Universiti hari ini perlu diisi dengan budaya ilmu dan aktiviti ke arah kemasyarakatan. Empat tahun di universiti, saya tidak merasakan bahawa institusi tinggi memainkan peranan secara terus terhadap permasalahan masyarakat lingkungan. Universiti hari ini lesu dan menjadi boneka kepada politik pemerintah. Saya dan teman-teman ketika bergelar mahasiswa mulai meragui kefungsian gedung ilmu bernama universiti ini. Wacana ilmu sangat hambar di universiti, kalau ada pun ia seperti beronani di bilik sunyi, langsung tidak menggerakkan apa-apa secara material terhadap masyarakat. Falsafah pendidikan di Malaysia sangat celaru, tidak jelas arahnya, ke mana ilmu ini mahu dibawa? Apa yang kita tahu bila bercakap tentang pendidikan? Oh, tentang Jasmani Emosi Rohani Intelek (JERI) dan sekarang menteri kesayangan kita semua laungkan ‘happiness, love and mutual respect’. Falsafah pendidikan kita harus jelas untuk pengabdian masyarakat. Bukan salah mahasiswa yang tidak tahu peranan, sedarlah sistem pendidikan kita yang tidak pernah menganjurkan hal-hal yang kritikal untuk difikirkan. Pelajar sekolah yang masuk ke universiti dalam keadaan tidak sedar, dibutakan agar mudah dipijak-pijak oleh kekuasaan.

Mencari semula identiti gerakan pelajar melalui lipatan sejarah.

Di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, pendidikan seperti senjata makan tuan. Penjajah British membangunkan pendidikan cuma untuk memecahkan lagi kebersamaan kaum dan hanya untuk kepentingan ekonomi mereka. Pendidikan ketika itu dihadkan hanya untuk memproduksi buruh-buruh kelas bawah. Saya percaya kewujudan beberapa pusat pendidikan seperti Sultan Idris Training College (SITC) telah melahirkan ramai tokoh nasionalisma yang berfikir untuk membebaskan bangsa kita dari terus diperbodoh oleh pihak yang berkuasa. Perbincangan telah berlaku antara guru dan pelajar membawa kepada masyarakat di luar. Pelajar dan guru menjadi ejen menyebarkan semangat melawan penindasan. Sejarah kefungsian pelajar serta guru  pra kemerdekaan harus diangkat dan dicontohi warga intitusi pendidikan terutamanya mahasiswa. Pencarian identiti gerakan mahasiswa harus bermula di sini dan sedar tanggungjawab intelektual tidak leceh sekadar memperjuang nasib sendiri, pelajar terlibat dalam proses memerdekakan bangsa ini.

Bagaimana mahasiswa sekarang?

Saya percaya bahawa gerak kerja mahasiswa harus memihak kepada masyarakat kelas bawah dan sentiasa kritikal terhadap tingkah laku pemerintah. Kesilapan mahasiswa sekarang adalah terperangkap dalam permainan kelas elit politik yang menjadikan gerak kerja kita sekitar isu-isu populis. Gerakan mahasiswa hari ini sibuk menjadi sebahagian dari parti politik kalau tidak pun gerak kerjanya menyamai gerak kerja parti politik. Kita sibuk bekerja untuk berkuasa. Politik mahasiswa adalah politik kerakyatan yang tidak masuk dalam sekat-sekat kepentingan politik. Mahasiswa harus sedar kerja-kerja kita bukan untuk kita dan bukan untuk menaikkan kelompok kita apatah lagi bernafsu mahu mendapatkan kekuasaan. Tugas mahasiswa belajar, membuat pembacaan, mengamati persekitaran dan mengangkat persoalan-persoalan yang tidak diangkat oleh pemain politik opurtunis.

