STUDENT UNION: KITA PENENTU NARATIFNYA!

Penglibatan GAMIS sebagai satu-satunya wakil mahasiswa bukan UIA dalam program ‘Conference On The Establishment of IIUM Student Union’ kelmarin merupakan suatu hasrat pembuka mata kepada seluruh rakyat mahasiswa. Polemik Student Union yang disedari oleh GAMIS adalah berlaku di kebanyakan universiti seluruh Malaysia, perbezaan pendapat antara zon dan kepincangan mahasiswa mengenai idea Student Union sehingga telah memperlihatkan jalan buntu buat penubuhannya. Malah saya merasakan ia juga berlaku antara pentadbir universiti.

Mengapa perkara ini berlaku?

 

MASALAH
Pertama sekali adalah kegagalan kita dalam beberapa aspek:

1. Perkara yang tidak disepakati iaitu apakah definisi, objektif dan titik akhir (end point) Student Union ini.

Tanyalah sesiapa pun tentang Student Union;
– Ada yang akan membayangkan Student Union menjadi sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO)
– Ada yang membayangkan Student Union mengambil keseluruhan kerja pegawai Hal Ehwal Pelajar
– Student Union berfungsi sebagai entiti sendiri
– Student Union menjadi satu yayasan
– Student Union adalah platform membuka peluang pekerjaan dan lain-lain.

Apabila versi-versi ini dilontarkan, maka bergaduhlah mahasiswa antara universiti tentang soal definisi Student Union itu sendiri. Kenapa kita tidak menetapkan satu definisi, objektif dan titik akhir (end point) yang disepakati bersama? Dan kenapa kita tidak menjadikan hasrat kerajaan dalam parlimen (iaitu autonomi pelajar) sebagai batu asas untuk menyelesaikan masalah “student heteronomy and dependency (atau terkongkong)” sebagai objektif awal dan jangka masa pendek penubuhan Student Union tanpa melihat kepada bagaimana Student Union harus berakhir?

2. Kegagalan kita mendefinisikan secara spesifik usaha mengembalikan Autonomi Mahasiswa (Student Autonomy).

– Ada kampus yang memahami Autonomi Mahasiswa (Student Autonomy) bermaksud bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah tiada hak lagi meluluskan program.

– Ada kampus yang memahami Autonomi Mahasiswa (Student Autonomy) bermaksud Student Union bergerak tanpa konsensus pentadbiran Universiti.

– Ada pula yang merasakan kita masih memerlukan penasihat daripada pentadbiran universiti.

Student Autonomy ni apa?

Ini juga kegagalan kita yang menyebabkan kita saling bertelingkah tentang versi Student Union ini.

3. Falasi pendefinisian Student Union relatif kepada pra-penubuhan (pre-existing) Student Union di Malaysia atau luar Malaysia.

Saya memohon maaf kerana menyebutkan sebegini, ramai orang terperangkap dan melihat jalan buntu dalam perbincangan penubuhan Student Union kerana terlalu taksub atau ‘SOLELY define’ Student Union relatif kepada negara lain. Sedangkan Student Union negara lain adalah hasil sejarah dan peradaban tempat mereka, mahasiswa mereka, pentadbiran mereka. Ia bukan semudah, “UK buat macam tu, kita buat macam tu”. Malah, saya mohon untuk kita fahami, Student Union mereka hari ini mungkin adalah hasil pelaksanaan berpuluh tahun. Sedangkan kita berada pada fasa penubuhan, apa yang ingin kita selesaikan?

4. Ada pula terlalu terperangkap dengan teknikaliti penubuhan Student Union mengikut adat (nature) kampus masing-masing.

Ya, kita perlu ada naratif sendiri berbanding Student Union yang digembar-gemburkan di negara lain, namun begitu, perlunya ada satu batu asas yang menjadi kesepakatan setiap Universiti di Malaysia tentang Student Union.

