Kenyataan Media HARMONI – Kes cabul siswi UMS

Awal minggu ini kita dikejutkan dengan kes cubaan rogol mahasiswi UMS oleh pengawal keselamatan universiti berkenaan. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) amat kesal dan kecewa dengan timbulnya kes ini serta mengutuk keras sebarang perkara yang mengancam keselamatan mahasiswa/i terutamanya di dalam kampus.

HARMONI berpendirian keselamatan warga kampus khususnya pelajar wanita wajar dititik beratkan oleh semua pihak dalam masyarakat kampus. Kefahaman yang jitu harus ditekankan terhadap apa yang diperintahkan Allah swt dalam surah An-Nisa’ ayat 34; “Lelaki adalah pelindung kepada wanita”. Dalam erti kata lain, bukanlah yang mengancam keselamatan wanita tidak kira di mana sekalipun mereka berada.

HARMONI menggariskan 8 ciri-ciri kampus Harmoni yang seharusnya menjadi tunjang kepada sesebuah universiti:

(1) Gaya Hidup Warga Kampus yang Sihat, Mesra dan Berakhlak;
(2) Warga Kampus Bebas Bersuara dan diiktiraf;
(3) Pentadbiran Kampus yang Cekap dan Berintegriti;
(4) Pengamalan Budaya Politik Nilai dalam Pilihanraya Kampus;
(5) Penyuburan Budaya Ilmu dan Intelektualisme;
(6) Penghasilan Mahasiswa Berkualiti, Berkepimpinan dan Berdaya Saing;
(7) Kampus Selamat, Berkebajikan dan Mesra Mahasiswa; dan
(8) Peranan Kampus dalam isu-isu Masyarakat, Negara dan Antarabangsa diiktiraf.

Menekankan ciri Gagasan Kampus Harmoni yang ke-7, HARMONI menegaskan semua pihak berwajib di kampus sewajarnya melakukan usaha yang berterusan untuk mewujudkan kampus yang selamat, berkebajikan, dan mesra mahasiswa. Kejadian ini seharusnya menjadi refleksi kepada semua IPT di Malaysia tentang sejauh mana keselamatan dijamin dan diamalkan kepada mahasiswa keseluruhannya.

HARMONI mencadangkan beberapa langkah dan solusi yang boleh diambil oleh setiap pihak:

(A) PIHAK PENTADBIRAN KAMPUS

Kami menyarankan pihak pentadbiran kampus agar lebih teliti dalam pelantikan pengawal keselamatan dan meletakkan pengawal keselamatan wanita di kolej-kolej yang didiami pelajar wanita dalam meningkatkan kualiti keselamatan di dalam kampus.

Bagi pihak pentadbiran kampus UMS, kami menyeru agar kes ini dapat diadili sebaiknya dan tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam suspek kejadian ini. Selain itu, kami juga berharap pihak pentadbiran UMS dapat mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan kes ini untuk mengelakkan spekulasi dan fitnah agar dapat menjaga nama dan emosi mangsa yang berkenaan.

(B) MAHASISWA/I, MASYARAKAT KAMPUS & LAIN-LAIN

Kami menyeru mahasiswa/i serta semua masyarakat kampus umumnya untuk tidak mengambil kesempatan dan tidak menyebarkan berita-berita palsu berkenaan isu ini. Selain itu, mahasiswa/i dan masyarakat kampus juga boleh mengambil peranan membantu pentadbiran kampus meningkatkan keselamatan di dalam kampus dengan membentuk suasana kampus yang lebih selamat dan mesra wanita.

HARMONI bersimpati dan bersolidariti bersama mangsa mahasiswi UMS. Kejadian ini sebaiknya membuka ruang kepada mahasiswa/i, pihak pentadbiran universiti, dan kementerian untuk berdiskusi secara konstruktif dan progresif dalam memastikan peristiwa seperti ini tidak lagi berulang.

HARMONI menyarankan agar masyarakat secara terus memberi galakan yang baik serta motivasi kepada mangsa dengan tidak menyebarkan berita-berita palsu dan mengecam mangsa dengan pelbagai spekulasi yang tidak berasas.

Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan membuka mata kita semua agar lebih mengambil berat peranan semua dalam membangun suasana dan masyarakat yang lebih selamat. Mahasiswa/i terutamanya mestilah bersama dalam usaha membanteras kes-kes yang menggugat jaminan keselamatan masyarakat kampus di universiti seluruh negara.

Nurul Nadhirah Binti Md Ridzuan
Naib Presiden 2 / Ketua Siswi
Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI)

Leave a Reply