Danial – Mahasiswa belum merdeka

Kehadapan saudaraku Mahasiswa,

Kita sememangnya bersyukur atas nikmat udara kemerdekaan yang telah kita hirup selama 61 tahun lamanya. Jika kita kembali menyoroti sejarah perjuangan kemerdekaan negara, kita dapat menyedari bahawa sesebuah negara bangsa tidak akan dapat mencapai kemerdekaan sebelum rakyatnya memerdekakan diri mereka terlebih dahulu. Kunci kemerdekaan kita ialah kesepakatan rakyat Tanah Melayu pada masa itu untuk membebaskan diri mereka dari penjara penjajahan – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Mahasiswa hari ini ialah pemimpin masa hadapan. Sebagai mahasiswa, kita menggendong tanggungjawab yang begitu besar sekali untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan negara ini. Kita belum lagi boleh menghela nafas lega kerana tugas mengisi kemerdekaan itu ternyata jauh lebih sengsara.

Seluruh rakyat -yang muda dan yang tua, yang miskin dan yang kaya – akan menyandarkan harapan dan untung nasib anak cucu mereka kepada pemimpin masa hadapan. Kerisauan yang sewajibnya kita ambil serius pada masa kini ialah adakah mahasiswa kita benar-benar berupaya untuk memimpin negara pada masa akan datang? Adakah mahasiswa Malaysia telah merdeka semerdeka negaranya?

 

  1. Belum merdeka dari tempurung kemalasan

Kemalasan yang saya akan fokuskan ialah kemalasan untuk beraktiviti dalam kalangan mahasiswa. Ingin saya tegaskan di sini, universiti bukanlah sekadar tempat untuk menuntut ilmu, tetapi juga medan untuk menimba lebih banyak pengalaman hidup. Jika kita masih mempunyai mentaliti bahawa tujuan memasuki universiti hanyalah untuk menggenggam segulung ijazah, maka kita masih belum merdeka dan belum layak untuk memimpin.

Mahasiswa yang cemerlang dan mampu berdaya saing merupakan mereka yang mampu mencapai kecemerlangan yang seimbang dari segi akademik dan penglibatan aktiviti luar kampus. Mahasiswa sudah boleh mula membebaskan diri dari budaya 3K di universiti, iaitu kelas, katil dan kafe. Kehidupan di universiti lebih daripada hanya datang ke kelas, makan dan tidur.

Kita mestilah melihat dunia luar dengan kaca mata yang lebih luas. Usia muda ini selayaknya dimanfaatkan untuk mengaktifkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial seperti aktiviti kesukarelawanan, warisan dan sukan. Sekurang-kurangnya penglibatan dalam satu kelab atau aktiviti sahaja sudah cukup untuk menyeimbangkan kehidupan di universiti.

Semasa dalam pengajian Ijazah Perubatan di Singapura, Tun Dr. Mahathir Mohamad begitu aktif dalam aktiviti penulisan di ruangan akhbar yang bertujuan untuk menyedarkan bangsa Melayu. Kegiatan beliau sama sekali tidak membataskan pencapaian akademik beliau. Dunia masa hadapan akan sangat rencam dan mencabar. Berbekalkan ilmu dan pengalaman, kita mampu memimpin dengan baik.

  1. Belum merdeka dari penjara kejahilan

Apabila kita tidak dapat menahan lelahnya belajar, maka kita terpaksa menanggung betapa peritnya kebodohan-Imam Syafie.

Jumlah kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi semakin meningkat saban tahun. Kita semestinya berbangga apabila ramai anak watan yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ketiga. Namun begitu, kuantiti tidak mencerminkan kualiti dan realiti sebenar. Tepuk dada, ketuk hati dan tanyakan pada diri kita sendiri: sudah cukupkah ilmu yang aku ada? Sudahkah aku mengamalkan ilmu yang aku pelajari? Dan adakah aku benar-benar berilmu? Jika tidak, maka kita masih lagi jahil dan belum merdeka dari penjara kejahilan.

