Sir Ken Robinson: Mengubah Paradigma Pendidikan


Terjemahan daripada transkrip video Sir Ken Robinson, “Changing Education Paradigms”. Beberapa komentari telah dimasukkan untuk memantapkan terjemahan ini.

Pendahuluan

Setiap negara di dunia kini sedang mereformasikan pendidikan awam mereka. Sebab pertama ialah ekonomi- kita tidak dapat menjangkakan bagaimana ekonomi pada hujung minggu hadapan dengan krisis ekonomi hari ini. Sebab kedua pula ialah budaya – setiap negara di dunia sedang memikirkan bagaimana kita dapat mendidik anak-anak pada hari ini agar mereka mempunyai perasaan identiti budaya tersendiri, supaya dapat diturunkan kepada generasi selepas mereka.

Sistem Pendidikan

Masalah dengan sistem pendidikan sekarang ialah ia direka, dibina dan distrukturkan untuk zaman yang berbeza. Ia dibincangkan dalam budaya intelektual zaman Pencerahan, dan dalam keadaan ekonomi Revolusi Industri. Anak-anak kita pula sedang hidup di dalam suatu zaman paling tinggi kadar stimulasinya dalam sejarah dunia. Mereka bertembung dengan informasi, meleraikan setiap urat perhatian mereka kepada setiap platform sosial, komputer, iPhone, iklan daripada beratus saluran televisyen. Dan kita pula, mendenda mereka kerana terganggu tumpuan mereka.

Komentari: Bayangan dan jangkaan kita pada para pelajar ialah mereka seharusnya memberi sepenuh perhatian kepada apa yang berlaku di dalam kelas. Tetapi kita harus ingat, mereka ialah manusia dan bukan robot. Jika kita berterusan melayan para pelajar dengan keras, seperti memarahi, menilai dan melabel mereka ‘pemalas’ , ‘generasi strawberi’ atau ‘lemah’, tidak hairanlah jika kita membina generasi pelajar yang terasing daripada diri sendiri dan masyarakat sekitarnya serta menerima kelemahan itu sebagai sebahagian daripada identiti sosial mereka. 

Sains dan Matematik

Seni menekankan idea pengalaman estetika. Pengalaman estetika ialah apabila deria anda berfungsi pada kadar yang tertinggi. Ketika anda ‘hadir’ pada suatu momen. Ketika anda gembira dan seronok kerana suatu pengalaman yang anda sukai. Ketika anda terasa hidup sepenuhnya. Estetika ialah apabila anda menutup deria anda, dan mematikan diri daripada merasa apa yang berlaku di sekeliling anda. Kita mengajar anak-anak kita melalui pendidikan dengan membiuskan mereka. Sepatutnya, kita bertindak berlawanan daripada itu. Kita tidak sepatutnya menidurkan mereka, kita sepatutnya membangunkan mereka dan menghidupkan apa yang ada dalam diri mereka.

Komentari: Jika dilihat, Sir Ken Robinson tidak menyebut perkataan Sains dan Matematik, malah sebaliknya menekankan unsur pengalaman sebagai cara pelajar memahami dunia. Di Malaysia, kebanyakan pengalaman yang dirasai oleh pelajar telahpun disusun oleh institusi sekolah dan Kementerian lalu memungkinkan pengalaman yang kurang autentik. Oleh demikian, para pelajar sudah pasti akan mencari pengalaman autentik yang boleh memenuhi emosi mereka di laman sosial dan dalam kelompok pelajar. Sains dan Matematik tidak seharusnya difahami dalam kertas soalan, buku teks dan eksperimen. Ia sepatutnya difahami melalui ruang, cerita manusia dalam Sains dan Matematik dan kreativiti. Malangnya, harapan saja besar tapi bajet pendidikan tidak cukup. Lepas itu, salahkan pelajar sebab gagal Sains dan Matematik. Salahkan pelajar sebab enggan masuk aliran Sains dan Matematik.

 

Pemikiran divergen

Pemikiran yang divergen (tercapah) tidak sama dengan kreativiti. Kreativiti ialah suatu proses dimana seseorang itu mempunyai idea asli yang bernilai. Pemikiran divergen bukanlah suatu sinonim, tetapi ia amat penting untuk kreativiti. Ia adalah kebolehan melihat kepelbagaian jawapan yang mungkin untuk sesuatu soalan. Ia adalah kepelbagaian cara untuk mentafsirkan sesebuah soalan. Ia tidak hanya terhad untuk memikirkan sesuatu perkara secara linear, atau tertumpu daripada pelbagai cara; ia adalah untuk melihat beraneka jawapan, bukanlah satu sahaja. Ia menjadi lebih baik apabila meningkat dewasa. Ia mampu membuktikan kita 2 perkara: kita semua mempunyai kebolehan ini, dan ia biasanya semakin merosot.