Student Union tidak sepatutnya berbeza asasnya, yang berbezanya mungkin daripada sudut teknikaliti Pilihan Raya Kampus (PRK), teknikaliti jawatan dalam Badan Eksekutif Student Union, atau siapakah ahli Parlimen Mahasiswa. Itu teknikaliti yang perlu disesuaikan dengan adat Universiti, tetapi asas struktur dan dasarnya perlu sama.

Maka apa solusi Bro GAMIS?

 

SOLUSI
1. Kita Menetapkan Naratif Student Union Malaysia.

Ini yang cuba saya sampaikan kepada mahasiswa UIAM dan pihak pentadbiran yang hadir. Berbanding terlalu terpesona dengan Student Union negara lain yang sudah berpuluh tahun, kita perlu faham apa tujuan utama penubuhan Student Union di Malaysia.

(a) Student Union disuarakan dan disambut oleh mahasiswa hanya kerana ia menyelesaikan masalah-masalah mahasiswa (suara tersekat, tiada kuasa menguruskan kewangan, tidak boleh mendapat kelulusan dan kebenaran menguruskan program, keputusan tertakluk pada HEP). Kita tidak terfikir pun untuk menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya, adapun 50 tahun nanti terpulanglah. Asasnya kita ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu.

(b) Dan jelas dalam parlimen Student Union hasratnya tertubuh untuk menjadi solusi pada pindaan AUKU yang ingin mengembalikan Autonomi Mahasiswa (Student Autonomy).

Ini objektif Student Union yang menjadi naratif awal penubuhannya, adapun bagaimana kesudahannya (end point) itu tertakluk kepada kampus.

2. Penetapan Asas Student Union yang Selaras Bagi Semua Kampus.

Seperti pembentangan GAMIS, kami hanya membentangkan perkara yang paling dasar yang patut dijadikan persetujuan apa pun kampus seluruh Malaysia

(a) Struktur Student Union seperti struktur pentadbiran Malaysia sebagai menjaga akauntabiliti dan integriti SU disamping menjadi medan mempelajari adat (nature) pentadbiran Malaysia.

(b) Berikan hak bersuara.

(c) Berikan hak meluluskan dan menguruskan program.

(d) Berikan hak menguruskan kewangan.

(e) Berikan hak membuat keputusan.

3. Anda Menetapkan Naratif Teknikal Student Union Mengikut Kesesuaian Kampus Anda.

Walaupun dasar ini perlu disepakati, tetap, ia bergantung kepada naratif kampus masing-masing. Yang parlimen mahasiswanya diwakili oleh kelab persatuan, terserah. Yang parlimen mahasiswanya diwakili perwakilan tahunan di fakulti (class rep), terserah. Yang asalnya bertanding ada front politik, terserah. Yang asalnya bertanding atas tiket peribadi, terserah. Itu adalah perkara furu’ yang tidak perlu dibincangkan pada peringkat umum atau inter-varsity, cukup menjadi perbincangan di parlimen mahasiswa masing-masing.

 

KONKLUSI
Maka, itulah idea yang haruslah difahami seluruh mahasiswa. Kalau dilihat dalam Kertas Kerja Cadangan GAMIS, itulah asas penubuhan jangka masa pendeknya, adapun daripada sudut jangka masa panjang, ya, kita perlu bincangkan.

1. Penubuhan jangka masa pendek Student Union hanya kerana Student Heteronomy.

2. Pasca-penubuhan ini perlulah meletakkan satu garis masa pelaksanaan Student Union kepada Student Union yang diaspirasikan oleh kementerian.

Walau bagaimanapun, kementerian seharusnya mewujudkan jawatankuasa teknikal yang membincangkan hala tuju jangka masa panjang Student Union sebagai hala tuju bersama setiap kampus. Ia tidak seharusnya menjadi usaha persendirian entiti atau sesebuah universiti sahaja yang akhirnya menjadi idea yang berat sebelah terhadap kepentingan bergantung kepada kebiasaan (nature) masing-masing.

Sekian, terima kasih.

Hazim Md Nor
Pengerusi
Majlis Politik Nasional GAMIS

Leave a Reply