Syafiq – Sastera dan Anjing ?

Aku tak tahu kenapa aku triggered sangat dan panas hati bila baca artikel bertajuk “Sastera Makanan Anjing!” di laman web Malaysiakini.com. Dalam konteks yang lain, aku ingin kaitkan generasi akan datang dengan bidang-bidang ini.

Kebanyakan anak-anak kecil sudah didoktrin dengan ideologi DEC iaitu doktor, engineer dan cikgu sejak kecil. Hanya 3 bidang atau kerjaya ini seolah-olah boleh melengkapkan hidup mereka pada masa akan datang. Minda mereka ditutup umpama membungkam muka sehingga putus pernafasan.

Bidang-bidang lain seperti Sastera, Seni Kreatif, Antropologi dan Sosialogi malah bidang sains seperti Geologi, Sains Sekitaran, Fizik Elektronik dan lain-lain tidak didedahkan kepada anak-anak kecil ini, lantas mereka berusaha sehabis mungkin untuk mendapat antara 3 kerjaya tersebut. Aku tidak salahkan kepada sistem pendidikan seratus peratus.

Aku setuju dan tidak menafikan kebenaran bahawa sistem pendidikan Malaysia membuatkan pelajar-pelajar SMK dan SK hanya bertumpu kepada sistem peperiksaan, tidak kepada kolaborasi, mencari pengetahuan tentang bidang-bidang yang luas diajarkan di universiti seperti yang dilakukan oleh sistem pendidikan di Finland.

Namun, hanya ingin berterusan menyalahkan kerajaan? Apa fungsi mahasiswa dan pihak universiti? Aku berpendapat bahawa perlu adanya program-program yang mendedahkan kepada generasi akan datang (pelajar sekolah) tentang bidang-bidang yang unik dan menarik ini. Ya, aku tahu memang wujud program-program sebegini, tetapi ada 2 masalah dalam hal ini. Yang pertama ialah kekerapan program tersebut diadakan. Program tersebut hanya dijalankan 2 tahun sekali malah ada yang hingga 4 tahun sekali. Pelajar-pelajar sekolah hanya mendapat info yang terhad (juga kerana masa program yang terhad) dan mula lupa tentang info tersebut.

Program ini perlu diulang-ulang kali seperti ideologi DEC yang sudah didoktrin oleh ibu bapa mereka dan masyarakat sekeliling sejak dari kecil. Yang kedua ialah sangat kurang (mungkin tiada) program-program yang mendedahkan bidang-bidang seni dan sastera kepada pelajar-pelajar sekolah.

Hal ini akan menjadikan, seperti dalam tajuk artikel, Sastera Makanan Anjing. Generasi mula lupa tentang kepentingan seni dan sastera kerana tiada pendedahan. Bukan semua pelajar berminat menjadi DEC walaupun dia berkelayakan, ada juga yang mempunyai seni dan kemahiran dalam sastera tetapi minat mereka dihalang oleh ibu bapa dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling.

Jika program-program Jelajah Ilmu ke Sekolah-Sekolah diadakan, matlamat utamanya memberi pendedahan dan apa kerjaya yang mereka perolehi setelah bergraduasi. Kebanyakan masyarakat kini memandang hina terhadap seni dan sastera sehingga menganggap kerjaya ini tidak dapat menjadikan mereka hebat dan kaya.

Cadangan aku, banyakkan program-program jelajah ilmu ke sekolah-sekolah, adakan bicara (talk) tentang definisi dan skop bidang, buka booth untuk menarik minat, aktiviti-aktiviti menarik (contohnya simulasi gempa bumi), model-model kreatif untuk memberi lebih pendedahan, kuiz dan soal jawab tentang bidang-bidang tersebut.

Aku akhiri hujah ini dengan mengatakan bahawa, bagi aku program-program sebegini adalah sangat penting malah lebih tinggi darjatnya daripada Program Delegasi MPP ke serata dunia. Aku yakin, jika program-program ini dilaksana, Malaysia akan menjadi lubuk pelbagai bidang ilmu dan digelar Kota Basrah Asia.

Syafiq Salim
10/11/2018

Leave a Reply