Oleh: Shakirah Sharifuddin

Daerah ini daerah yang wujud di dunia asing. Orang-orang di daerah ini seolah-olah hidup di zaman 70an. Padahal kita hidup di tahun 2018. Mungkin susah untuk kita bayangkan kerana kita hidup di daerah lain. Daerah dikelilingi bangunan dan pasaraya mewah, diberikan fasiliti dan kemudahan perubatan.

Tetapi di daerah ini ada anak-anak tidak bersekolah, hatta ada anak-anak terpaksa bekerja demi membantu si bapa. 16 orang ahli keluarga berkongsi ruang di dalam rumah yang sempit dan uzur, dan disebabkan hal ini sumbang mahram berlaku begitu mudah. Isteri-isteri masih melahirkan bayi di rumah dengan hanya bantuan bidan kampung. Ya, terpaksa menanggung risiko kematian kerana mereka tiada pilihan lain. Kos bersalin di hospital boleh mencapai RM 3000. Sedangkan pendapatan orang-orang di daerah ini mengikut hari, kalau ada rezeki lebih, dapat lah untung RM 20 sehari. Kalau rugi, RM 5 sehari.

Di tengah-tengah kampung ada anak-anak muda, pakcik-pakcik tua menjual gam dan syabu semudah menjual barangan runcit.

Anak-anak di kampung ini majoritinya tidak berpeluang ke sekolah kerana mereka tiada dokumen. Faktornya pelbagai. Misalnya ada yang lahir di Filipina dan menetap di Malaysia. Ada yang bermasalah dengan dokumen perkahwinan ibu bapa. Seperti yang kita maklum, isu dokumen ini isu politik.

Yang mengagumkan adalah, kesemua masalah diatas tidak memberi kesan yang teruk kepada anak-anak pelajar sekolah TFTN Semporna dan tidak sedikit pun melunturkan motivasi mereka. Saya sendiri tidak pasti jika saya di tempat mereka, mungkin saja saya turut terpalit dengan masalah sosial di kampung, dan boleh jadi motivasi saya rendah untuk terus belajar.

Tetapi anak-anak ini kuat semangat. Mereka mahu belajar dan membebaskan diri daripada kejahilan. Seperti yang ditekankan Cikgu Mukmin- ilmu adalah alat perubahan bangsa. Mereka datang ke sekolah awal sebelum pintu sekolah dibuka. Anak-anak ini sanggup berjalan sejauh 2 kilometer, mengambil masa hampir 30 minit terpaksa meredah titi uzur yang yang hampir roboh hanya untuk mengenal ABC. Sepanjang 5 hari berada bersama mereka, sekali lagi mereka membuatkan saya takjub, pantang saja ada masa terluang pasti dicapainya buku untuk dibaca! Kita patut tunduk malu dengan mereka jika kita mencipta alasan untuk membaca.

Dalam masa yang sama saya teruja, takjub dan kagum dengan semangat mereka, saya juga tertanya-tanya. Anak-anak ini bertanya soalan-soalan yang tiada siapa dapat menjawab dan menjanjikan apa-apa kecuali oleh orang-orang politik. Ada anak pelajar yang bertanya di dalam dialek Sabah: “Lepas aku bergraduasi di sekolah ini, aku mahu ke mana, Cikgu?” “Bagaimana aku boleh ambil SPM, Cikgu?”

Soalan-soalan seperti ini membuatkan kita tertanya-tanya dan membawa kita ke persoalan seterusnya iaitu, apa peranan dan tanggungjawab kita untuk tidak membiarkan nasib mereka ditindas?

Nah, berfikirlah sebentar, apakah kita hanya mahu menghentikan semangat anak itu setakat boleh membaca, menulis dan mengira? Tidakkah kita mahu mengembangkan sayap anak-anak tersebut, supaya mereka menjadi manusia yang terpelajar dan bermanfaat, supaya mereka tidak lagi mengulangi sejarah hidup ibu bapa mereka?

NGO, sebagai komponen dalam masyarakat sedang menjalankan tugasnya. NGO Teach For The Needs (TFTN) misalnya sudah pun mendirikan sebuah sekolah alternatif di tengah-tengah kampung untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak tanpa dokumen. Cikgu Mukmin dan Cikgu Anis mengajar anak-anak ini daripada tidak tahu langsung memegang pensel sehingga cekap membaca. Persis dalam filem Laskar Pelangi. Namun sekolah ini tidak dapat menampung jumlah yang ramai. Maka, mereka yang sudah mencapai KPI asas 3M (Menulis, Membaca, Mengira) terpaksa dikeluarkan dari sekolah untuk memberi peluang kepada yang lain.

Seperti guru-guru lain, guru-guru sekolah TFTN juga tidak mampu memberikan perhatian untuk semua perkara. Maka, ahli masyarakat yang lain juga perlu membantu guru-guru ini untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang isu-isu seperti seperti pendidikan kesihatan, pendidikan seks, pendidikan makanan nutrisi, pendidikan kebersihan. Selain kita mahu mereka kenal ABC, 123, kita juga mahu mereka menjadi seorang yang pembersih, yang sihat tubuh badannya dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial.

Bahasa mudahnya, jika kita percaya hanya ahli politik yang dapat melakukan perubahan, kita silap. Kedua, jika kita juga terlalu menyalahkan ahli politik dalam isu ini, kita sedang merugikan masa. Masa itu lebih baik kita gunakan untuk membantu usaha akar umbi untuk mengubah nasib anak-anak ini. Pun begitu, sesekali orang politik juga memang harus dihentam. Biar mereka sedar masalah ini adalah masalah mereka juga.

Ahli politik, ahli akademik, NGO, semuanya mempunyai peranan tersendiri dalam memperjuangkan nasib anak bangsa. Usaha ini perlu dilakukan secara kolektif dan memerlukan komitmen dari pelbagai pihak.

Kita percaya hak asasi kanak-kanak iaitu pendidkan perlu diberikan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira taraf sosial. Lalu cuba renungkan dan tanya diri, “apa yang aku dah buat?”

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply