Sehingga hari ini ana masih tidak mampu menyebut nama Luthfi dengan betul, samalah seperti ana tidak mampu menyebut Mat Luthfi dengan betul. Kadang-kadang ia sebutannya menjadi luffy, luff – sukar benar lidah ana untuk menyebut Luth. FI. Apabila bertemu ana cuma menggelarkan Luthfi – kau, atau hang.

Bagi yang cuba meramal artikel semacam apa ini – seperti terlalu peribadi – siapa peduli jika ana tidak boleh menyebut nama seseorang – ini adalah sebuah artikel propaganda yang wajar dijauhi dan ditulis khusus untuk meracun otak pembaca dengan fikiran-fikiran negatif. Ana sebenarnya tidak mahu artikel ini dibaca oleh antum – melainkan antum adalah seorang pengundi berdaftar, yang belum mati (ini lawak hambar: pengundi hantu sebenarnya) –  antum bukanlah sasaran kempen propaganda ini.

Ana tahu artikel ini akan tidak disenangi sesetengah orang, tapi ana tidak pernah kisah. Ana tidak berhati bawang.

Nadi Mahasiswa Malaysia telah diuruskan hampir setahun oleh Luthfi

Bagi yang tidak mengetahui sejarah Nadisiswa, eloklah ana ceritakan secara ringkas. Pada tahun 2017, ana fikir mahasiswa perlu ada satu website khusus untuk menyerlahkan tulisan mereka – memandangkan untuk artikel mahasiswa diterbitkan pada akhbar perdana, agak sukar. Ana dan beberapa orang sahabat menubuhkan Nadisiswa. Krew datang silih berganti dan akhirnya ana bertemu dengan Luthfi.

Ana melihat dia seorang mahasiswa yang memiliki passion untuk melakukan sesuatu yang tak klise – sesuatu yang amat kurang pada kebanyakan mahasiswa hari ini. Menguruskan website tidak klise bukan?

Setelah tamat menjadi mahasiswa, tugas utama ana adalah menyerahkan Nadisiswa untuk diuruskan oleh mahasiswa. Ana khuatir ana tak kuat – dan akhirnya terlibat secara langsung dengan parti politik. Apabila keadaan ini terjadi, maka ana pasti akan berpihak. Mujurlah ana bertemu dengan Luthfi. Pada awalnya dia kerap menghantar tulisan kepada Nadisiswa. Akhirnya ana ambil keputusan untuk menjadikan dia Sub-editor.

Hari ini ana ingin beritahu – Nadisiswa yang tidak seberapa ini telah diuruskan oleh Luthfi bersama beberapa krew setia – yang tidak dibayar dan hanya disumbatkan madu idealisme.

Ana ada juga risau disebabkan Luthfi budak Harmoni, dan Harmoni adalah IKRAM

Ketika Pakatan Harapan menang, atau lebih spesifiknya – ketika Dr Maszlee diangkat menjadi Menteri Pendidikan, anak sedikit risau dengan Luthfi memandangkan dia dari Harmoni. Kita semua mengenali Dr Maszlee adalah orang penting IKRAM – Harmoni pula dibawah IKRAM – adakah antum lihat mengapa ana gusar? Ana gusar Luthfi akan terlalu rapat dengan Dr Maszlee – sehingga tahap menjadi tembok dan tidak henti-henti mengampunya.

Ana ada nasihatkan secara ringkas, kalau berlebihan – bimbang pula dia melarikan diri;

“Memiliki jemaah adalah pilihan, menuruti keputusan jemaah adalah satu kewajiban, namun prinsip diri juga perlu ada. Apabila ada keadaan yang menyebabkan prinsip diri bertembung dengan prinsip jemaah, maka pada waktu itu kau harus membuat pilihan yang sukar. Tiada keputusan yang terlalu tepat, namun keputusan perlu diambil.”

Ana juga bimbang ketika itu dia akan mula berswafoto atau mengambil gambar secara berjemaah dengan orang-orang besar kerajaan. Kemudian menyatakan rasa bangganya pada foto itu. Aneh, ramai mahasiswa pada hari ini merasakan diri mereka besar apabila bergambar dengan orang-orang besar. Padahal seseorang itu tidak menjadi besar kerana foto, tapi kerana peribadinya. Peribadi yang besar sukar didapati kalau hari-harinya dipenuhi dengan mengampu, merasakan diri sentiasa betul, tidak memahami konsep organisasi atau merasakan diri hebat.

Alhamdulillah setakat ini, Luthfi masih sederhana. Mungkin juga kerana dia tidak ada jawatan besar – menyebabkan dia tidak digauli oleh orang besar. Fotonya yang melekat pada ingatan ana – foto dia menyampaikan surat dan sebuah buku yang ana kirim pada Anwar Ibrahim. Sebenarnya, pada surat itu tiada apa yang penting, cuma ana mahu dia biasakan diri meredah lautan orang – untuk menyerahkan sesuatu kepada ‘tuhan’ politik.

Luthfi sebenarnya sedang mencari-cari makna diri

Ana selalu bertanya soalan pada Luthfi – kau mahu jadi apa? Dia sering kata mahu meneroka dahulu. Dia mahu mengikuti dan membaca banyak hal, kemudian barulah dia mahu menentukan. Selalu ana jawab ringkas – ikut suka hati kaulah, janji kau happy sudah.

Universiti Malaya mencatat sejarah apabila PRK kali ini diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa. Selaku bukan lagi mahasiswa, ana tidak terlalu ambil pusing tentang pelaksanaan PRK, namun ana harap Luthfi menang. Apabila dia menang – tentulah ana akan memaksanya mencatat semua insiden dan hal penting sepanjang PRK ini. Mahasiswa selalunya malas menulis dan mencatat, tapi ana tahu Luthfi boleh mencatat.

Ana juga harap dia menjadi MPP, kerana adalam MPP akan ada banyak krisis yang perlu ditangani. Untuk membina peribadi yang besar – krisis yang maha sukar diperlukan. Berhadapan dengan krisis akan menjadikan akal lebih subur dan tindakan lebih teratur. Di Nadisiswa, krisis-krisis seperti ini enta tak akan temukan Luthfi, ada pun cuma ana sesekali mengusik orang dengan artikel. Kalau perbahasan sudah melalut – ana diamkan. Jadi enta perlukan sesuatu yang lebih sukar, mencabar dan memenatkan.

Mengakhiri artikel propaganda ini – ana harap semua pengundi Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya akan memberi kepercayaan pada Luthfi. Berikan dia ruang untuk mewakili anda. Kalau dia mula berlagak seperti YB selepas dipilih (seperti kebanyakan MPP) – kita akan bersama-sama menulis artikel untuk membunuhnya.

Melobi adalah hal biasa – ana terhutang budi pada Luthfi. Sebelah jiwa ana mahu dia menang, sebelah jiwa lagi ana mahu dia kalah – supaya Nadisiswa tetap terurus. Luthfi, jika menang itu amanah, jika kalah itu anugerah.

Leave a Reply