Tidak dinafikan bakal wujud risiko jika cawangan parti politik ditubuhkan di universiti awam seperti yang dicadangkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Namun menurut Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), risiko itu dapat diatasi dengan matang andai mahasiswa dapat mewujudkan budaya baharu yang harmoni dan kondusif seperti yang berlaku pada PRU14 lalu.

Selaku Ketua Biro Pendidikan MKM, saya berpendapat bahawa peluang mewujudkan cawangan parti politik di universiti awam itu merupakan masa yang tepat buat mahasiswa diberikan pendedahan politik di kampus demi melahirkan generasi yang intelektual dan proaktif dalam menangani isu-isu nasional.

Mahasiswa perlu berani dan mempunyai prinsip yang utuh untuk menegur dan mengkritik apa sahaja tindakan yang salah sama ada dalam parti politik ataupun pihak kerajaan. Sudah tiba masanya kita perlu mewujudkan budaya baharu di dalam universiti untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berintigriti.

Bagaimanapun, jika wujud semangat ekstremis yang melampau akibat berbeza pandangan dan ideologi politik, pihak berwajib boleh mengambil tindakan. Sikap ini yang harus kita ubah kerana Mahasiswa yang matang sedia menerima teguran dan kritikan dalam usaha untuk membaiki diri dan organisasi tersebut.

Kita perlu sedar bahawa negara ini mempunyai undang undang dan pihak berkuasa, jika benar ada Mahasiswa yang melampaui batas laporkan kepada pihak yang berkenaan.

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang menyokong saranan Dr Maszlee Malik itu berkaitan apa yang dicadangkan adalah selari dengan cadangan Kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang dilihat mampu memberi impak yang sihat dalam politik negara.

Jika dilihat pada gambaran yang besar mahasiswa seawal 18 tahun sudah mampu menempa nama yang besar di persada dunia dan ini menunjukkan mahasiswa di Malaysia sudah cukup matang untuk berfikir secara kreatif dan kritis

Amirrul Haziq Abd Rahim
Ketua Biro Pendidikan Mahasiswa Keadilan Malaysia

Leave a Reply