Banyak perkara yang terjadi semasa kanak-kanak membesar. Tetapi salah satu yang paling penting dalam pertumbuhan mereka ialah mereka menjadi terdidik. Mereka menghabiskan 10 tahun di sekolah dengan kenyataan bahawa terdapat hanya satu jawapan sahaja; ia terletak di belakang buku latihan, dan jangan tengok. Dan jangan meniru kerana itu perbuatan menipu. Di luar sekolah, ia dipanggil kolaborasi, tetapi di dalam sekolah, ia menjadi suatu yang salah kerana para guru menetapkan sebegitu. Ini adil kerana ia suatu lumrah. Ia terjadi kerana itulah genetik sistem pendidikan.

Komentari: Dalam sistem pendidikan kini di Malaysia, kita masih lagi menekankan soal jawapan yang betul berbanding kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Soalan “Apa pendapat anda” atau “Sejauh manakah” seharusnya dinilai mengikut budi akal guru berbanding skema jawapan. Ini bukanlah salah guru sepenuhnya, kita tidak berada di Finland. Di Finland, suara guru bergema menggeletarkan pihak atasan. Kita berada di Malaysia, yang mengamalkan doktrinasi dari atas. Tidak cukup dengan itu, kita seolah mengutip sedikit sahaja intipati KBAT, iaitu kemahiran berfikir aras tinggi untuk menjawab soalan, bukan untuk kehidupan seharian. Para pelajar tidak dibiasakan untuk mencabar diri, berani untuk salah dan berani untuk mengekspresikan diri. Kemahiran berfikir tidak bermakna tanpa kemahiran tindakan yang manusiawi. 

 

Salahfaham

Kita seharusnya berfikir lebih jauh terhadap kebolehan manusia. Kita sepatutnya sudah boleh melepasi fahaman lama terhadap akademik, bukan akademik, tentang abstrak, teoritikal dan vokasional; agar kita dapat melihat di sebaliknya: sebuah mitos. Kita seharusnya boleh mengiktiraf hakikat bahawa kebanyakan proses pembelajaran yang terbaik datang dalam kumpulan. Kolaborasi ialah suatu yang mematangkan. Jika kita memisahkan manusia dan seterusnya menilai mereka secara berasingan, kita membentuk suatu kesimpulan yang tidak tepat antara mereka dengan latar belakang pembelajaran mereka. Selain itu, salah faham lain ialah tentang budaya institusi kita. Budaya, amalan institusi kita dan habitat yang mereka duduki.

Komentari: Mitos yang dimaksudkan ialah bentuk pengajaran yang seragam untuk semua pelajar. Apabila berbicara mengenai pendidikan, idealisme kita lebih berbentuk utopia sehingga tidak menjejak realiti dan sosiologi pelajar di sekolah. Walaupun kolaborasi merupakan elemen paling ketara dalam alam pembelajaran di kelas abad ke-21, ia masih suatu konsep baharu dan memerlukan perbincangan rapi dalam kalangan warga sesebuah sekolah kerana masih terdapat beberapa keadaan istimewa dimana proses kolaborasi dianggap ‘tidak sesuai’ kerana perlunya kawalan kelas yang lebih ampuh untuk para guru dan warga sekolah.

Budaya, amalan dan habitat yang dimaksudkan pula berkaitrapat dengan latar belakang sesebuah masyarakat dan institusi pendidikan di sekelilingnya. Sepertimana hantu, lain tempat lain gayanya. Oleh demikian, penyesuaian budaya dan kandungan ilmu seharusnya berakar pada keadaan dan pemahaman masyarakatnya. Buku teks cuma panduan, tapi yang menghidupkan ilmu tersebut ialah para guru dan sekolah. Misalnya, fakta-fakta Sejarah mengenai penjajahan boleh dikaitkan dengan isu terkini seperti peristiwa Tanduo atau penjajahan minda Barat. Para pelajar mungkin terkejut, mulanya tapi – memetik dialog dari filem “King Arthur: Legend of the Sword”:-

You want him to think big, give him something big to think about”.

Leave a Reply