Khamis lalu, saya sempat menyertai Townhall PTPTN dan membangkitkan beberapa isu dalam sesi konsultasi ini. Walaupun saya bukanlah peminjam PTPTN, tetapi banyak aduan dan cadangan yang saya peroleh daripada rakan-rakan mahasiswa terutamanya dari Universiti Malaya.

Pandangan saya, dalam pihak PTPTN membezakan antara peminjam yang tidak membayar balik secara konsisten dan peminjam yang tidak pernah membayar balik, kita juga perlu mencari sebab dan faktor kepada kegagalan peminjam bagi melaksanakan kewajipan ini. Sebab itu begitu penting untuk kita amati sebab pengenalan manifesto oleh Pakatan Harapan untuk menangguhkan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4000, juga sama pentingnya manifesto pendidikan percuma yang pernah terpampang dalam poster manifesto lama Pakatan Rakyat. Kedua-dua ini menjawab kepada ‘endgame’ yang sama iaitu bagaimana janji ini akhirnya dapat meredakan masalah kepayahan peminjam bagi meneruskan kelangsungan hidupnya pascabergraduasi. Sebab itu penting bagi pihak PTPTN, walaupun ada kesukaran melaksanakan penangguhan pembayaran PTPTN sehingga RM4000, satu mekanisme khusus tetap perlu difikirkan bagi golongan yang benar-benar tidak berkemampuan ini. Apa mekanismenya ? Saya tidak pasti.

Timbul masalah baru, adakah PTPTN benar-benar mempunyai ‘database’ yang lengkap tentang peminjam yang culas membayar atas alasan tiada kemampuan ini ? Setahu saya, Universiti Awam melalui Unit Kebajikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar pun tercungap-cungap untuk mendapatkan angka yang tepat terhadap pelajar yang tergolong dalam jumlah pendapatan isi rumah BL40, B40, M40 dan sebagainya. Masalah ini juga diakui oleh Pengerusi PTPTN, Encik Wan Saiful Wan Jan sendiri. Mungkin ada langkah yang boleh diambil oleh PTPTN.

Pertama, PTPTN boleh mewajibkan sesi konsultasi bersama peminjam yang tidak pernah memulakan pembayaran. PTPTN juga perlu memperhebat perkongsian data bersama agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi-agendi kerajaan yang lain. Mungkin pihak PTPTN boleh mendapatkan maklumat daripada pihak universiti peminjam untuk mengetahui latar belakang keluarganya jika perlu.

Mungkin tindakan mengenakan ‘travel ban’ dan senarai hitam CCRIS agak berkesan kepada peminjam yang benar-benar culas mengikut definisi culas, tetapi mungkin sekadar mencurah air ke atas daun plastik bagi golongan yang tidak berkemampuan. Inisiatif ‘bottom-to-top’ oleh PTPTN yang mengajak mana-mana peminjam yang menghadapi kesesakan kewangan untuk datang berunding dan bayar serendah RM50/bulan itu cukup baik, cuma mungkin sekarang juga telah tiba masanya untuk kita juga memikirkan inisiatif ‘top-to-bottom’ bagi mendapatkan golongan yang perlu dibantu ini, golongan yang benar-benar menjadi penerima manfaat sekiranya dua manifesto itu dilaksanakan.

 

Haziq Azfar Ishak

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya

Leave a Reply