Dari aku kecil, aku selalu bermain dengan angin. Dari aku kecil, aku selalu bercakap dengan kucing. Aku selalu merenung dunia dari mata mereka, merasakan indah cahaya panas Tawau. Bulu kucing jalanan biasanya kasar. Bulu kucing rumah pula selalunya lembut. Jadi aku sudah bijak bertanya dengan mereka mengenai hidup. Kadang-kadang mereka pandai terkilan, lalu bergerak pergi menjauhi. Lembut sahaja hati mereka.

Aku pernah bertanya dengan seekor kucing jalanan, bertompok hitam putih (atau putih hitam?) tentang manusia. Katanya, dia rasa manusia baik. Cuma sedikit bodoh. Terpinga akalku, mengapa mereka katakan manusia itu baik. Jawabnya, manusia suka kucing. Tapi mereka bodoh. Suka mencurangi janji.

Sepetang aku di tepi jalan, sedang duduk merenung rimbunan pohon entah spesis apa yang berbaris di hadapan Taman Wawasan; datang menyapa seekor lagi kucing rumah yang kurus dan berkolar merah. Sudah berhari dia cuma makan sekunyah dua kerana tekaknya perit. Kami duduk berlangitkan awan kepul gemuk, dia mendongak mungkin mencemburui gebu putih terapung.

Ada suatu ketika, aku berpindah keluar dari Taman Wawasan. Aku tidak lagi bermain dengan angin, atau berbicara dengan kucing. Kali ini, aku berselisih dengan anjing hitam yang sudah bersalam dengan malaikat. Mulut jasadnya sudah berbuih putih, matanya penuh hairan berbaur takut.

Jiranku mencemuh kedatangan anjing hitam itu, Selasa lalu. Hari ini aku terpandang senyum lega di wajah sawo matangnya. Esoknya bangkai itu diletakkan sahaja di tepi deretan tong sampah hijau. Menunggu kosong.

Pernah sekali kucing halia berpesan padaku agar berterusan begini. Jarang sekali dia dapat bersemuka dengan anak alam, yang pandai merasa-rasa dunia. Pinggangnya sakit ditunggang anak manusia tadi, telinganya sudah koyak dimamah gaduh kucing besar lain. Hausnya menghalau niatnya agar duduk lama di sebelah kananku.

Pesannya aku semat sampai hari ini. Orang kata aku gila, tapi aku tahu aku tidak gila. Kau tahu apa haiwan kata tentang manusia? Haiwan tahu terlalu banyak, melihat terlalu banyak keganjilan manusia. Mereka reda ditakluk kuat manusia, dikurung hina manusia. Diketuk kepala, disebat kayu, dibakar ekor, ditendang badan; suatu perkara yang mereka sanggup. Kau tahu, mereka sangat percaya manusia?

Seekor kucing putih menepis fikirku. Bisiknya, jangan benci manusia. Sambil membersihkan diri, dia kata haiwan percaya dan haiwan sayang manusia. Haiwan peduli dengan manusia. Haiwan merayu pada Tuhan dan malaikat agar manusia terus diberkati. Manusia ialah roh kehormat. Manusia ialah sejenis semangat dunia yang sangat gagah.

Matanya dibanjiri sinar bangga ketika menggambarkan manusia. Dia kucing rumah. Dia selalu berkawan dengan kucing jalanan lain. Dia tahu nasibnya sudahpun cukup bagus kerana keluarga tuannya baik belaka. Kucing jalanan pula hidup semata hidup.

Ada antara mereka tidak begitu percaya pada manusia pada mulanya, kerana menaruh takut yang tinggi pada kudrat tangan dan kaki besar manusia. Ada pula yang sekadar menumpang makan dan tidur kerana enggan ditawan dinding segi empat. Ada juga malas dibelai kerana sakitnya badan berpenyakit.

Angin ialah kawan rapat haiwan. Angin suka bermain dan berbisik perkara yang menggembirakan. Dia suka membawa khabar. Kerana itulah, manusia dapat menghidu awan yang bakal beranakkan air hikmat. Kerana itulah, haiwan dapat mencium bencana.

Tapi angin, bukanlah lawan yang boleh dimain-mainkan. Angin apabila marah, berhembus dingin menggeletarkan tulang. Meniup pergi semangat. Menderu gerun pada makhluk bumi. Menangkis segala halangan yang berada di kakinya, tiada segan tiada silu.

Bila aku sudah mencecah tinggi seorang besar, aku masih kurang suka pada manusia. Kucing-kucing sudah jarang menglipurlara hidup mereka. Mungkin jiwaku tidaklah sesuci ketika aku masih budak. Angin juga amat jarang bermain denganku. Mungkin jiwaku seakan bertukar menjadi manusia yang pekak dan buta pada alam.

Mengingati bahagiaku riang bersama alam ialah suatu saat yang aku amat perlu nukilkan. Aku takut suatu hari nanti, aku menjadi sepenuhnya manusia. Manusia yang sama diberi kuasa dan percaya untuk menolong alamnya hidup. Manusia yang sama juga aku pernah benci sewaktu diriku masih belum ternoda dengan kemaruk lumba harta lagi. Manusia yang masih haiwan sayang dan percaya. Manusia yang membuakkan marah kepada utusan Tuhan, sang angin yang setia.

Kucing putih yang sukakan kebersihan itu terlalu membesarkan manusia. Manusia ini bodoh. Manusia cuma fikirkan maksiat yang Tuhan sebut sejelas-jelas perkataan, menidakkan sekaligus makna alam. Tuhan kata tadbirlah alam. Tapi membunuh kucing juga salah satu cara mentadbir alam, bukan? Manusia ketawa. Ketawa dengan jarinya menitik darah pokok yang tumbang petang tadi. Tidak mengapa, dihisapnya tangis badak terakhir dunia, aku tidak minum arak.

Mata hairan anjing yang sudah berteman malaikat naik ke langit itu masih percaya pada manusia. Dia sama sekali tidak menyangka manusia mahu sekali dia mati. Kelu lidahnya tidak sempat menitip doa keberkatan buat manusia untuk hari itu. Sesampainya di atas, dia mahu mendoakan manusia agar diadili sebaiknya.

Janji apa, hari ini aku menjeling. Janji apa kau mahu manusia tunaikan, meow? Janji sesama manusia lebih banyak dijimak-liwat sesuka hati. Inikan lagi berjanji dengan haiwan. Inikan lagi berjanji dengan Tuhan yang mereka perlu percaya ghaibnya jasad, bukan kuasa.

 

Aku harap aku masih terus diizinkan mendengar khabarmu, sang angin.

Aku harap aku mati menjadi manusia yang kau percaya, meow.

 

Aku harap aku tidak menjadi manusia yang aku sumpah dahulu.

 

Leave a Reply