Bahagian I

 

Kopi kosong, panas. Meluru masuk ke dalam kerongkong keringnya yang penat membanting tulang di kebun. Senyum anak kambing di jalan debu kampungnya berwarna jingga, sejingga sisa tanih yang melekat di sekeliling tayar lori kayu. Anak bini tidak akan kenyang sendiri berteman rumput kuning yang hampir tua dan mati. Jurufoto lelaki berjaket tanpa lengan menyendiri dengan rokok di tepi. Wartawan wanita molek sedang berdandan. Jemarinya masih layu;

“Pakcik, boleh kami interbiu pakcik?”

Mengangguk, mengiya.

“Apa respon pakcik terhadap pembalakan yang dijalankan di kawasan ini?”

Kopi kosong, sudah suam. Sepertiga lagi.

“Terima kasih, pakcik. Nanti tengok kat TV ye?”

Malam itu, lengannya gatal digigit nyamuk. Rambutnya menggaru bekas merah, isterinya masih batuk kuat dan anaknya masih sakit, demam. Esok masih sama, lusa masih sama, tulat masih sama, seminggu ke sebulan, setahun. Genap umur gambar menteri dicabut; lori balak cuti. Anaknya sudah tiada, isterinya sudah tiada. Dua-dua merenung celah bocor atap usang, menyahut Tuhan di satu malam yang kuning.

 

Bahagian II

 

Hingar bingar suasana kafe. Cuping telinga gadis itu menangkap namanya dipanggil untuk kali ketiga. “Kapucino?”

Cawan putih, tinggi disebut Venti. Kafein menderu mengisi ruang hati, membangkit semangat dari hujung lena. 26 jam, tiada tidur. Kafein penangguh tidur; kafein peneman subuh. Tugasan kumpulan yang seharusnya dengan manusia. Akhirnya berkumpulan juga dengan kapucino mesin yang disangkanya buatan tangan.

Dia mencekik pen, sebagaimana dia mencekik helaian warna Ringgit di tabung simpanannya. Dia mengetuk papan kekunci, sebagaimana dia mengetuk bayang rakannya yang suka berhutang kerja dan masa. Cekik dan ketuk -sehirup lagi- adalah kerja sepenuh masa yang dia ada.

 

Bahagian III

 

Neslo. Nescafe, milo.

Teman lelakinya ketawa, muncullah seri yang dia cintai. Yang dia cintai itu suka Neslo. Dia juga jadi gemarkan Neslo, kerana yang dia cintai itu. Malam ini, dia harus turun berceramah soal integriti dan maruah. Dia harapkan teman lelakinya itu hadir juga. “Mungkin”, katanya. Dia masih kerja.

Ceramahnya berlangsung waktu malam, di hadapan mahasiswa-mahasiswi terpelajar.

“Terima kasih, Encik, kerana sudi meluangkan masa bersama kami malam ini.”

Muncul mesej dari teman lelakinya, mengucap selamat dan semoga lancar semuanya. Dia tersenyum. Gema ucapan alu-aluan dari wakil wanita itu perlahan, semakin. Mengisyaratkannya untuk menjadi lelaki berkarisma; menjadi lelaki yang teman lelakinya cintai.

 

Bahagian IV

 

Ahli Sihir Utama menugaskannya mengutip batu untuk upacara malam ini. Di sebalik rimba ganas, tersorok perhimpunan ‘ahli sihir-ahli sihir’ yang dimomokkan Abang Besar. ‘Ahli-ahli sihir’ ini mengumpul batu, botol dan minyak, arak dan apa-apa beralkohol sejak dua purnama lalu.

Dia membesar dalam khemah kain ini, ibunya seorang ‘ahli sihir’. Tapi ibunya ‘ahli sihir’ yang aneh. Ibunya tidak pernah mengutip batu, botol, minyak, arak seperti ‘ahli sihir’ lain. Ibunya suka berdagang, berjual beli. Yang dia paling suka, ibunya menghasilkan sejenis minuman pekat hitam. Tanpa gula, ia pahit tawar. Minuman itulah pendamping mereka berdua, di saat Abang Besar menghalau para wanita melawan dan di saat bapanya cuba menikam ibunya.

Abang Besar menghantar sepasukan tentera, tapi diserang hendap oleh sekumpulan ‘ahli sihir’ lain dengan batu yang berapi dari atas pokok. Berterbangan besi-besi kecil bercahaya dari muncung lohong panjang. Jatuh satu demi satu ‘ahli sihir’ menghentam ranting mainan semut dan serangga.

‘Ahli sihir’ itu satu persatu diheret dan dikoyak pakaian mereka. Terhenjut-henjut tentera hijau merah sebelum terbaring lega di sisi mayat ‘ahli sihir’. Ibu hanya dapat menutup mulut anak perempuannya dari tangan kanannya dan tangan kirinya mencengkam leher botol kedap yang berlidah kain. Cecair dalam botol itu turut sunyi ketakutan. Berharap tangan ‘ahli sihir’ itu terus rapat ke mulut anak perempuannya. Berharap api tidak mencecah-bakar-mereka yang masih selamat. Berharap agar mereka hidup, untuk kembali menentang esok.

Abang Besar benci perempuan yang berani.

 

Bahagian V

 

Hadiah yang dia paling tidak suka –serbuk kopi. Dalam banyak-banyak hadiah, serbuk kopi hadiah paling murah yang dia dapat. Itu minuman orang miskin. Tertulis, ‘Serbuk Kopi Original dari Kampung…matanya malas.

Itu minuman orang miskin. Serbuk kopi itu dihumbannya keluar tingkap. Masih banyak lagi hadiah kotak-kotak besar misteri yang perlu dibuka.

 

Bahagian VI

Di Perancis, Voltaire, Rousseau dan Diderot bertemu sambil menghirup kopi, menyambut semangat Enlightenment dan menularkan idea Revolusi Perancis di Cafe Procope, Paris. Di Amerika, jumlah kopi yang tidak terkira banyaknya menjadi hidangan hangat para intelektual seperti John Adams, James Otis dan Paul Revere di Boston’s Green Dragon, antara perancang penentangan Amerika terhadap British…

-Terjemahan dari John Farndon, ‘Coffee and Tea’ dalam The World’s Greatest Idea: The Fifty Greatest Ideas that have Changed Humanity, London: Icon Books Ltd, 2010, halaman 111.

Leave a Reply