berpolitik ini amat penting sebelum had usia mengundi ini diturunkan. Mahasiswa berpolitik bukanlah semestinya mahasiswa berpolitik partisan atau bergiat aktif dalam aktiviti parti politik semata-mata, tetapi lebih kepada kemampuan mahasiswa secara kritis menyertai wacana dan berbincang isu-isu politik dengan matang dan segar berlandaskan ilmu dan daya intelek demi menegakkan yang hak dan bukan sekadar menyokong membuta tuli pendirian mana-mana parti politik, selaras dengan sifat mahasiswa itu sendiri yang mandiri. Misalnya, sejarah membuktikan bagaimana kesatuan mahasiswa di Universiti Malaya tahun 60-an dahulu melakukan jelajah ke seluruh negara bagi menerangakan kepada masyarakat tentang baik buruk manifesto parti politik yang bertanding dalam PRU ketiga secara kritis dan bukanlah kerana berkempen untuk parti politik.

Sebab itu segala langkah yang diambil seperti meminda Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membenarkan mahasiswa berpolitik ini perlu disokong, malah seharusnya keseluruhan Seksyen 15 AUKU itu memerlukan pindaan dan saya sendiri ingin mengambil kesempatan ini untuk bercakap selantang-lantangnya bagi menggesa kerajaan supaya memansuhkan AUKU sesegera mungkin dan menggantikannya dengan peruntukan undang-undang yang mampu menjamin mahasiswa supaya dapat berpolitik secara kritis, intelek dan bebas. Saya yakin, dengan menjalankan langkah ini, anak muda kita mampu disiapsiagakan untuk menjadi pemilih yang lebih matang dan kritis dalam pilihan raya yang akan datang. Nah, saya sudah pun menjawab hujah ‘TikTok’ seperti di atas tadi.

Kita Sudah Tiada Masa

Pilihan Raya Umum seterusnya semakin hampir. Kerajaan haruslah memikirkan usaha-usaha awal bagi menyiapkan anak muda berumur 18 tahun untuk mengundi seperti menekankan silibus sistem politik dan Perlembagaan Persekutuan dalam sukatan pelajaran Sejarah, juga membebaskan mahasiswa supaya dapat berpolitik secara bebas menerusi pemansuhan AUKU secara total.

Leave a Reply