Jujur saya katakan gerakan mahasiswa sangat tidak serius dan hanya mampu menempel-nempel di isu nasional tanpa arah tuju. Kerjanya hanya menunggu isu dan menunggu lagi. Kalau tiada isu maka suramlah gerakan mahasiswa. Terkadang juga mereka mulai bising semasa pilihanraya kampus, sanggup  buat apa saja untuk kemenangan dan kepentingan politik. Selepas itu mereka akan suram setahun dan muncul lagi di tahun hadapan.

Sikap, prinsip dan cara pandang gerakan mahasiswa?

Saya percaya kepada radikal yang bermaksud meletakkan kebenaran di tempatnya tanpa banyak kompromi. Radikal datang dari pembacaan dan pengamatan yang serius. Ketika kita hendak menyatakan permasalahan masyarakat bawah di hadapan autoriti, kita tidak patut kendur dan terlalu banyak berbasa-basi, katakan saja yang sepatutnya diperkatakan. Kita tidak mahu tahu bebanan pemerintah bahkan mereka yang harus mengetahui bebanan masyarakat di bawah. Jangan berubah sikap ketika mendengar nyanyian-nyanyian merdu mereka.

Politik mahasiswa tidak berfikir secara lima tahunan, bekerja hanya untuk memerintah, politik mahasiswa adalah politik nilai yang mendendangkan aksi dan solusi. Kita selalu merasa bahawa permasalahan itu harus diselesaikan oleh diri kita atau kelompok kita. Ini pemikiran yang salah dalam gerakan mahasiswa, kita harus sedar tugas kita hanyalah membuat pembacaan, memikirkan solusi tapi bukan untuk menyelesaikan. Apa yang patut dibuat adalah mencari pendekatan atau medium untuk mengangkat permasalahan melalui simbol-simbol agar orang yang di atas sedar. Realistiklah, keputusan memang bukan di tangan kita, keputusan di tangan kekuasaan. Kerja orang politik dan gerakan mahasiswa harus berbeza. Kita melihat dari bawah dan mereka melihat dari atas.

Membuat pengamatan persekitaran atau analisis kelas lalu mengorganisasi (advokasi) komuniti.

Setelah melakukan pembacaan dan pengamatan yang mendalam di Sabah tentang demografi serta struktur masyarakat maka kita mendapati perbezaan permasalahan berlaku mengikut tempat. Antara isu besar yang kita dapat lihat adalah tentang kepemilikan (tanah adat, tanah rakyat) dan masalah undocumented. Kita merasakan bahawa isu masyarakat tanpa dokumen adalah masalah yang paling serius dari segi politik, ekonomi, keselamatan, kepemilikan, pekerjaan dan pendidikan.  Permasalahan inilah yang kita bawa masuk ke dalam universiti untuk dibincangkan dan mencari idea-idea progresif lalu mengangkat persoalan-persoalan ini dari bawah ke atas. Saya dan teman-teman mahasiswa menggunakan medium pendidikan untuk mengamati lebih mendalam permasalahan komuniti yang lain lalu melakukan aksi-aksi simbolik perlawanan buat pemerintah. Ingat tentang sejarah kita, guru dan pelajar dipercayai oleh masyarakat untuk merubah nasib bangsa.

Di semenanjung Malaysia pula, saya merasakan antara masalah yang terbesar adalah  isu kepemilikan (tanah), orang asli, alam sekitar, nasib buruh luar negara dan miskin bandar. Saya melihat universiti tumbuh di kota dan analisis miskin bandar sesuai untuk diangkat dari aspek pendidikan, nutrisi, pekerjaan dan kepemilikan tanah. Gerakan mahasiswa harus memulakan advokasi terhadap permasalahan yang terdekat dengan lingkungan persekitaran universiti. Dari situ kita akan bergerak masuk ke ceruk-ceruk desa dan mengangkat permasalahan yang lebih besar.

