Lama aku tidak menulis di NadiSiswa, sebab malas.

Aku akan mulakan dengan gaya yang klise – aku bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang aktivisme, aku cuma mahasiswa yang biasa-biasa sahaja.

Hahh. Bodoh. Aku memang layak untuk bercakap soal aktivisme, walaupun cabaran aku semasa siswa berbeza dengan dewa-dewa yang dipuja siswa pada hari ini, ada banyak cerita yang mahu aku kongsikan.

Baru seminggu seorang siswa bertanya kepadaku – bagaimana mahu menjadi aktivis mahasiswa? Seperti tipikal ‘Malaysian’, aku menjawab soalan dengan soalan – apa yang kau ertikan menjadi aktivisme mahasiswa?

Kadang-kadang aktivisme mahasiswa seperti Akademi Fantasia

Masihkah kita ingat Akademi Fantasia? Jika kau terlalu muda untuk mengenalinya, maka petik sahaja mana-mana rancangan realiti TV. Setiap minggu akan ada sesi penyingkiran, kemudian mereka akan menangis beramai-ramai seolah-olah baru menjadi duda atau janda.

Alangkah bodohnya kelakuan ini. Sepatutnya ketika sesi penyingkiran berlaku, mereka yang terselamat harus ketawa besar. Mereka tidak tersingkir, dan peluang untuk menjadi juara semakin menebal. Namun mereka telah diajar untuk menjadi ‘munafik’ seperti itu.

Aku memberitahu siswa itu; dalam aktivisme siswa atau apa-apa jua jenis gerakan – orang-orang seperti peserta Akademi Fantasia ini bersepah. Mereka sering acah-acah menunjukkan rasa simpati, tapi sebenarnya mereka bukan peduli apa yang sedang menimpa kau. Lebih malang, sekali-sekala kesusahan kau akan dipergunakan untuk kepentingan mereka.

Bagaimana gerakan seperti ini boleh dikesan? Mereka akan berjuang ala kadar atau sekadar melepaskan batuk di tangga supaya batuknya kedengaran oleh orang banyak. Mereka tidak punya perancangan rapi dalam memperjuangkan isu, tiada pengurusan risiko dan timeline untuk diikuti.

Mereka lebih teruk dari peserta Akademi Fantasia – sekurang-kurangnya peserta Akademi Fantasia punya timeline yang harus diikuti.

Itulah contoh paling ringkas yang boleh aku berikan. Selalunya mereka juga kerap ‘menempel’, akan berada di semua tempat dan cuba untuk memimpin semua isu. Sedangkan gerakan siswa ada banyak.

Tentu sahaja akan timbul jawapan – kumpulan siswa sukar dikumpulkan kerana ada masalah ego dan ideologi yang berbeza. Tentu sahaja kalau yang mahu memimpin itu diragui orang akan lari. Kalau sahaja orang yang mahu menerajui sudah bagus, tapi persatuan lain enggan – boleh sahaja bekerjasama. Tidak boleh bekerjasama? Jangan bergaduhlah, bodoh.

Biarkan kumpulan siswa menggunakan kaedah masing-masing dalam menganalisis masalah dan biarkan setiap kumpulan menggunakan kaedah masing-masing. Apakah bodoh – bergaduh soal method of approach. Apa bezanya kumpulan-kumpulan seperti ini dengan pemegang ‘absolute truth’ yang sering dibahan so called aktivis siswa?

Takut dengan bayang-bayang sendiri

“Man, diorang marah dengan aku Man. Sebab aku kritik terbuka, kenapa tak bincang secara tertutup dengan mereka.”

Aku menyambut Mukmin, sahabat baik aku. Aktivis yang aku fikir 1000 kali ganda lebih banyak bekerja daripada aku. Bahasa mudahnya aku cemburu. Dia beritahu yang dia berbincang dengan kumpulan siswa tertentu, dan dia dipersoalkan mengapa tidak berbincang secara tertutup? Mengapa kritik dengan terbuka?

Alangkah janggalnya naratif ini – bukankah ia sama dengan naratif universiti; silalah salurkan aduan dan kritikan anda di tempat yang betul, janganlah gunakan media sosial kerana ia tidak akan memberi apa-apa kesan.

Untuk pengetahuan, Mukmin ini tidak terikat dengan kumpulan mereka. Bukankah selalunya ‘nature’ kumpulan siswa adalah membuka wacana bebas dan boleh dibincangkan? Bukankah memang menjadi pekerjaan aktivis siswa untuk bengis dalam tulisannya?

Bengis tidak bermaksud perlu memaki hamun, menghina atau merendahkan maruah orang lain. Aku maksudkan bengis – berdiri teguh dengan pendirian dan berani menyatakan pendirian. Kalau aktivis siswa menjadi bangsa pemalu, apalah harapan siswa kita yang terkenal tinggi malunya?

Ada di antara kita cuma berani dengan HEP, kerana kita tahu HEP kuno naratifnya. Ada pula berani dengan kerajaan, kerana kerajaan selalu mengambil langkah bertahan. Mengapa perlu takut pada kritikan aktivis lain yang ‘resources’-nya tidak sehebat mana? Jawablah kritikan supaya siswa tahu apa yang sedang berlaku.

Jalan yang penuh ranjau, dan sukar

Seperti peserta Akademi Fantasia, nasib aktivis siswa penuh ranjau. Zaman siswa adalah zaman ‘penangguhan’ daripada menghadap realiti. Apabila sudah bergraduasi, cabaran bermula. Tidak banyak ruang untuk meneruskan ‘aktivisme’ setelah bergraduasi.

Melainkan anda seorang anak saudagar minyak – anda perlu mencari pekerjaan, sekurang-kurangnya untuk menyara diri. Perjalanan itu penuh ranjau; jika mahu meneruskan kegiatan – cubalah menjadi orang terbuang, mandiri dan ada liabiliti yang kurang. Anda boleh terus berjuang, tapi terlalu sikit orang yang akan memilih jalan seperti ini. Biasanya mereka akan mula mencari pekerjaan – seperti aku.

Ada juga pilihan-pilihan yang minimal – menyertai parti politik atau bekerja di NGO. Celakanya kita kerana kita tidak percaya siswa boleh mandiri, selalu mahu bergantung. Bergantung pada kerajaan, parti politik atau ‘cukong-cukong bekepentingan’. Mentaliti ini dibawa sehinggalah tamat zaman kampus. Akhirnya kita gentar dan mahu mencari pergantungan – sekali lagi, seperti aku.

Setelah aku bersyarah panjang, aku minta siswa itu mencari mentor yang betul. Aku turut nasihatkan – kalau sekadar naik main-main, boleh sahaja. Bukan semua orang berhati cekal untuk menjunjung idea dan kepercayaannya dalam tempoh yang panjang.



Leave a Reply