Kau Masih Bermain dengan Alam?

Kau masih boleh hidup kalau kau hilang aku.

Tapi kalau kau hilang alam dan jagatraya?

Kalau kau sesak nafas dek pencemaran yang terlarut dalam udara?

Kau hilang kedua-duanya; aku dan diri kau sendiri.

Dunia itu luas untuk diterokai khazanahnya

dan membumi rasa kehambaan dek kemaujudan  flora dan fauna.

 

Tapi apabila diberitakan tentang pemerkosaan

flora dan fauna oleh mandiri sang kapitalis durjana,

kau dengan selamba meludah frasa keji,

“Ah, kisah apa! Memang sudah tiba masa kepupusan mereka.”

atau menaikkan oktaf suara tertinggi,

“Inilah sumber pendapatan negara! Kau tahu apa?”

Kepekatan karbon dioksida di atmosfera mencecah 403.3 bahagian per juta

tapi masih ada juga manusia yang meraikan nafsu konsumer

dan dengan tenangnya menebang pokok cengal,

 

katanya, “Permintaan perabot sedang meningkat tinggi, nilai komersialnya juga lumayan!”

Puntung sudah tiada di pandangan,

dan kini Tam dan Iman pula sedang diancam hakikat ngeri kepupusan.

Harimau Bali dan harimau Jawa telah berdekad terhapus dari muka bumi,

dan kini rupa harimau Malaya bakal sunyi dari pengetahuan generasi  mendatang.

 

Realiti sebegini  sepertinya,

tidak menyesakkan kapilari rasa empati,

tidak menghenyakkan pundak pikulan nilai manusiawi,

tidak mengocakkan pendirian peribadi,

selagi hidup belum dicabar dengan kebobrokan alam secara total,

selagi epidermis pipi belum ditampar dengan pemanasan global yang kritikal.

Siang-malam kita tenang menghirup udara yang menghidupkan,

sedang pada masa yang sama kita sebenarnya

penyumbang dosa kepada kelestrian bumi

dengan membuang sampah merata.

 

Moga menanglah kebaikan dalam tiap

perbicaraan sang pemburu haram di mahkamah.

Moga syurgalah tempat mereka yang

mewakafkan oksigen dengan barisan tanaman dan tumbuhan yang diusahakan.

Moga Tuhan membalas setiap keringat murni kalian terhadap alam

dengan sebaik-baik balasan.

 

Musa Acuminata

Leave a Reply