Syairazie Kasyfi – Menangkis Hujah Penentang #Undi18

Menangkis Hujah Penentang #Undi18

Pada umur 18, para belia sudah layak untuk dibicarakan di mahkamah mengikut proses biasa, disabitkan ke atas jenayah, dan layak untuk menerima sebarang hukuman yang sama seperti mereka yang sudah dewasa. Ini bermakna mereka sudah mempunyai kematangan yang cukup ‘in the eyes of law’, untuk menerima hukuman yang setimpal atas segala perbuatan mereka.

Pada umur 18, para belia sudah layak untuk berkahwin. Ini bermakna mereka sudah mempunyai kematangan yang cukup untuk mendirikan rumah tangga, serta pikul segala tanggungjawab dan risiko yang wujud dalam sesebuah rumah tangga.

Pada umur 18, para belia sudah dibenarkan untuk menyertai tentera. Ini bermakna mereka sudah mempunyai kematangan yang cukup untuk mempertahankan kedaulatan negara, serta diberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar untuk menjaga rahsia-rahsia ketenteraan.

Pada umur 18, para belia sudah layak untuk mendapat lesen memandu. Ini bermakna mereka sudah mempunyai kematangan yang cukup untuk bukan sahaja menjaga nyawa sendiri ketika di atas jalanraya, namun turut mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga nyawa pemandu-pemandu sekeliling.

Tuntasnya, sangatlah tidak logik untuk mengatakan para belia tidak cukup matang untuk mengundi, sedangkan mereka sudah cukup matang untuk perkara-perkara lain. Berilah peluang kepada belia yang cakna politik untuk memilih pemimpin pilihan mereka. Berilah peluang kepada belia untuk terlibat sekali dalam menyuarakan pandangan mereka dalam hala tuju negara. Janganlah menentang pindaan ini hanya kerana risau belia mungkin tidak akan menyokong parti pilihan anda. Lebih 90% negara di dunia sudah pun menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Sudah tiba masanya Malaysia juga berbuat sedemikian.

 

Muhammad Syairazie Kasyfi

Calon Parlimen Belia Malaysia (Selangor)

Leave a Reply