Anda sudah puas membaca tajuk-tajuk sebegini: Millenial manja di tempat kerja. Kami ialah ‘generasi aku-aku-aku’, dan nampaknya , kami mahu kejayaan itu disuap terus ke mulut. Tapi, mungkin ini masanya untuk para majikan merenung semula ke cermin dan bertanya pada diri sendiri: Adakah anda benar-benar terbuka dengan kemahiran dan idea yang boleh millennial bawakan pada anda?

Emma Gannon – penulis The Multi-Hypen Method, sebuah buku tentang masa depan tempat kerja – berkata millennial dilabel “manja” sebab “mereka tertekan” dengan keadaan tempat kerja yang kurang terbuka dengan pendekatan yang berbeza seperti sebelumnya.

“Bagi saya millennial begitu menonjol sebagai generasi yang rajin bereksperimen sejak kecil,” beliau kepada Mashable. “Saya membesar dengan Myspace, mengajar diri saya bagaimana untuk menulis kod, memahami asas HTML, cuba mencipta sesuatu yang menarik. Rakan-rakan saya akan datang ke rumah selepas sekolah dan kami akan membina laman web kami sendiri dan mengambil gambar sesama sendiri kemudiannya muat naik ke dalam talian.”

Menyentuh soal perpindahan kemahiran ini ke dalam tempat kerja, Gannon berpendapat millennials berasa kecewa apabila mereka melihat diri mereka dalam organisasi korporat yang kurang terbuka kepada perubahan, dan keberatan untuk memecah status quo.

“Millenials ialah generasi yang membesar dengan mengajar diri sendiri mengenai hal-hal teknologi, jadi apabila mereka tersekat di dalam persekitaran yang ketat dalam sesebuah korporat yang sentiasa melakukan sesuatu benda yang sama selama 50 tahun, ia suatu yang menggeramkan apabila anda tahu ada jalan yang lebih mudah dan pasti bahawa anda boleh melakukan suatu perkara dengan cara yang berlainan,” kata beliau.

“Oleh sebab itulah mereka dianggap ‘manja’ atau berlagak; kerana mereka tertekan dalam mesyuarat dengan fikiran, ‘cubalah kalau kita boleh buat perkara itu dengan jalan yang lain’.

Budaya kerja sudahpun berubah, kata Gannon, dan fokus millennial tidak lagi sama seperti Gen X dan Baby Boomers.

“Kita diberi tangga kerjaya yang tidak wujud lagi”. Sambungnya, “saya rasa, kita melihat generasi ibu bapa kita dan terfikir, oh OK, anda dapat kerja dan seterusnya anda naik pangkat, kemudiannya dapat kerja jadi bos, jadi anda perlu naik pangkat dan naik gaji, semua akan menjadi lebih baik.”

Dalam buku Gannon, millennials lebih rela memilih gaji yang sedikit rendah untuk bekerja dalam persekitaran yang menjamin kualiti hidup yang lebih baik.

Jadi, adakah tekanan antara jangkaan pekerja millennial, dan apa yang majikan mereka tawarkan merupakan masalah yang menyumbang kepada naratif kelakuan ‘manja’? Claire Jones – pengarah perhubungan pekerja di syarikat PR antarabangsa Weber Shandwick – bersetuju dengan pendapat tersebut.

“Tidak diragukan, golongan pekerja millennial mempunyai jangkaan yang berbeza daripada majikan mereka,” kata beliau. “Millenial mahu bekerja untuk majikan yang menunjukkan tanggungjawab kemasyarakatan yang baik, adil dalam tindakan mereka, berkomunikasi dengan terbuka dan telus serta mempunyai pemimpin yang berintegriti yang boleh bertindak mengikut apa yang telah dibincangkan.”

Jones melihat dari mata generasi lebih tua, ‘sifat integriti’ yang ada dalam millennials boleh disalah anggap sebagai ‘sifat manja’.

Menurut Stephen Isherwood, ketua eksekutif di Institute of Student Employers, majikan berasa sukar untuk mengendalikan jangkaan para pekerja. “Majikan meluah kepada kami mengenai isu utama syarikat mereka ialah mengendalikan jangkaan graduan baharu,” kata Isherwood. Beliau rasa ini boleh membawa kepada majikan melihat perkara ini sebagai ‘sifat manja’.

“Graduan baharu mempunyai pengalaman kerja dan hidup yang terbatas, jadi apa-apa yang mereka jangkakan daripada kerja atau apa yang mereka rasa mereka berhak ke atasnya, mereka perlu mempunyai ilmu dan pengalaman untuk terus maju”, kata beliau lagi.

Perbezaan generasi dalam pendidikan boleh jadi salah satu sebab ke atas tekanan ini, kata Susy Roberts, pengasas kepada syarikat konsultan pembangunan manusia, Hunter Roberts.

Roberts berkata bahawa generasi lebih tua diajar untuk “buat kajian sendiri, dan tunjukkan jalan kerjanya,” untuk menerangkan bagaimana mereka mendapat jawapan tersebut. “Untuk millennials, sistem pendidikan sudah berbeza. Kerja berkumpulan semakin digalakkan, manakala kajian tidak lagi dibuat bersendirian di perpustakaan, dan mulai menggunakan debat dan perbincangan sebagai asas pengajaran, kuliah dan seminar.”

Menterjemahkan perkara ini kepada ruang tempat kerja, generasi lama mendapati cara kerja ini suatu yang asing. “Mereka diajar untuk berfikir dengan sendirinya, mencari fakta dan berdikari.” Beliau menyambung lagi, “oleh itu, agak mudah untuk difahami mengapa millennial boleh dianggap ‘manja’. Namun mereka bukan manja, mereka cuma berbeza.”

Kini, budaya kerja yang lapuk menjadi batu penghalang potensi kemahiran pekerja millennial, menurut Gannon.

“Kamu ada pekerja millennial yang mempunyai banyak kemahiran, kemahiran khusus lain dan pengalaman, yang masih tidak boleh digunakan dalam kerja kerana masih terlalu banyak perkara yang dilakukan berstrukturkan cara yang lama pada masa kini,” kata beliau.

Untuk menggunakan kemahiran unik mereka yang ada, inilah masanya untuk kita tinggalkan cara dan budaya kerja lama, dan mula menyesuaikan keadaan persekitaran kerja untuk semua generasi akan datang.

Nota penterjemah: Terjemahan ini sedaya upaya dikekalkan maksud dan konteks ayatnya. ‘Manja’ dalam maksud terjemahan ini disesuaikan dengan persepsi ‘pekerja manja’ di Malaysia, iaitu pekerja/graduan yang memasuki alam pekerjaan yang tidak dapat menyesuaikan diri di tempat kerja, tidak tahan ditegur, tidak berdikari, berpendapat (opinionated), keras kepala dan tidak dengar cakap.

Sumber asal daripada Mashable ini ditulis oleh Rachel Thompson pada 1 Jun 2018. Perbincangan dalam artikel ini juga hampir sama dengan dapatan Astro Awani dalam “Majikan ketinggalan zaman? Ini 5 permintaan pekerja Gen Y kepada majikan”

Leave a Reply