Ketika seorang siswi berdiri di dalam salah satu konvensyen yang aku hadiri, berkehendakkan pendapat berkaitan pandangan rakan mahasiswa yang mengecilkan sekumpulan mahasiswa yang lain yang terlibat dengan politik, aku tersentak apabila terkenang sebilangan temanku yang turut mengadukan perkara yang sama, berlaku di tempat pengajian mereka yang juga melibatkan bidang yang berbeza-beza ini. Majoriti beranggapan bahawa wujudnya istilah bidang ilmu yang unggul dan bidang ilmu yang tidak hebat pembelajarannya. Mereka juga melihat adanya bidang pengajian yang eksklusif hanya untuk mereka yang dikatakan bijak untuk berada bidang itu dan juga bidang yang dikatakan bersesuaian untuk mereka yang bertahap sederhana.

Aku menjadi kurang pasti apakah indikator yang mereka letakkan untuk mentahapkan satu-satu bidang pengajian dan penuntutnya yang lain. Jika indikator yang ditetapkan itu hanya relatif kepada diri dan fikiran mereka sendiri, aku kira itu sesuatu yang tidak adil untuk dilakukan. Bahkan tidak lain dan tidak bukan nafsu mereka akan memandu bagi membuat satu keputusan penilaian yang bias.

Pemikiran yang menganggap wujudnya keadaan ‘superiority’ bidang ke atas bidang yang lain, barangkali kerana sesetengah bidang ilmu itu, sering diangkat oleh Barat sebagai penguat hujah mereka yang kebanyakannya menjadi rujukan mahasiswa masa kini, yang seterusnya menjadi indoktrinasi yang tidak langsung kepada mahasiswa yang kurang berfikir dalam menilai, sebagai ilmu itu sahaja yang gah yang akan membentuk ketokohan.

Jadi, apabila Muhammad Al-Ghazali kata hidup dibentuk oleh fikiran, maka tidak hairanlah apabila pandangan terhadap tahap ‘superiority’ satu-satu bidang ilmu ke atas bidang ilmu yang lain itu wujud. Pandangan yang melihat bidang falsafah dan penuntutnya lebih hebat dan berkualiti daripada bidang politik, kedoktoran dan kejuruteraan melebihi keintelektual-annya berbanding bidang sastera dan selainnya. Begitu juga apabila disiplin ilmu sains dianggap lebih ‘sophisticated’ berbanding pengajian islam.

Tambahan perkara yang lagi memeningkan adalah pandangan bagi mengecilkan bidang pengajian ini bukan terhad kepada orang awam tetapi selalunya akan ditafsirkan oleh penuntut pendidikan tertiari itu sendiri iaitu mahasiswa.

Secara peribadi, aku akan menganggap mereka ini mempunyai pemikiran yang cacat sehingga terzahir dalam tindak tanduk kehidupan mereka merendahkan yang lain. Kerana penuntut yang seperti ini, berfikiran mereka sudah gigih menguasai bidang pengajian mereka sehingga akhirnya terasa bidang mereka sahaja yang hebat. Walhal, mereka lupa untuk menilai secara syumul sesuatu pemikiran dan tanggapan itu melalui kaca mata yang berbeza-beza dan bukannya penilaian itu, relatif kepada diri mereka sahaja. Sepertinya mereka menyangka terbinanya peradaban itu, cukup dengan satu disiplin ilmu yang dianggap ‘gah’ itu sahaja.

Tidak sepatutnya hal ini berlaku jika penuntut ilmu itu benar-benar cerdik dan berisi kerana sudah pasti mereka akan menilai setiap sisi penting kewujudan disiplin ilmu yang berbeza-beza ini.

Seharusnya yang dimaknai dengan penuntut ilmu itu sifatnya merendah diri dan berlapang dada. Saling berkongsi dan bertukar pandangan sesama rakan mahasiswa yang berbeza pengkhususan bagi menilai potensi bagi komplementasi ilmu itu berlaku. Sesungguhnya ilmu yang membentuk ilmuan itu tidak hanya terhad di dalam kuliah semata-mata. Dan tidak hanya diperoleh melalui sinapsi antara pensyarah dan mahasiswa. Boleh jadi sesama mahasiswa itu sendiri. Bahkan aku meyakini peratusan pembelajaran yang lebih besar yang bakal dihasilkan.

Bilamana mereka faham bagaimana keseluruhan bidang-bidang ini menjadi simpulan-simpulan ikatan yang utuh dan jika dilepaskan satu maka yang lainnya akan turut terganjak kebelakang dan tidak lagi kukuh, maka disitulah kita akan lihat kesatuan pembangunan cendekiawan akan mula terbina.

Ayu Aliana Ismail
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply