Zulhafizuddin – NARATIF STUDENT UNION DAN AUKU

|| NARATIF STUDENT UNION DAN AUKU ||

Penubuhan Student Union dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(AUKU) merupakan salah satu aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memberi kuasa autonomi kepada mahasiswa. Kita boleh lihat sahaja sejak beberapa bulan ini pelbagai konferens dan bengkel berkenaan Student Union telah dilaksanakan.

Perlu kita fahami Student Union adalah satu badan pelajar yang mengawal aktiviti dan menguruskan mahasiswa secara umumnya. Jika lihat institusi pendidikan di barat seperti Cambridge dan Oxford, Student Union bergerak kerja umpama Hal Ehwal Pelajar (HEP) di dalam universiti.

Dalam erti kata, jika merujuk kepada struktur Student Union yang sebenar, HEP bukan lagi badan utama yang menguruskan mahasiswa.

Pelbagai persoalan yang timbul bila perkara ini dibincangkan antaranya:
• Adakah HEP dalam universiti sudah tidak ada dan digantikan sepenuhnya oleh Student Union?
• Apakah kuasa autonomi yang mahu diberikan kepada Student Union?
• Bagaimana pula akta AUKU sebelum ini fungsinya adalah untuk mengawal selia aktiviti pelajar adakah akan dimansuhkan?
• Siapakah yang akan melatih Student Union dari segi mentadbir dan menguruskan aktiviti pelajar?

Dan pelbagai lagi persoalan yang belum menemui titik temu tentang perkara ini. Tetapi adakah Student Union yang ingin diwujudkan di institusi pendidikan hari ini perlu mengikut acuan sepertimana di university seperti Cambridge dan Oxford.

Selaku mahasiswa yang pernah terlibat dalam bengkel penubuhan Student Union, kegagalan kita sendiri adalah kerana tidak menetapkan definisi versi Student Union yang diinginkan dan juga kuasa autonomi yang mahu diberikan kepada Student Union.

 

Maka beberapa perkara yang saya boleh jelaskan adalah :

(1) Student Union adalah penjenamaan semula daripada Majlis Perwakilan Pelajar tetapi kuasa autonomi yang diberikan lebih besar.
(2) Sistem dan struktur pentadbiran pelajar diterima pakai dari sistem pentadbiran malaysia sebagai mekanisme holistik.

Asas bidang kuasa yang mesti diberikan kepada Student Union:

• Hak untuk meluluskan dan menguruskan program.
• Hak untuk menjaga dana dan menguruskan kewangan.
• Hak untuk terlibat dalam membuat keputusan dalam pentadbiran universiti.
• Hak untuk mentadbir aktiviti dan kebajikan mahasiswa.

Selain itu, antara rukhsah yang boleh diberikan kepada Student Union adalah:
• Bangunan khas untuk mentadbir dan menyelia aktiviti mahasiswa.
• Diberikan pengkreditan sepanjang tempoh lantikan.

 

[AUKU]
Bagi merealisasikan perkara ini, beberapa seksyen dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(AUKU) perlu dipertimbangkan:

(1) Seksyen 15A(1): Cadangan pindaan (mahasiswa mempunyai autonomi untuk menjana,memungut dan mengurus kewangan di bawah kuasa MPP)
(2) Seksyen 16 : Membuat penilitian dan pindaan.
(3) Seksyen 48(1A): Cadangan pindaan (MPP boleh membuat peraturan-peraturan bagi perjalanan pemilihan majlis perwakilan pelajar bagi segala perkara yang berhubung dengannya)
(4) Seksyen 48 (11) dan Seksyen 48 (12): Membuat pindaan/ Hapus keseluruhan peruntukan.

Dan beberapa lagi seksyen yang mungkin boleh diteliti dan dipinda agar autonomi kepada mahasiswa dapat diberikan sepenuhnya. Tujuannya adalah supaya mahasiswa menjadi pemegang taruh penting dalam pemutusan polisi bukan hanya jadi kumpulan yang diambil suaranya sahaja.

 

[KONKLUSI]

Ini adalah satu idea jangka pendek yang masih memerlukan satu garis masa pelaksaannya sebelum mencapai Student Union yang diinginkan oleh kementerian. Dasar yang telah diberikan perlu disepakati. Proses membumikan ke peringkat akar umbi melalui perbincangan, pertemuan dan perbahasan perlu digiatkan. Kerana pada akhirnya Kitalah penentu naratifnya.

From the Students, To the Nations, By the Students

Yang Menjalankan Amanah,

Mohammad Zulhafizuddin bin Zulkifli
Exco Penerangan dan Perhubungan Awam
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Malaysia Terengganu,
Sesi 2018/19.

Leave a Reply