Naratif masyarakat di Malaysia pada hari ini melihat gejala LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual)  sebagai sesuatu yang menjijikkan dan merosakkan. Ya, tepat sekali. Ia merupakan suatu gejala yang boleh mengakibatkan pelbagai impak kepada individu mahupun masyarakat. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, 65 peratus kes jangkitan HIV adalah daripada golongan LGBT. Statistik ini diambil sekitar Oktober yang lalu dan dapatan ini sungguh membimbangkan semua pihak. Seharusnya, isu ini dibincangkan dengan kritis dan bukannya emosi semata-mata.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa pendekatan yang holistik dan terbuka harus diguna pakai oleh kerajaan untuk membanteras gejala songsang ini. Menentang gejala LGBT ini bukanlah sehingga menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia yang harus hidup dengan kehormatan. Hak asasi mereka terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih perlu dihormati dan dipelihara. Ia termaktub dalam Artikel 8 (Perlembagaan Persekutuan), iaitu setiap warganegara wajib dapat keadilan dan tidak boleh disakiti dan ditindas. Itulah prinsipnya. Jikalau mereka ini terus didiskriminasikan di tempat kerja dan sebagainya, keadaan mereka akan menjadi lebih parah dan hanya menambah masalah.

Justeru, saya lebih melihat isu ini dalam konteks mengajak mereka untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kita ini lah merupakan ‘support system’ buat mereka. Kita sebagai rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting dalam menjadi anjakan paradigma buat mereka untuk mengenali fitrah yang sebenar. Di sini saya nyatakan dan paparkan beberapa cadangan alternatif untuk membantu insan-insan yang terjebak dengan LGBT ini untuk menjadi seorang manusia yang lebih terpandu hidupnya. Tujuannya adalah untuk memaksa kerajaan agar menjadi lebih efisien dalam menangani LGBT. Antara langkahnya adalah:

  1. Mengadakan kempen dan mewujudkan skuad motivasi khas untuk membanteras LGBT ini di seluruh sekolah rendah mahupun menengah, kolej awam mahupun swasta serta segala institusi pendidikan yang bersifat akar umbi iaitu fokus kepada anak muda. Buka keahlian untuk menjadi aktivis kempen atau skuad Motivasi. Contohnya: Anda Bijak Jauhi Zina (Modul diguna pakai oleh IKRAMTeens). Bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”—
  2. Memberi dana khas kepada kumpulan-kumpulan yang menjalankan kerja pemulihan akhlak dan sahsiah dalam merawat ibu-ibu yang terlanjur, bekas pekerja seks, mangsa LGBT dan lain-lain seperti Darul Wardah dan Bayt Rahmah dibawah seliaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sama seperti Raudhatus Sakinah dan PAKSI. Agensi sebegini seharusnya diberi peluang untuk melebarkan kepakarannya dalam membantu golongan yang memerlukan ini. Mereka adalah pihak yang berautoriti dan berpengalaman dalam menangani isu ini.—
  3. Menubuhkan skuad khas pemulih LGBT yang terdiri daripada pakar psikiatri. Mereka ini akan bersama-sama membanting tulang dengan agensi lain untuk membantu golongan LGBT ini berhijrah menurut perspektif psikologi. Wujudkan talian Hotline untuk memudahkan urusan antara mereka disamping identiti mereka akan dijamin terjaga. Peranan para asatizah juga tidak kurang penting dalam membantu golongan psikiatri.Usaha mereka haruslah sentiasa murni dan terbuka untuk menghilangkan stigma masyarakat kepada golongan ini. Pendekatan turun ke lapangan seperti yang dilakukan oleh Dr Zulkifli Al Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) dan Ustaz Ebit Liew (Pendakwah Bebas) menjadikan Islam itu merupakan sebuah agama yang bukan menghukum tetapi bersifat kasih dan sayang. Ini adalah antara usaha yang wajar untuk kita contohi bersama.—
  1. Jika ada keperluan bersama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) untuk menilai kembali segala gerak kerja dalam mengurangkan dan menyahkan kes berkaitan dengan HIV dan AIDS ini. Disebabkan sebilangan besar kes-kes HIV dan AIDS berpunca daripada golongan LGBT, maka ada baiknya jika JKM dan KKM memfokuskan usaha mereka ke arah membantu golongan itu terlebih dahulu.

Menyantuni komuniti LBGT pula tidaklah sehingga tuntutan mereka keseluruhannya diterima dan diberikan pengiktirafan. Perlu diimbangi diantara hak asasi yang harus dimiliki semua manusia dan tuntutan-tuntutan yang memungkinkan kebobrokan agama, budaya dan naratif kebangsaan. Imbangan ini harus diperhalusi sebelum konflik hak asasi membarah dalam negara ini.

Ini merupakan dugaan buat mereka. Kita sebagai suatu komponen dalam masyarakat madani ini haruslah membantu mereka, bukan asyik menghukum mereka semata mata.

 

Luthfi Yusri
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply