Haissazc Hisham – Undilah Demi Malaysia!

4 hari lagi, rakyat Malaysia akan keluar mengundi dalam menentukan nasib negara untuk tempoh 5 tahun mendatang. Kita dipaparkan pelbagai kisah, berita dan aksi-aksi pemain politik demi meraih undi rakyat demi mengekalkan kuasa atau mendapatkan kuasa untuk tadbir negara.
Aku sangat tertarik dan kagum dengan semangat demokrasi yang dipertontonkan dalam beberapa hari ini bila mana aku dapat melihat, mahasiswa di seluruh negara juga tidak terlepas dalam melibatkan dalam pesta demokrasi ini.
Siswa Barisan Nasional, Mahasiswa Pakatan Harapan dan Mahasiswa PAS juga bertungkus lumus bagi memastikan parti panduan mereka berjaya dalam setiap kerusi Parlimen dan DUN dalam PRU kali ini. Dan aku takkan menafikan bahawa Siswa Barisan Nasional lebih dominan dalam melakukan gerak kerja mereka, turun padang berjumpa rakyat dan memberitahu tawaran-tawaran yang diberikan untuk rakyat.
Bagi aku, secara asas perjuangan mahasiswa, itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap mahasiswa di seluruh negara. Turun padang, berjumpa, mendengar keluhan rakyat dan menawarkan cadangan dan bantuan untuk menyelesaikannya kerana mahasiswa, satu golongan yang dipandang tinggi dalam struktur sosial masyarakat, mempunyai ilmu dan visi yang tinggi yang menjadi harapan untuk rakyat bagi menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi.
Cuma, apa yang aku harapkan bagi setiap mahasiswa yang berpartisan, agar tanam dalam benak kepala bahawa anda tidak seharusnya dipergunakan demi kepentingan pemain politik untuk “political mileage” mereka. Mahasiswa tidak seharusnya turun padang atas sebab pada hujung hari akan dapat habuan RM50 ringgit, makan kambing bakar atau sebagainya. Tapi anda turun kerana anda benar-benar ingin membantu rakyat, dan golongan yang sepatutnya anda perlu bersemuka dahulu adalah golongan mahasiswa itu sendiri.
Mahasiswa kini terhimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi, masa depan yang kabur dek kerana bebanan hutang pendidikan yang bakal dibayar di kemudian hari, sistem pendidikan yang sentiasa bertukar setiap kali bertukarnya menteri, demokrasi kampus yang kian kuat dicengkam oleh pihak atasan demi “menjaga nama baik universiti” sehingga tiada ruang lagi untuk demokrasi kampus ini muncul dan sebagainya.
Maka, hari ini aku ingin mengajak rakan-rakan yang kebanyakannya “first time voters”, agar terlibat dalam pesta demokrasi ini dengan turun mengundi dan pilihlah bukan atas dasar calon, bukan atas dasar parti, tapi atas dasar mahasiswa. Kita tidak seharusnya terjerat dengan permainan politik atasan. Cukuplah kita bermain di level kita dan sama-sama membantu bagi memastikan nasib mahasiswa kita terbela. Pilihlah demi mahasiswa!

Leave a Reply