Suara Mahasiswa UMS – Takziah Aspirasi

Selesai majlis angkat sumpah Perdana Menteri, dengan ini kami di Suara Mahasiswa merakamkan takziah kepada Aspirasi kerana menjadi mahasiswa pembangkang yang baharu di peringkat nasional. Memang janggal bagi Aspirasi, kerana sesungguhnya perkataan “pembangkang” itu sendiri di luar kebiasaan golongan yang sudah sebati dengan kekuasaan.

Ya, bukan semua dalam Aspirasi menjadi macai, namun hakikat kita perlu terima Aspirasi di kampus gigih berfungsi sebagai gerakan counter-reformasi rakyat selama ini. Ia tidak lekang menjadi benteng rejim kampus dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh rejim. Semua mahasiswa tahu sehingga muncul julukan “UMNO Kampus” buat mereka. Bahkan dengan munculnya PEMANAS, teranglah tidak perlu disuluh.

Mungkin selepas ini tiada lagi acara makan-makan besar. Mungkin selepas ini tiada sudah kem-kem doktrin oleh pemerintah. Mungkin tidak dapat lagi kamu bergaya acah-acah pemimpin di program-program gemilang. Mungkin tiada lagi kain rentang besar menampalkan muka-muka kamu semusim PRK. Kerana mungkin tiada lagi bajet disalurkan pemerintah kepada kamu untuk menang dan menjadi macai birokrat kampus yang tugas sampingannya menongkat rejim BN.

Tapi tidak mengapa, kalau kalian masih lagi istiqomah bersama BN, teruskan istiqomah. Tapi kalau rasa “loser”, kami cadangkan cepat-cepatlah membodek kerajaan baharu yang sedang menang ini. Masih belum terlambat. Itu kalau mereka tidak cam muka kamulah. Ini kerana dengan kekalahan BN, potensi untuk Aspirasi kalah juga adalah tinggi. Tumbangnya BN, maka ruang menumbangkan Aspirasi terbuka luas apabila demokrasi di kampus menjadi telus tanpa BN dalam kementerian yang mentadbir universiti.

Demikianlah hidup menumpang golongan yang selalu menang dan ditunggang orang yang lama berkuasa. Sekali kalah, rasa mahu tersungkur ke tanah. Biasalah perjuangan politik wang, ada untung ada rugi. Kami memahami rasa pedih dan kecewa rakan-rakan Aspirasi atas kekalahan bersejarah ini. Maka dengan ini, terimalah hakikat bahawa kamu adalah mahasiswa pro-pembangkang. Jika ada rasa mahu belajar membangkang, jangan segan-segan untuk belajar dari kami.

Tuntasnya, gerakan-gerakan mahasiswa harus ambil iktibar ini. Jadilah gerakan yang berdikari. Maka kalah atau menang orang-orang tua di luar sana, kamu tidak terkesan dan menanggung di hati.

Sekian, salam takziah Aspirasi. Selamat membangkang!

Leave a Reply