Bagaimana mahasiswa boleh mengatakan bahawa mahasiswa adalah jurucakap rakyat sedangkan kita asyik berperang tentang masalah dalaman di universiti untuk kepentingan diri (mahasiswa), itu belum masuk lagi yang suka bersetubuh dengan orang politik kelas atas sedangkan tidak pernah menghidu bau-bau penindasan dari bawah. Datanglah, tinggallah bersama kaum-kaum yang kalah ini, lepaskan kemaluanmu yang diikat dari tubuh orang-orang politik.

Membangun ekonomi mandiri.

Percayalah, semua persoalan mahu tidak mahu harus terkait dengan persoalan ekonomi. Gerakan mahasiswa terikat dengan agenda feudalisme dan kebergantungan terhadap orang lain maka kita hanya mampu jadi proksi dan mengharap dana-dana parti politik. Selagi gerakan mahasiswa tidak memikirkan tentang ekonomi mandiri, selagi itu kita sukar untuk memerdekakan gerakan mahasiswa. Saya pernah bertanya dengan kelompok gerakan mahasiswa tentang apakah cita-cita kalian? Mereka bingung dan buntu. Mereka sendiri tidak jelas tentang masa depan, setahun, lima tahun atau sepuluh tahun ke depan. Mereka hanya berserah dengan nasib dan buat benda lain bila gagal. Langsung tidak memikirkan tentang generasi akan datang.

Gerakan mahasiswa harus mempunyai ruang sendiri di luar universiti. Kita harus keluar dan bangunkan sentimen kebersamaan dari luar. Kita harus berani menyewa pejabat atau markas atau rumah kolektif atau apa saja untuk pengorganisasian. Berhenti menumpang dengan mana-mana gerakan yang kononnya ‘non-partisan’ apatah lagi pejabat parti politik. Bangunkan gerakan di luar mengikut acuan dan idea mahasiswa. Keluarlah dari budaya malas, kreatiflah mencari dana dengan membangunkan perniagaan secara kecil-kecilan. Dengan dana sendiri barulah kita mampu membangun agenda kita sendiri tanpa sekatan atau campur aduk agenda. Akhirnya, mungkin kita mampu membangun koperasi mahasiswa yang benar-benar digerakkan oleh mahasiswa dengan mandirinya.

Sumpah mahasiswa.

Gerakan mahasiswa harus membangun ‘Sumpah Mahasiswa’ sebagai pemula pembangunan idealisme dan agenda besar yang ingin dicapai. Gerakan mahasiswa menjadi hidup segan mati tak mahu kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dicapai dan mengapa harus kekal bersama organisasi. Gerakan mahasiswa harus mempunyai idealisme yang jelas dan bersumpah untuk taat setia. Pimpinan yang cuba merekrut ahli harus tahu mengapa organisasi harus dipertahan demi agenda yang besar. Kita adalah masyarakat dan masyarakat adalah kita, menolak ketidakadilan dan membangun kesejahteraan sejagat. Gerakan mahasiswa sekarang bukan saja sumpah tidak ada bahkan lagu rasmi gerakan juga tidak ada. Sangat membosankan dan tidak kreatif.

Saya masih setia dengan gerakan mahasiswa.

Saya sudah bergraduasi pada tahun 2017 yang lalu namun saya masih setia dengan gerakan mahasiswa. Saya masih bernaung di bawah organisasi hasil idea mahasiswa. Hanya gerakan mahasiswa yang saya percayai. Tiada parti, NGO atau mana-mana badan yang mampu mewujudkan kepercayaan saya sepertimana saya mempercayai gerakan mahasiswa mampu menggerakkan massa dengan ikhlas tanpa ada agenda kepentingan kekuasaan. Gerakan pelajar adalah gerakan yang murni, kita satu-satunya yang tinggal sebagai jurucakap rakyat kelas bawah. Semua gerakan yang lain akan bergerak mengikut kemahuan pihak yang mendanai mereka. Oleh itu kita harus mampu mandiri dan merdeka.

Ayuh mahasiswa, kita bergerak ke hadapan, berani bercita-cita dan membangun modul baru gerakan mahasiswa untuk masyarakat kelas bawah!

Leave a Reply