Penuntutan ilmu merupakan proses sepanjang hayat. Sepanjang umur, kita memerlukan ilmu pengetahuan. Mahasiswa seharusnya tidak membataskan ilmu sekadar belajar secara formal di dalam kelas sahaja. Ilmu Allah itu maha luas dan dapat dituntut melalui pelbagai cara, terutamanya membaca dan berbahas. Bangsa membaca, bangsa berjaya- ya, kedengaran sudah lapuk tetapi itulah hakikatnya. Mahasiswa kita sedang sakit. Sakit untuk membaca dan berfikir dengan lebih kritikal.

Sebagai contoh, kita terlalu bergantung dan menerima sesuatu maklumat dari internet tanpa menyelidikinya terlebih dahulu semasa menyiapkan tugasan- dan ini bukanlah ciri orang yang berilmu. Ilmu yang dituntut dengan cara tersebut tidak akan bertahan lama.

Sebagai cadangan dan permulaan, didik diri kita untuk menghabiskan sebuah buku dalam masa sebulan. Apa yang saya amalkan ialah, saya akan meluangkan satu jam sehari khusus untuk membaca buku. Minda orang muda mempunyai kapasiti berfikir dan mengingat yang baik. Jadi gunakanlah nikmat itu dengan sebaiknya.

  1. Belum merdeka dari rantaian ketaksuban, fanatism dan minda yang tertutup

Kita semua mempunyai prinsip hidup yang tersendiri. Malah kita memerlukan prinsip hidup untuk mengarah diri kita bagi mencapai sesuatu objektif.  Walaupun begitu, dalam memegang prinsip itu, janganlah sampai bersikap ego dan tidak dapat menerima pendapat yang tidak sehaluan dengan prinsip kita. Hal ini termasuk juga dalam hal ehwal politik negara atau politik kampus. Kita acap kali ‘panas punggung’ dan ‘cepat melenting’ apabila orang lain memberikan idea yang berbeza.

Situasi ini sangat tidak sihat dan boleh memudaratkan. Kita berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara, namun lakukanlah dengan penuh hormat. Sebagai mahasiswa, kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima teguran dan menilai satu-satu hal melalui pelbagai perkspektif. Salah satu caranya adalah dengan membudayakan diri untuk berbahas dan menghadiri majlis-majlis intelektual bagi bertukar-tukar pendapat. Melalui perbahasan, kita dapat membebaskan diri daripada ketaksuban dan minda yang tertutup, sekali gus membuka minda dengan lebih luas untuk mencerna pendapat yang berlainan.

  1. Belum merdeka dari belenggu kesalahan yang berulang

“Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama”

Tidak dapat tidak, kehidupan di universiti mempunyai pelbagai dugaan yang tidak dijangka. Mahasiswa mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, hiburan dan sebagainya kerana tiadanya pengawasan ibu bapa. Kita dapat menyaksikan pelbagai masalah sosial yang bercambah di universiti seperti seks bebas, kelahiran anak luar nikah, penyalahgunaan dadah, ketagihan gam, pengambilan pil khayal dan arak. Masih banyak lagi yang tidak dapat disebutkan di sini.

Bagi sesiapa yang membaca dan merupakan salah satu daripada golongan tersebut, maka jangan cepat berputus asa. Manusia tidak pernah terlepas daripada membuat kesalahan tetapi kita mempunyai pilihan untuk terus berada dalam kesilapan tersebut atau memerdekakan diri daripadanya. Tuhan memang sentiasa membuka pintu keampunan dan taubat buat hamba-Nya tetapi pintu untuk berubah, kuncinya ada pada diri kita.

Sebagai penutup, saya ingin meninggalkan satu persoalan: MERDEKAKAH KITA?

 

Yang benar,

Danial Hamka,
Pelajar Tahun Tiga jurusan Sains Politik, UIAM

Leave a Reply